Assabiqun, berpesan-pesan kepada kemenangan

SubkyLatif
- Advertisement -

DEMI masa yang manusia itu sentiasa dalam kerugian, maka pada petang 18 November lalu PAS melancarkan entiti baru dalam gerakan dalamannya, sebuah wadah yang dinamakan As-Sabiqun bagi memanfaatkan warganya yang menjelang usia 60 ke atas yang kebanyakannya atau rata-rata sebelum ini menjadi ahli yang kurang aktif.
     
Pelancaran itu adalah sebagai penutup acara sidang setiausaha PAS kawasan dan dewan-dewan yang menerima arahan-arahan terbaru daripada setiausaha agung Dato’ Taqiyudin Hassan tentang persiapan di ambang pilihan raya umu ke-14(PRU14) ini.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

- Advertisement -

Maka dalam pelancaran itu setiausaha agung berkata warga yang pernah berjasa dalam PAS itu kini dinamakan As-Sabiqun bagi menyuntik kerja dan semangat pilihan raya.
      
Nama itu diberi oleh Tuan Guru Presiden setahun lalu bagi As-Sabiqun Wilayah Persekutan yang kini dilebarkan ke seluruh negara. Nama itu adalah sempena panggilan yang diberikan kepada orang yang awal menerima Islam setelah junjungan Rasulullah diutus menjadi rasul dahulu.
      
Peranan awal As-Sabiqun menjelang PRU14 ini adalah mengambil saranan al-Quran untuk berpesan-pesan kepada kebenaran dengan kesabaran. Adapun berpesan-pesan untuk kemenangan Islam itu akan meminimakan hakikat yang kita sentiasa berada dalam kerugian.
      
Golongan yang layak menjadi warga As-Sabiqun adalah mereka yang berusia 60 tahun ke atas. Jumlah mereka melebihi 300,000 dari ahli yang sekitar sejuta sekarang. Jika dicampur dengan ahli-ahli yang berusia lebih 55 tahun maka akan besar lagilah jumlahnya.
     
Mereka terdiri daripada dua kumpulan. Pertama mereka yang sudah berada lama dalam PAS, berjasa besar dan kaya pengalaman. Kedua pula adalah mereka yang menjadi As-Sabiqun atas faktor usia dan menyertai PAS dalam usia yang lanjut. Mereka juga kaya dengan pengalaman.
     
As-Sabiqun sebagai produk baru dalam PAS adalah lanjutan daripada kewujudan Kelab Veteran PAS di beberapa negeri yang belum dilembagakan oleh PAS. Dan pelancaran itu adalah demi melembagakannya sebagai satu tenaga jentera yang dalam jangka masa panjang akan dapat menyumbang kepada kesegaran jamaah yang lebih berterusan.
      
Ia dilancarkan dalam acara memberi arahan kepada sekalian setiausaha dalam PAS bagi menyegerakan pertumbuhan.Ini kerana setiausaha mengambil langkah membawanya ke kawasan dan cawangan masing-masing. Moga-moga pada PRU nanti sempat ia memberi sumbangan.
     
Mungkin PRU ini yang terakhir kepada sesetengahnya, maka sebelum masing-masing berpindah ke alam lain, mereka wajar diberi peluang untuk menabur jasa dengan berpesan-pesan kepada orang dan rakyat yang terdekat dengannya tentang kemenangan Islam yang amat penting kepada kehidupan dan kemakmuran manusia.
      
Bermula berpesan kepada keluarga terdekat, jiran sebelah menyebelah dan kenalan yang sebaya sama sepermainan dan sama membesar dulu tentang kemenangan Islam yang penting kepada semua.Jangan mengundi selain daripada yang memperjuangkan Islam yang dimulai PAS sejak tahun 1951 dulu. Sesiapa yang tidak mengundi di tempat tinggalnya maka baliklah mengundi kerana mungkin inilah proses pengundian yang terakhir.
      
Berpesan-pesanlah supaya PAS mesti menang sekali ini.Jika ia tidak menang juga bertambah lagi kerugiannya, bertambah lagi kerosakan di muka bumi kita ini.
      
Mungkin dalam keadaan yang ada sekarang kemenangan itu seolah-olah tidak kelihatan. Tetapi bulatkanlah tumpuan semua seperti tumpuan dan pengalaman golongan As-Sabiqun semasa cabaran perang Badar. Betapa yang memenangkan itu adalah Allah dan kekalahan adalah akibat kekurangan yang ada pada semua.
      
Kekurangan yang ada pada kita sekarang adalah kekurangan yang ada pada As-Sabiqun dalam perang Badar dan kekuatan yang ada pada mereka ialah keberadaan Rasulullah SAW. Sekalipun tubuh Nabi tidak bersama tetapi roh dan pimpinan Nabi sentiasa bersama kita.
      
