Pendidikan Islam bangunkan manusia secara lengkap

- Advertisement -
AMPANG: Asas pendidikan negara yang tidak didasari ketakwaan dan acuan al-Quran gagal membangunkan masyarakat seimbang pada intelek, emosi dan spiritualnya, demikian menurut Ketua Penerangan Pemuda PAS Selangor, Ustaz Mohamed Sukri Omar.
 
Berbeza katanya, pendidikan berteras al-Quran sebagaimana diterapkan di PASTI, akan melahirkan generasi Islam yang cintakan agama, sarat dengan cita-cita menjadi generasi terbaik kerana mengikuti jalan para Sahabat R.A.
 
Perkara itu dinyatakannya ketika menyampaikan ucapan perasmian Majlis Kecemerlangan PASTI Iqra’ Taman Melur anjuran PAS Cawangan Tasek Tambahan di Auditorium MPAJ, Pandan Indah, di sini semalam.
 
PAS menurutnya, serius membangunkan sistem pendidikan Islam kerana itu mempunyai rangkaian institusi PASTI di seluruh negara yang ditubuhkan sejak tahun 1987 lagi selain peringkat rendah, menengah dan tinggi seperti SRITI, KIDU dan KUIZM.
 
Majlis penganugerahan itu turut diserikan dengan persembahan hafazan surah al-Mulk yang merupakan silibus wajib PASTI, selain pertandingan pakaian beragam serta cabutan bertuah.
 
Sementara itu, Pengurus PASTI Iqra’, Abd Jalil Halim memaklumkan, pihak PASTI Ampang menjadi kawasan perintis di Selangor yang memiliki van dalam usaha mengembangkan khidmat kepada masyarakat.
 
Hadir sama pada majlis meraikan 93 pelajar PASTI itu ialah Naib Ketua Pemuda PAS Ampang, Ustaz Mohd Hamdi Husin. – HARAKAHDAILY 26/11/2017
- Advertisement -