Penyakit cegahan vaksin

- Advertisement -

SOALAN: Adakah semua penyakit berjangkit boleh dicegah melalui vaksin? Kalau semua penyakit telah ditemui vaksin, kesianlah bayi kerana terpaksa dicucuk vaksin beratus-ratus jarum?

- Advertisement -

Jawapan:

drsuhazeli1. Terima kasih kerana perihatin akan nasib anak-anak kita yang mengalami proses pemberian vaksin sejak dari lahir. Pada masa sekarang, pihak berkuasa hanya mewajibkan 10 jenis vaksin yang boleh mencegah penyakit-penyakit berjangkit seperti berikut: Tuberkulosis, Difteria, Pertusis, Tetanus, Polio, Campak (Measles), Beguk (Mumps), Rubela, Hepatitis B dan Influenza jenis B. Manakala vaksin untuk mencegah jangkitan kuman Meninggococal diwajibkan kepada bakal haji. Polisi pemberian vaksin ini bergantung kepada statistik kejadian kes dan wabak yang dihadapi.

2. Sejak dari penemuan pertama vaksin 1796 sehingga sekarang, terdapat 27 jenis vaksin telah ditemui. Sepuluh jenis vaksin sahaja yang diwajibkan pada ketika ini di negara kita kerana berdasarkan kewujudan kuman-kuman bahaya tersebut dalam persekitaran kita. Terdapat vaksin yang tidak diperlukan seperti vaksin demam kuning (Yellow Fever) kerana kuman tersebut tidak merebak dalam negara kita. Namun, jika sekiranya kita ingin melawat negara-negara yang terdapat kuman yellow fever, sayugia vaksin dicucuk sebelum berangkat ke sana. Terdapat juga vaksin yang telah dimansuhkan seperti cacar (mansuh 1976) kerana hasil vaksinasi diberikan sejak berabad lamanya, kuman cacar (smallpox) telah pupus. Selain itu terdapat vaksin yang hanya diwajibkan kepada golongan tertentu seperti bakal haji. Mereka diwajibkan mendapat suntikan vaksin Meninggokokal bagi mencegah kuman Meningococcal meningitis (radang selaput otak). Kerajaan mungkin akan mempertimbangkan beberapa jenis vaksin lagi untuk disuntik. Contohnya vaksin yang mencegah Jangkitan Kuman Paru-paru (Pneumonia) dan jangkitan kuman influenza. Namun ia bergantung kepada keseriusan kes terkini, kesediaan prasarana oleh pihak berkuasa dan kos vaksin tersebut.

3. Para pakar perubatan senantiasa berikhtiar mencari jalan terbaik bagi mencari penemuan-penemuan vaksin baru untuk penyakit-penyakit yang boleh mengancam nyawa. Pemilihan untuk mewajibkan pemberian vaksin baru tersebut bergantung kepada keselamatan sesuatu vaksin dan perebakan wabak sesuatu penyakit dalam masyarakat. Ianya dilakukan dengan teliti setelah melalui proses uji kaji makmal yang ketat.

Dr Hj Suhazeli Abdullah
Pakar Perubatan Keluarga
Fb.com/drsuhazeli
W: www.suhazeli.com

- Advertisement -