PAS K.Kedah tidak terasa ‘kehilangan’ Amiruddin

- Advertisement -
KUALA KEDAH: PAS Kawasan Kuala Kedah tidak merasa ‘kehilangan’ atas tindakan Adun Anak Bukit, Dato’ Ir Amiruddin Hamzah menyertai Parti Bersatu, malah lebih bersemangat untuk memenangi PRU14.
 
Yang DiPertua PAS Kuala Kedah, Ustaz Omar Saad berkata, pihaknya langsung tidak terkejut dengan pengisytiharan tersebut yang dibuat Adun itu secara rasmi semalam.
 
Kerana katanya, Amiruddin sebelum ini pun telah menunjukkan sikap berkecuali kepada semua arahan pimpinan atasan PAS, selain menolak pelantikan sebagai Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.
 
“Bagi kami di Kuala Kedah secara jujurnya tidak merasa ‘kehilangan’ di atas tindakan beliau itu. Kerana perjuangan Islam ini adalah untuk mencapai matlamat kepada Allah, bukan kepentingan diri atau individu,” ujarnya.
 
Tegasnya, ahli-ahli dan pemimpin PAS di Kuala Kedah akan meneruskan gerak kerja sepertimana diarahkan parti, bahkan perkara itu menjadi bukti perkara yang telah diyakini mereka sebelum ini sekali gus menaikkan semangat. – HARAKAHDAILY 27/11/2017
- Advertisement -