Ekonomi rakyat gawat: Jangan menyesal jika rakyat bertindak

- Advertisement -

TIDAK ada yang menghairankan terhadap kajian yang di buat oleh sebuah badan kajian terhadap keadaan ekonomi rakyat Malaysia ketika ini, yang memberi keputusan bahawa rakyat Malaysia sedang berada dalam kegawatan ekonomi yang teruk di tengah-tengah angka pertumbuhan ekonomi. Kajian ini bukan sesuatu yang mengejutkan atau bersifat ‘wow’ kerana sememangnya kegawatan ekonomi di rasakan oleh rata-rata rakyat Malaysia.

- Advertisement -

Bagi yang hidup bersama rakyat, mendapat gaji atau berpendapatan di bawah RM6,000 sebulan dan menanggung keluarga (isteri dan anak-anak) pasti merasai keperitan hidup ini. Bahkan, mereka yang berpendapatan sehingga RM30,000 sebulan sekalipun merasai kesan kegawatan serta terjejas sedikit sebanyak hidup mereka seharian. Tahun-tahun kebelakangan ini adalah tahun paling merana bagi rakyat yang terpaksa mengikat segalanya, dari kaki, pinggang, tangan, perut, sampai ke leher!

drriduanApa yang menyedihkan apabila dapatan kajian itu menunjukkan bahawa 1 hingga dua daripada 10 rakyat Malaysia (15 peratus) mengurangkan keperluan seperti makanan setiap hari (mengikat perut) kerana keputusan wang. Jumlah dapatan itu juga mencatat, satu pertiga rakyat (29 peratus daripada responden) tidak memiliki wang tunai RM500 ketika berlaku kecemasan. Manakala 40 peratus mengakui bermasalah membayar bil utiliti tepat pada waktunya.

Bagi saya dapatan ini menunjukkan keadaan serius rakyat Malaysia dalam menghadapi hidup kerana mereka terpaksa mengikat perut dalam soal keperluan hidup seperti makanan, bukan mengurangkan kehendak seperti pakaian, hiburan, aksesori dan lain-lain lagi. Jika keperluan diri seperti makanan pun diikat perut, jangankan pula kepada kehendak hidup yang lain. Maka tidak menghairankan pula jika selepas ini banyak kes rakyat yang berpenyakit, kekurangan zat dan gizi seimbang dalam tubuh, gagal mendapatkan rawatan mengikut jadual kerana kekurangan wang.

Jika rakyat sendiri tidak mampu menyediakan wang tunai jika berlaku kecemasan terhadap diri dan keluarga, bagaimana jika mereka dapat mengisi masa lapang dengan melancong, berjalan-jalan serta membeli belah? Jika kehidupan seharian pun tidak mencukupi, bagaimana rasanya rakyat Malaysia mampu membeli sebuah rumah yang nilainya lebih dari RM300,000?

Lihatlah kepada gedung-gedung perniagaan dan kedai-kedai di sepanjang perjalanan. Kita akan melihat ‘fenomena pelik’ di mana banyak premis perniagaan terpaksa gukung tikar akibat kekurangan pelanggan ekoran krisis ekonomi meruncing ini. Kesannya turut terganggu kepada mereka yang menjalankan perniagaan dalam industri pelancongan, perhotelan, pasar raya dan lain-lain lagi. Bahkan, banyak juga keda-kedai makan terpaksa menutup perniagaan setelah bertahun-tahun berniaga kerana tidak mampu menampung kos operasi yang meningkat setiap tahun.

Kegawatan ini dirasai kerana harga barang keperluan seperti bahan makanan tidak pernah surut atau berkurangan, dan semakin meningkat saban tahun. Ia susulan dengan peningkatan kos barang keperluan seperti minyak petrol dan diesel, yang saban minggu mencatat peningkatan dan jarang turun. Harga rumah yang tidak nampak akan berkurangan, harga kenderaan yang mahal, manakala banyak subsidi terhadap barang keperluan ditarik balik. Kos pendidikan, hospitaliti, ubat-ubatan yang mahal dan sentiasa meningkat harganya. Selain itu, rakyat dibebankan dengan cukai barangan dan keperluan (GST), cukai-cukai lain seperti cukai pendapatan, dan kadar tol yang menekan rakyat. Kesemua ini memberi kesan terhadap peniaga untuk terus menaikkan harga barangan tanpa kawalan. Ramai graduan pula sukar mencari pekerjaan, sehingga terpaksa bekerja dalam apa juga bidang walaupun bukan pilihan dan kehendak mereka dan di bawah paras gaji yang wajar.

Satu-satunya perkara yang statik atau meningkat sedikit tidak sejajar dengan peningkatan kos sara hidup adalah gaji atau pendapatan rakyat. Nampaknya tiada usaha untuk menaikkan gaji pekerja sektor perkhidmatan awam dan swasta mengikut keperluan semasa sedang mereka pula tidak diberikan jalan keluar terhadap kemelut yang membelenggu menyebabkan mereka mencari alternatif sendiri bagi menyara keluarga. Maka tidak pelik jika berlaku krisis rumah tangga, masalah perceraian, tekanan perasaan, penyakit, dan jenayah yang berleluasa.

Sepatutnya kerajaan bertindak lebih awal dan lama dahulu agar ekonomi rakyat tidak berada dalam keadaan gawat seperti ini. Harga barangan keperluan yang tidak dikawal menyebabkan harga barangan sentiasa dan terus meningkat, dan yang menanggungnya adalah rakyat. Bajet kerajaan yang dibentang saban tahun hanya sekadar gula-gula yang menyedapkan lidah dan tekak, tetapi perut rakyat terus berlapar dan menderita. Justeru, jangan menunggu tindakan daripada rakyat yang hidup dalam kesempitan baru hendak bertindak. Jangan menyesal jika rakyat meletakkan noktah terhadap kerajaan BN dalam PRU ke-14, kerana kerajaan BN gagal memahami kehendak dan jeritan rakyat yang menanggung beban selama ini. – HARAKAHDAILY 27/11/2017

- Advertisement -