Bukan pergantungan masing-masing sekadar mengambil nama As-Sabiqun itu saja, tetapi seluruh ahli As-Sabiqun perlu menghayati seluruh kerja-kerja para As-Sabiqun dan menterjemahkannya dalam gerak kerja politik kita sekarang.
      
Orang yang hadir pada pelancaran itu dan sekalian warga yang layak menjadi  anggotanya tetapi tidak berpeluang menghadiri penubuhan PAS di Butterworth 66 tahun dulu, kini menyertai pelancaran As-Sabiqun di Taman Melwar minggu lalu seperti ganti hadir dalam penubuhan PAS dahulu. Dan bagi ahli-ahlinya yang berjumlah 300,000 serta penyokongnya yang tidak sempat hadir, maka sambutannya adalah seperti menyambut kelahiran PAS 66 tahun dulu.
       
Maka sekalian setiausaha kawasan yang berkumpul mendengar taklimat dan arahan setiausaha agung pulang membawa obor As-Sabiqun ke ceruk rantau masing-masing. Moga-moga dalam masa dua bulan ini As-Sabiqun ada di tempat masing-masing. Bukan saja mereka sekadar menyegarkan semangat dan keberadaan dalam PAS, tetapi keberadaannya menyumbang kesegaran semula PAS secara menyeluruh.
     
Semua mesti faham kebanyakan warga As-Sabuqun lututnya telah sengal dan kulitnya kendur. Keupayaan bergerak mereka terhad, tetapi dengan dorongan dari sekalian setiausaha kawasan, nescaya dapat menyuburkan kelahiran As-Sabiqun di tempat masing-masing.
      
Mungkin ada sesetengahnya berasa mereka terbiar dan ada yang putus hubungan dengan jemaah. Mungkin ada yang merasa mereka tidak dikehendaki lagi dan jasa besar mereka dilupai. Maka apabila mereka berasa terabai, maka jangan biarkan ia boleh memutuskan hubungan mereka dengan jemaah. As-Sabiqun kini datang bagi membawa mereka kembali ke tengah medan.
     
Sebenarnya PAS sayang kepada semua. Seperti mana kasih Rasulullah kepada umatnya. Baginda melafazkan ‘Umati! Umati! menjelang wafatnya. Maka demikianlah wajarnya kasih PAS kepada anggotanya khususnya yang berjasa besar kepada PAS di masa aktifnya dahulu.
      
Orang yang berjasa ini mesti dilayan sebaiknya. Cari masa dan peluang melayannya. Tetapi kita dalam waktu yang sama perlu memahamkan kepada semua bahawa masa keluar rumah adalah terhad. Oleh itu jangan kecil hati jika orang PAS kurang berhubung dengan mereka.
     
Saya ingatkan kepada keluarga saya –isteri dan anak-anak – jika semasa tua saya, saya kurang dikunjungi, jangan kecil hati dan berkata apa-apa. Kita mesti faham bahawa PAS bukan seperti patung yang banyak tangan. Masing-masing ada dua  tangan saja. Banyak yang perlu mereka lakukan.
     
Setiap detik dalam 24 jam sehari iu digunakan untuk kerja PAS. Mugkin tidak cukup masa untuk melakukan semua kerja. Maka biarlah PAS menggunakan masa yang terhad itu untuk melakukan kerja-kerja PAS. Jika ada masa lapang barulah ziarah saya.
     
Saya kira aktivis PAS yang menziarahi saya ialah kerana mereka ada masa lapang.  Jika ada kerja, maka buatlah kerja dulu. Jika tidak ada kerja maka bolehlah mengunjungi saya.
     
Saya tidak dapat memaksa semua orang berumur dalam PAS untuk bersikap seperti saya. Tapi jika orang PAS dapat bersetuju dengan  saya, maka beban ahli As-Sabiqun dapat dikurangkan.
     
Saya mengajak sekalian penyokong As-Sabiqun untuk mencari ikhtiar supaya As-Sabiqun dapat menghalang orang daripada meningalkan PAS. Setiap yang menyertai PAS mesti kekal dalam PAS dan mati dalam PAS.
     
Dan pada ketika yang  sama kita perlu memikirkan bagaimana mereka yang tercicir itu dapat kembali ke  PAS.
     
Kita berpuas hati kerana 300,000 orang yang layak menjadi ahli As-Sabiqun bersama warga PAS yang sejuta itu dalam semua masa bersama imam.Mereka sama menjadi penyumbang fikiran kedua sama seperti peranan makmum menegur imam yang silap, demi menyempurnakan  solat, bukan membatalkan solat.{/mprestriction}

- Advertisement -