32 tahun Memali: Meruak tirai berlapis sang Tirani

- Advertisement -

BALING sebuah daerah yang sarat dengan peristiwa besar negara dan melakar sejarah. Di saat tanah leluhur ini diselimuti perlawanan dengan gerila Bintang Tiga, maka Baling dipilih untuk dijadikan medan perbincangan solusi antara PKM dan pihak Kerajaan pada tahun 1955. Pada tahun 1974 pula, ekoran daripada harga getah yang merudum, maka Baling menyaksikan kebangkitan rakyat tani yang digalang oleh gerakan mahasiswa Malaysia  sehingga menyebabkan ribuan anak-anak kampus ditahan oleh pihak berkuasa dalam lanjutan bantahan di Kuala Lumpur.

- Advertisement -

Akta Universiti Dan Kolej Universiti (Auku) telah dipinda dan diketatkan pasca bantahan gerakan mahasiswa paling besar dalam sejarah negara ini. Kejerihan rakyat Baling telah memacu kebangkitan anak muda prihatin negara ini yang menjadi kuasa semak dan imbang yang berkesan.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Baling sekali lagi melakar sejarah, namun dengan lebih tragis dan merobek jantung hati dengan berlakunya peristiwa berdarah Memali pada 19 November 1985. 14 penyokong PAS dan empat orang polis terkorban akibat kerakusan dan kesilapan regim BN menanggani peristiwa ini yang mengundang kritikan berpanjangan sepanjang tiga dekad ini.

Dekad 1980an adalah dasawarsa kebangkitan Islam yang menyaksikan kerajaan BN melancarkan kempen Penerapan Nilai Islam untuk menghadapi kebangkitan Islam yang sedang bersemarak hangat.

Tokoh utama yang menjadi watak tragedi ini ialah assyahid Ustaz Ibrahim Mahmud yang dikenali juga sebagai Ustaz Ibrahim Libya. Beliau adalah pendakwah dan ulama yang pernah mendapat pendidikan di Deoband India, Universiti al Azhar Mesir dan juga Maahad Dakwah di Tripoli Libya.

Beliau yang juga pemidato yang handal sehingga pernah dinobatkan sebagai pendakwah terbaik di Wilayah Persekutuan, aktif menyampaikan kuliah-kuliah agama di Lembah Klang .

Ustaz Ibrahim berkerja dibawah Pusat Islam sehinggalah beliau mengambil keputusan untuk berhenti makan gaji dan pulang ke daerah kelahirannya untuk sepenuh masa menyebarkan pencerahan dan ilmu agama untuk masyarakat desa yang dahagakan ilmu.

Ustaz Ibrahim mengasaskan pusat pengajian Islam di kampung Memali Baling, aktif menyampaikan kuliah agama di Utara Semenanjung dan popularitinya dengan pantas mencuat dikalangan masyarakat Utara Semenanjung.

Beliau pernah bertanding dalam pilihanraya umum pada tahun 1978 di DUN Bayu, namun tewas tipis kepada calon BN. Selain itu pernah menjadi Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Kedah, juga Pengerusi ABIM daerah Baling.

Pada tahun 1984 , berlaku tangkapan kepada tokoh-tokoh pimpinan pemuda pas dibawah ISA , antaranya ustaz Abu bakar Chik, ustaz Abdul Latif Mohamad, Ustaz Bunyamin Yaakob dan Ustaz Ibrahim antara nama yang tersenarai untuk ditahan tanpa bicara.

Namun pihak berkuasa gagal menahan Ustaz Ibrahim kerana beliau dikawal rapi oleh penyokong-penyokongnya yang setia. UMNO kedah semakin gelisah dengan populariti almarhum yang tidak gentar dengan ugutan dan ancaman, sentiasa hadir menyampaikan kuliah dimana sahaja beliau dijemput.

Dalam perhimpunan Agong Umno pada tahun 1985, sekali lagi wakil UMNO Kedah mendesak KDN supaya mengambil tindakan tegas terhadap Ustaz Ibrahim Libya yang dilihat mengancam penguasaan Umno di Kedah. Pada tahun yang sama berlaku tragedi Lubuk Merbau dalam pilihan Raya Kecil Padang Terap yang membawa pembunuhan terhadap Osman Talib, seorang aktivis PAS Kedah, juga kecederaan parah seorang ahli PAS dari Besut, Haji Ayub Mir. Bahang kebangkitan PAS semakin menyala di negara ini, apatah lagi dengan fenomena Haji Hadi yang sedang melanda .

Dengan desakan berterusan, maka akhirnya pada 19 November 1985 berlakulah tragedi yang memerihkan hati umat Islam negara ini, plot ceritanya hampir sama dengan peristiwa Talangsari dan Tanjung Periuk di Indonesia.

Ribuan anggota keselamatan dikerah untuk mengepung Ustaz Ibrahim Libya dan pengikutnya, warga desa tak berdosa. Memali bergema dengan ledakan senjata api, mengalir darah syuhada bahkan menyebabkan anggota polis juga terkorban  dalam misi ini. Panggung misteri belum terungkap, dengan senjata apakah anggota polis itu terbunuh.

Usai tragedi Memali, seluruh media perdana terus menghukum Ustaz ibrahim dan pengikutnya sebagai penganut ajaran sesat , manakala ulama PAS dan ulama pondok di Kedah seperti Tuan Guru Haji Umar Zuhdi, Tuan Guru Yahya Juneid mengistiharkan mereka yang teraniaya itu sebagai syuhada.

 PAS mengadakan sambutan tragedi Memali secara besar-besaran tahun ini, 18 dan 19 November supaya generasi muda mengenang kejerihan masa lalu perjuangan yang tak terhampar dengan permaidani merah dan arakan bunga manggar.

Suruhanjaya siasatan Diraja wajib membuka kembali siasatan dan membersihkan nama -nama mangsa tragedi berdarah ini. Keadilan mestilah diberikan kepada seluruh mangsa serta membayar pampasan yang seadilnya kepada mangsa yang terlibat. Seret pelaku jenayah ini ke muka pengadilan semoga tragedi ini tak akan berulang lagi di tanah leluhur ini.

(Penulis ialah AJK PAS Pusat, Pengerusi LESTARI,){/mprestriction}

- Advertisement -