Perubatan berasaskan dalil

- Advertisement -

MASYARAKAT umum mungkin tidak faham asas huraian sesuatu dakwaan atau penemuan para pengkaji dalam dunia perubatan. Tahap-tahap dalil yang boleh diambil kira, kekuatan sesuatu kajian, keberkesanan sesuatu ubat/produk, keselamatan penggunaannya dan kesan-kesan positif/negatif akhir setelah digunakan. Bagi masyarakat umum, apa sahaja yang dibentangkan oleh orang tertentu, nampak sains dan disulami dalam bahasa medik, terus mereka mempercayainya.

- Advertisement -

drsuhazeli2Pengesahan harus dilakukan agar maklumat yang diterima itu benar dari sudut perubatan. Adakah ianya dalam ruang lingkup ilmu perubatan atau sebaliknya. Sesuatu dakwaan penemuan dalam perubatan, perlu dilihat penjelasan sains sama ada bercanggah atau tidak. Sebagai contoh, pernah disebarkan satu tulisan bahawa sujud semasa solat boleh menjadikan sesorang itu kuat daya ingatan. Kononnya semasa sujud, darah kita akan semakin banyak ke otak hinggakan ia memasuki salur darah yang paling terpencil dalam otak. Jika tidak sujud, darah tidak akan sampai ke salur darah kecil itu. Sekali pandang, ada logiknya teori tersebut. Akan tetapi, apabila kita padukan dengan ilmu perubatan, kenyataan berkenaan adalah tidak benar. Setiap salur darah dalam otak manusia akan mengalir walau sekecil mana pun. Jika tidak mengalir, bermakna seseorang itu mengalami strok (angin ahmar). Manusia normal terdapat mekanisma khusus yang Allah ciptakan bagi sistem pengaliran darah dalam otak. Unik dan mengandungi pengajaran bermakna bagi orang yang berfikir.

Penemuan dalam bidang perubatan ini boleh diibaratkan sama dengan pengesahan para ulama terhadap hadis Nabi. Oleh itu ulama membahagikan hadis itu kepada kategori sahih, hasan, lemah, palsu dan lain pengkategorian secara terperinci. Gunanya agar ilmu, maklumat yang diterima itu benar serta tepat. Masyarakat tidak beramal dengan amalan yang tidak sahih dari Rasulullah dan para sahabat baginda.

Cuba lihat contoh satu tulisan yang mengaitkan penemuan janggut boleh menyuburkan kaum wanita. Asas ilmu sains perubatan pun sudah boleh menolaknya. Tidak perlu dibuktikan melalui kajian canggih pun. Testesterone bukan hormon subur bagi wanita. Hormon subur wanita adalah estrogen dan pregesteron. Tetapi kajian membuktikan bahawa testesteron lelaki boleh membantu dalam proses rawatan kesuburan. Kajian tersebut menggunakan ektrak hormon testesteron dan disuntik ke dalam telur betina. Kajian tersebut dilakukan ke atas haiwan. Kajian ke atas manusia masih belum ditemui kejayaannya.[1]

Dalam dunia perubatan, apabila dakwaan sesuatu bahan itu boleh merawat atau mengubat sesuatu penyakit, maka dakwaan itu perlu dikemukakan bukti sahih dari kajian emperikal yang dijalankan. Begitu juga penemuan-penemuan baru dalam bidang perubatan, pakar-pakar akan terus berbincang dalam pelbagai strata perbincangan sama ada ianya munasabah dari sudut sains, boleh diaplikasikan dalam masyarakat dan dijadikan bukti untuk meneruskan rawatan ke atas pesakit.

