Negara Arab diperalat oleh Yahudi

MAzmiAH
- Advertisement -
KAMI amat kesal dengan penyenaraian baru yang memasukkan Kesatuan Ulama Sedunia sebagai pengganas oleh empat negara Arab Teluk baru-baru ini.
 
Ternyata konspirasi yang sekian lama telah dilakar oleh beberapa pemimpin Arab dengan kerjasama pergerakan Zionis Yahudi untuk menyenaraihitamkan pergerakkan Islam di rantau Asia Barat, kini semakin jelas.
 
Hanya kerana pertubuhan itu diketuai oleh Dr Yusuf Qardhawi dan pertubuhan itu berpejabat di Qatar, dengan mudah ia dikategorikan sebagai pengganas. 
 
Apa yang jelas sejak 4 negara Arab itu iaitu Saudi Arab, Emirate, Mesir dan Bahrain telah bersepakat memutuskan hubungan dengan Qatar, mereka sebenarnya mensasarkan gerakan Islam Ikhwan Muslimin dan Hamas untuk dihapuskan.
 
Pemimpin-pemimpin negara tersebut telah diperalatkan oleh Israel dan Amerika Syarikat untuk melaksanakan rancangan yang sudah sekian lama diatur demi memastikan agenda Israel untuk menguasai seluruh rantau Asia dapat direalisasikan.
 
Sejarah sebelum ini telah lama merakamkan kerjasama negara imperialis British dengan Saudi untuk menjatuhkan Kerajaan Uthmaniyyah, sehingga projek melahirkan Israel di bumi Palestin berjaya dilaksanakan. 
 
Sekarang Amerika Syarikat mengambil alih peranan British dengan menggunakan tekanan dan pengaruhnya ke atas negara-negara Arab untuk tunduk kepada agenda Israel.
 
Dengan berselindung disebalik istilah ‘Islam Moderat’ kononnya untuk membasmi dakwaan wujudnya ‘Islam teroris’ itulah, negara-negara Arab tersebut telah melancarkan serangan ke atas gerakan Islam.
 
Disebalik istilah ‘Islam Moderat’ jugalah mereka melancarkan serangan ke atas Yemen yang menyebabkan tercetusnya krisis kemanusiaan terbesar di dunia dan sanggup berbelanja mewah untuk membeli senjata ratusan bilion dolar dari Amerika Syarikat.
 
Dengan mengharamkan pertubuhan dan gerakan Islam secara terpilih ini, mereka mengharapkan mendapat dokongan penuh dari Amerika Syarikat dan negara Barat. 
 
Padahal strategi imperialis Barat dari dahulu lagi telah memperalatkan pemimpin-pemimpin Arab sehingga berjaya melahirkan Israel.
 
Kami ingin mengingatkan bahawa pemimpin-pemimpin negara Arab kini sudah hilang integriti, akibat keangkuhan mereka mengkhianat kepercayaan umat untuk mengembalikan maruah umat Islam. 
 
Temuramah Jeneral tentera Israel baru-baru ini dengan akhbar Arab jelas menyatakan bahawa Israel siap bekerjasama dengan Saudi untuk berkongsi maklumat perisikan bagi berdepan dengan ‘musuh bersama’. Jelas persekongkolan dua negara ini akan terdedah dan umat Islam akan mulai mengenali sikap pemimpin-pemimpin negara Arab yang sebenar.
 
Semakin rapat mereka mendampingi Israel dan Amerika Syarikat, semakin hilang kepercayaan umat Islam terhadap mereka. Pendekatan pemimpin-pemimpin Arab ini yang bergantung kuasa dan pengaruh mereka kepada petro-dolar akan pasti lenyap bila Israel dan Amerika Syarikat melihat mereka kehabisan dana.
 
MOHD AZMI ABDUL HAMID
Presiden – HARAKAHDAILY 26/11/2017
- Advertisement -