Bersediakah kerajaan gerak ketenteraan terhadap Myanmar?

TAKIRI2
- Advertisement -

KERAJAAN didesak menyatakan pendirian tentang kezaliman yang berlaku terhadap etnik Rohingya, sama ada bersedia menggerakkan inisiatif ketenteraan terhadap Myanmar dalam menangani isu kemanusiaan terhadap Myanmar.

- Advertisement -

Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali (PAS-Kuala Nerus) berkata, sekiranya usaha itu telah dibuat, beliau yakin Myanmar akan lebih berhati-hati kerana banyak isu kemanusiaan pada hari ini ditangani dalam bentuk yang begitu kecil atau begitu ‘defensive’.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Sedangkan, katanya, di sesetengah tempat apabila berlaku kejadian seperti itu, sangat mudah untuk melakukan serangan seperti yang berlaku di Iraq dan Afghanistan.

Sewaktu membahaskan Bajet 2018 peringkat Kementerian Luar Negeri pada persidangan Dewan Rakyat, 16 November lalu, beliau turut menyentuh mengenai isu berkaitan tokoh pendakwah, Dr Zakir Naik yang ditohmah pelbagai pihak terlibat dengan entiti atau aktiviti-aktiviti keganasan.

“Saya ingin tahu daripada pihak kerajaan sendiri status terkini tindakan India terhadap Dr Zakir Naik dan bagaimanakah sikap kerajaan menangani perkara seumpama ini?

“Bagi saya, beliau adalah seorang pendakwah yang berhak untuk mendapatkan suaka politik daripada kerajaan Malaysia yang meletakkan Islam sebagai agama persekutuan,” katanya.

Tambahnya, ia juga sebagai peringatan kepada mereka yang membuat tuduhan melulu terhadap Dr Zakir Naik yang diiktiraf oleh masyarakat Muslim di Malaysia khususnya sebagai salah seorang pendakwah Muslim.

Dr Mohd Khairuddin juga mengemukakan pertanyaan apakah peranan Malaysia dalam Pertubuhan Negara-Negara Islam (OIC) bagi perkara-perkara yang melibatkan keselamatan negara-negara umat Islam.

“Kita lihat bagaimana berlaku kancah perang besar-besaran di Asia, di Timur Tengah sebagai contoh, melibatkan bumi Yaman, Syria dan negeri-negeri yang berdekatan dengannya.

“OIC selama ini banyak menumpukan kepada kesatuan kebajikan dan ekonomi semata-mata, sedangkan isu-isu keselamatan ini melibatkan isu ketenteraan,” katanya.

Beliau menegaskan, pertembungan yang berlaku hari ini ialah bagaimana pertembungan perang proksi antara Amerika Syarikat dan Rusia, khususnya isu Syria sebagai contoh, walaupun diuar-uarkan sebagai pertembungan Sunni dan Syiah, sedangkan hakikatnya adalah peperangan antara proksi Rusia dan proksi Amerika.

Sehubungan itu, beliau meminta kerajaan menjelaskan adakah Malaysia bersedia untuk menjadi perunding supaya perang di Syria khususnya dapat dihentikan segera kerana sebarang peperangan apa sebab sekali pun ia akan memberi kesan kepada tamadun manusia di tempat tersebut.

Beliau turut mencadangkan supaya kerajaan melalui Parlimen mewujudkan satu jawatankuasa khas isu-isu Palestin kerana isu yang panjang bermula 1948 lagi sehingga hari ini belum lagi selesai.

“Saya ingin mendapat respons daripada kerajaan tentang Baitulmuqaddis sendiri. Di mana hari ini umat Islam yang tinggal di Baitulmuqaddis mereka sedang ‘ribath’ atau mengikat diri, ‘murabithun’.

“Mengikat diri bertahan di Baitulmuqaddis di kala mana rejim Zionis sentiasa menekan mereka dengan pelbagai cara agar mereka meninggalkan Baitulmuqaddis. Maka mereka sedia bertahan dengan pelbagai tekanan melibatkan kewangan dan ekonomi mereka,” katanya.

Justeru, beliau meminta kerajaan menyatakan adakah Malaysia bersedia membantu rakyat Palestin agar mereka kekal dapat menjadi ‘murabithun’ bertahan di Baitulmuqaddis.{/mprestriction}

- Advertisement -