Peranan PAS dalam jihad pendidikan

- Advertisement -
ALOR SETAR: PASTI yang dipelopori PAS telah berperanan memberi pendidikan awal menanamkan kefahaman mengubah manusia melalui ilmu pengetahuan sebagaimana Nabi Muhammad S.A.W memulakan di rumah Arqam Abi Arqam.
 
Ketua Penerangan PAS Negeri Kedah, Ustaz Ahmad Yahaya berkata, kesungguhan Baginda membina kefahaman melalui pendidikan itu berpasak dari ayat surah al-Alaq yang merupakan wahyu pertama diturunkan.
 
“Di waktu itu, kemungkaran dan kejahilan di Kota Makkah berada di kemuncak dengan sejumlah 300 berhala berada di keliling Kaabah. Tetapi Baginda tidak bertindak merobohkan berhala-berhala itu.
 
“Sebaliknya Baginda menanamkan kefahaman dan pendidikan untuk mengubah manusia melalui ilmu pengetahuan,” ujarnya merasmikan Hari Anugerah Keemerlangan PASTI Kedah di Menara Zakat Kedah, di sini kelmarin.
 
Hinggalah katanya, pada tahun kelapan Hijrah yakni setelah 21 tahun pendidikan Islam dilaksanakan, barulah Baginda bertindak menguasai Kota Makkah dan menghapuskan semua berhala berkenaan.
 
Tindakan itu jelasnya, bertepatan dengan kefahaman dan kesedaran Islam yang telah mengukuh ditanam ke dalam diri umat Islam ketika itu.
 
Malah menurutnya, sebagaimana Masjid Nabawi menjadi universiti pertama melahirkan generasi berilmu, seperti itu jugalah PAS berfungsi dalam memberi pendidikan kepada ummah menerusi institusi-institusi pendidikan diwujudkan.
 
“Oleh itu PAS komited dan bersungguh-sungguh mewujudkan institusi pendidikan bermula dari peringkat PASTI, rendah, menengah dan kolej. PAS bukan sahaja parti politik namun sebuah jemaah Islam yang berusaha menyiapkan generasi berpengetahuan selaras dengan kehendak Islam.
 
“Malah sepertimana yang disebut oleh Tuan Guru Presiden, PAS sedang menyediakan generasi yang bijaksana, bukannya bijaksini (sambil penunjuk poket bajunya),” kata Ustaz Ahmad. 
 
Sehubungan itu beliau mengingatkan, Jihad Al-Taklim bukanlah sesuatu yang mudah kerana ia melalui zaman panjang hingga pernah suatu ketika dahulu ada usaha untuk mengharamkan institusi PASTI. 
 
Selain itu sambungnya lagi, sekolah-seolah agama terpaksa berhadapan dengan penindasan dan ada di antaranya terpaksa ditutup apabila bantuan perkapita kerajaan dihentikan.
 
Sementara itu Pengarah PASTI Kedah, Ustaz Nurul Amin Abdul Hamid berkata, pihaknya melangkah setapak lagi menerusi penubuhan Institut Perguruan PASTI dipimpin Ustaz Zulkifli Yusuff.
 
Menurutnya, institut tersebut bertanggungjawab memberi latihan kepada para guru hingga memperoleh diploma dengan kemahiran pengajaran yang terkini. – HARAKAHDAILY 27/11/2017
- Advertisement -