Ahli Parlimen lihat derita Rohingya di kem pelarian

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Malaysia terus memberi perhatian tinggi terhadap nasib umat Islam Rohingya apabila Parlimen Malaysia telah mengadakan lawatan khas langsung ke Kem Pelarian Balukhali, di Cox’s Bazar, Bangladesh semalam.
 
Misi lawatan Ahli-ahli Parlimen Malaysia yang turut menyerahkan sumbangan Tabung Kecemasan Rohingya itu diketuai sendiri Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Seri Ronald Kiandee.
 
Sekali gus memberi mesej kepada dunia terhadap komitmen membela nasib Rohingya tertindas itu serta bersama dengan suara menentang kezaliman Myanmar yang diakui badan dunia sedang bertindak ke arah penghapusan etnik.
 
Rombongan itu seramai 51 anggota terdiri dari 12 Ahli Parlimen, Pegawai Kedutaan Malaysia di Dhaka dan para pegawai kerajaan dari pelbagai jabatan serta agensi, termasuk wakil-wakil media.
 
Mereka telah diberi taklimat berhubung perkembangan semasa sejak tragedi hujung Ogos lalu itu serta membuat serahan sumbangan kepada wakil Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Mercy Malaysia dalam satu majlis khas di Tulip Royal Hotel, di sana.
 
Setelah itu, ahli rombongan turut dibawa melihat sendiri keadaan umat Rohingya di kem tersebut menemui 1,001 kisah kesengsaraan diiringi Naib Presiden MAPIM, Ustaz Ahmad Tarmizi Sulaiman.
 
Pada lawatan itu, Timbalan Menteri Pengangkutan, Dato’ Abdul Aziz Khaprawi turut mengetuai perasmian Musolla Malaysia yang disumbangkan kepada pelarian untuk ibadah dan kegiatan mereka di kem itu.
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Rantau Panjang, Siti Zailah Mohd Yusoff dari PAS berkesempatan melawat empat yatim piatu, Azizah dan adik-adiknya yang kedua ibu bapa mereka dibunuh pihak Myanmar.
 
Beliau bersama Ahli Parlimen Kuantan, Fauziah Salleh juga menziarahi Nurul Hasan yang masih terlantar kaku akibat serangan strok ketika keluarganya keluar lari dari Maugdaw, Myanmar setelah rumah mereka dibakar. – HARAKAHDAILY 26/11/2017
- Advertisement -