Kelesuan PAN berhadapan DAP dalam isu Ateisme

- Advertisement -
KOMENTAR saya mengenai tulisan Setiausaha Publisiti DAP berkaitan mengenai isu ateisme, rupa-rupanya mendapat maklum-balas Ketua AWAN PAN, Dr Siti Mariah Mahmud.
 
Tulis Dr Siti Mariah di dalam Facebook beliau: “Pelik. Kita tanya menteri. Orang lain hentam jawapan yang menteri bagi. Dia kata orang tu hentam kita.”
 
Maklum-balas Dr Siti Mariah ini terlalu lembik dan tidak sepadan dengan ucapan beliau di Parlimen mengenai isu ateisme ini.
 
Ini kerana Dr Siti Mariah waktu itu bukan sekadar bertanya soalan sahaja, malah membuat dua pendedahan.
 
Pendedahan pertama Dr Siti Mariah adalah bahawa kebanyakan yang terlibat dengan ateisme ini adalah anak-anak muda Melayu yang dilihat sebagai sangat menggusarkan dan dirasakan sebagai satu ancaman oleh masyarakat.
 
Pendedahan kedua Dr Siti Mariah adalah bahawa golongan ateis ini bukan sahaja setakat tidak mempercayai adanya Tuhan, tetapi tindakan mereka agak agresif, bila di dalam Facebook dan sosial media mereka menyerang agama-agama lain, juga menyerang agama Islam.
 
Jadi, walaupun secara zahirnya serangan Tony Pua itu hanya ditujukan kepada Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, tetapi Dr Siti Mariah sebenarnya mempunyai tanggungjawab moral untuk sekurang-kurangnya memberi penjelasan kepada Tony Pua mengenai perkara sebenar yang menjadi kebimbangan beliau mengenai isu ateisme ini.
 
Ini kerana perkara utama yang Dr Siti Mariah bangkitkan adalah mengenai kemurtadan anak-anak muda Melayu yang berhubung-kait pula dengan penyebaran ateisme terhadap penganut Islam yang terang-terang bercanggah dengan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kerajaan mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam.
 
Bila Dr Siti Mariah langsung gagal bersuara mempertahankan diri beliau bila Tony Pua bangkit membela golongan ateis maka timbullah pertanyaan seperti dibuat oleh Danial A. Shaari: “Apa, baling batu sembunyi tangan? Sendiri buat, orang lain tanggung? Sekadar mencucuk dan menjadikan Timbalan Menteri sebagai kambing hitam?” Malah, tanya Danial lagi: “Dr Siti sebenarnya peduli atau tidak isu ateisme atau sekadar mahu publisiti murahan?”
 
Jauh lebih teruk adalah komentar yang dibuat oleh Pengerusi KANUN PAN, Hanipa Maidin, di dalam portal berita MalaysiaKini sebagai susulan kepada komentar Tony Pua ini yang tidak langsung mempertahankan Dr Siti Mariah dari sudut ini walaupun sebagai seorang peguam berpengalaman beliau sepatutnya sangat tahu mengenainya.
 
Sebaliknya, walaupun tokoh perundangan negara seperti Profesor Emeritus Datuk Dr Shad Saleem Faruqi sendiri sebelum ini menyatakan bahawa golongan ateis tidak dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan, Hanipa bersetuju dengan Tony Pua bahawa golongan ini dilindungi.
 
Hujah Hanipa ialah bahawa ateisme juga adalah agama, yang kelihatan sangat kelakar sekali, apatah lagi bila ia tidak disertakan dengan apa-apa bukti spesifik yang boleh menyokong hujah beliau bahawa ateisme juga termasuk di dalam kategori agama yang dilindungi oleh Perlembagaan Persekutuan.
 
Sedangkan, jika kita lihat kepada keputusan Supreme Court di United States sendiri pun, contohnya dalam kes Thomas v. Review Board (1981), jelas bahawa Chief Justice Warren Burger menyebut bahawa “only beliefs rooted in religion are given special protection to the exercise of religion.”
 
Malah, di dalam keseronokan beliau menghentam Datuk Dr Asyraf Wajdi, Hanipa juga memfitnah bila menyebut Datuk Dr Asyraf Wajdi “seemed to subscribe to a view that any belief professed or practised by others that is against his own belief should not be given due recognition”.
 
Ini kerana sepanjang saya mendengar ucapan Datuk Dr Asyraf Wajdi, tidak pernah ada pernyataan yang menggambarkan bahawa beliau tidak memberikan pengiktirafan kepada mana-mana agama yang bertentangan dengan agama beliau.
 
Lebih parah lagi, walaupun ada disebut mengenai Perkara 11(5), Hanipa langsung tidak menyebut mengenai Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan yang membolehkan kerajaan mengawal atau menyekat pengembangan apa-apa doktrin atau kepercayaan agama di kalangan orang yang menganuti agama Islam sedangkan inilah yang sebenarnya menjadi kebimbangan utama Dr Siti Mariah.
 
Sehubungan ini, sebenarnya bukan Dr Siti Mariah sahaja yang bimbang mengenai golongan ateis ini kerana tokoh-tokoh lain juga turut pernah menyatakan perkara sama di mana Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, umpamanya pernah menulis begini pada 17 Ogos lalu mengenai golongan ateis ini: “Kami dapati terdapat unsur-unsur penghinaan dan provokasi kepada agama-agama di dunia, khususnya agama-agama di Malaysia seperti Islam, Kristian, Hindu dan Buddha, sama ada dalam media sosial mahupun buku-buku tulisan golongan ateis.”
 
Sangat mengecewakan sekali bila melihat kegagalan para pemimpin PAN, termasuk Pengerusi KANUN PAN yang menulis komentar yang langsung tidak membantu mahupun Penasihat Umum PAN yang terus membatu, mempertahankan Ketua AWAN mereka di dalam isu ateisme ini.
 
Di mana agaknya jati diri PAN sebagai sebuah parti yang memperjuangkan konsep Islam Rahmatan Lil-‘Alamin?
  –HARAKAHDAILY 27/11/2017
- Advertisement -