Betul ke berita ni?

- Advertisement -

BETUL ke berita ni?” Tanya si anu sambil memuatnaik sepotong artikel, video atau gambar bertulis. Kejadian ini berlaku di twitter, facebook, whatsapp, telegram dan sebagainya.

- Advertisement -

Adakah ini tindakan yang betul untuk mendapatkan kepastian?

Jawabnya, salah!

Di dalam Islam, sesuatu dakwaan atau tuduhan terikat dengan kaedah:

البينة على المدعي واليمين على من أنكر

Bukti perlu dikemukakan oleh pendakwa, dan sumpah bagi yang mengingkari.

Kaedah ini berasal dari hadis Nabi SAW:

لو يعطى الناس بدعواهم، لادعى رجالٌ أموال قومٍ ودماءهم، لكن البينة على المدَّعِي، واليمين على من أنكر

Jika setiap orang diberikan sahaja setiap tuntutan dakwaanya, nescaya akan ramailah orang yang menuntut hak terhadap harta dan darah orang lain. Tetapi, bukti perlu dikemukakan oleh pendakwa, dan sumpah bagi yang mengingkari. [HR al-Baihaqi]

Jika terdapat sebarang pendakwaan, maka pendakwa perlu mengemukakan bukti. Sekiranya bukti mencukupi, pemerintah akan mengambil tindakan. Jika bukti tidak kuat, pemerintah boleh meminta yang didakwa atau yang mengingkari sesuatu tuntuntan untuk bersumpah.

Jika sesuatu dakwaan atau tuntutan itu tidak disertakan dengan pembuktian, maka ia tidak perlu dilayan. Boleh saja dianggap satu pembohongan.

Yang dituduh tanpa bukti boleh memilih untuk menafikan atau berdiam diri sahaja, kecuali jika diminta oleh pemerintah untuk bersumpah. Diam tidak boleh dianggap sebagai membenarkan dakwaan ke atas dirinya.

Jika kita berpegang dengan kaedah ini, maka kita perlu menolak sahaja sebarang berita yang tidak disertakan dengan bukti. Lebih-lebih lagi di akhir zaman ini, zaman yang penuh dengan fitnah, zaman yang disebutkan oleh Nabi SAW sebagai zaman tersebarnya pembohongan ke seluruh ufuk dunia.

Perlu disedari, di dalam dunia ini terdapat orang yang kerjanya hanyalah menyebarkan pembohongan. Pada suatu hari Rasulullah SAW bermimpi melihat beberapa keadaan golongan yang diseksa di dalam neraka. Baginda SAW bertanya kepada malaikat yang mengiringinya di dalam mimpi itu, lalu malaikat tersebut menjawab:

الرَّجُلُ الَّذِي أتَيْتَ عَلَيْهِ يُشَرْشَرُ شِدْقُهُ إِلَى قَفَاهُ ، ومِنْخَرُهُ إِلَى قَفَاهُ ، وَعَيْنُهُ إِلَى قَفَاهُ ، فإنَّهُ الرَّجُلُ يَغْدُو مِنْ بَيْتِهِ فَيَكْذِبُ الكِذْبَةَ تَبْلُغُ الآفاقَ .(رواه البخاري: رقم الحديث 7047 من حديث سمرة من جندب رضي الله عنه);

Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan ke sehingga seluruh ufuk penjuru dunia” [HR Bukhari]

Sikap menyebarkan berita walaupun untuk mendapatkan kepastian, adalah termasuk di dalam golongan yang menyebarkan pembohongan. Walaupun niat kita bukan untuk berbohong, pasti ada yang akan terpengaruh dengan berita yang kita bawa.

Nabi SAW pernah berpesan:

كفى بالمرء كذبا أن يحدث بكل ما سمع

“Cukuplah seseorang digelar penipu, dengan perangainya menyebarkan setiap apa yang diterima.” [HR Muslim]

Apa yang menyedihkan, kewarasan manusia sudah terbalik. Orang yang dituduh pula perlu mengemukakan bukti. Jika tidak, maka tuduhan itu dianggap benar, walau tanpa sebarang bukti sekalipun! – HARAKAHDAILY 26/11/2017

- Advertisement -