Zaman kini, maklumat berada di hujung jari. Setiap kita dengan mudah boleh membuat carian info kajian perubatan melalui Google Scholar, PubMed Central, Cochrane, jurnal-jurnal terpilih dan banyak lagi.[2] Laman-laman tersebut dianggap gedung terbesar buku, majalah, jurnal, manuskrip secara maya. Google Scholar memuatkan 160 juta artikel, manakala PubMed Central mengandungi 4.1 juta artikel. Pelbagai jenis kajian, sama ada hirisan lintang, kohot, kajian kawalan dan sebagainya lagi. Cochrane pula mempunyai lebih dari 1.09 juta artikel kajian kes kawalan dan review. Database dari Cochrane terletak pada tahap tertinggi kesahihan dalam dunia perubatan. Jika kajian tersebut sahih dan boleh diterima pakai dalam perubatan, sudah pasti artikel sesuatu ubat/bahan tersebut dimuatkan di laman tersebut. Kemudian artikel berkenaan pula dijadikan rujukan (cite) oleh beberapa pengkaji lain seluruh dunia. Kaedah mencari artikel-artikel ini pun perlu dibuat dengan ilmu. Bukannya sekali baca dan terus membuat konklusi tanpa melihat kepada metodologi kajian, keputusan, perbincangan kajian dan kesimpulan yang boleh diambil.

Termaktub dalam kaedah perubatan bahawa pembuktian itu wajib melalui fasa-fasa sebelum ianya berkesan dan selamat digunakan. Fasa kajian terbahagi kepada 5; Pra-Klinikal, Klinikal (Fasa 1-3) dan Pos-Kelulusan penggunaan. Setiap fasa ini penting bagi menjamin ketelusan, keselamatan dan keberkesanan ubat yang dipasarkan. Tindakan menarik balik kelulusan ubat boleh dikeluarkan dalam mana-mana fasa tersebut jika berlaku sesuatu yang tidak diingini ke atas ketelusan, keselamatan dan keberkesanan ubat.

Fasa pra-klinikal juga dikenali sebagai kajian makmal. Terdapat kajian makmal yang menggunakan sel-sel hidup. Bahan/ubat yang dikaji akan diberikan kepada sel-sel hidup tersebut. Tindak balas akan dicatat sama ada positif atau negatif, boleh merencatkan atau menggalakkan sel tersebut bertindakbalas. Kemudian pelaporan dibuat oleh pengkaji. Pada peringkat ini, para saintis yang membuat kajian sesekali tidak boleh mendakwa penemuan beliau berjaya merawat panyakit. ya perlu dibuat kajian lanjut ke atas haiwan, ujian toksikologi dan meneruskan kajian ke fasa-fasa klinikal. Sebagai contohnya kajian ke atas keladi tikus, durian belanda, daun rerama dan beberapa species herba lagi.[3]

Selain sel hidup, kajian juga dibuat ke atas haiwan. Haiwan digunakan dalam makmal untuk mengkaji penyakit dan uji kaji ubatan yang sesuai.

Penyakit-penyakit seperti tekanan darah tinggi, diabetes, katarak, kekejangan, masalah pernafasan, parkinson, alzheimer, kanser, HIV dan Aids, penyakit jantung, masalah saraf spinal adalah contoh penyakit manusia yang menggunakan tikus sebagai ujian bagi mengkaji penawar penyakit tersebut. Tikus juga digunakan untuk menguji ubat anti ketagihan dadah. Antara jenis haiwan yang digunakan adalah: Tikus pelbagai species seperti tikus putih (Sprague Dawley), Hamster dan Guinea Pig (Majoriti digunakan di Malaysia), Arnab (rabbit), Kambing, Lembu, Kinzir, Kuda dan Monyet. Para pengkaji wajib mendapat kelulusan dan etika ketat sebelum menjalankan kajian klinikal. Di Malaysia, terdapat kod etika khusus dalam pengambilan haiwan sebagai subjek kajian makmal.

Kaedah ini digunapakai kepada semua jenis ubat moden dan ubatan alternatif kerana dakwaan sesuatu ubat boleh menyembuhkan penyakit memberikan implikasi besar kepada perawatan pesakit.

Suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli
24.11.2017
Istanbul

Pautan
[1] Kajian menggunakan hormon testesterone atas haiwan. https://www.urmc.rochester.edu/…/female-fertility-whats-tes…
[2] Cochrane Library. http://www.cochrane.org/
[3] Durian Belanda, Keladi Tikus, Daun Rerama Rawat Kanser? http://suhazeli.com/wp/?p=1278

- Advertisement -