66 tahun melayar perjuangan: PAS terus melangkah gagah

- Advertisement -
HARI ini, 24 November 2017, genaplah 66 tahun usia perjuangan PAS melayari samudera untuk menegakkan sebuah masyarakat dan pemerintahan yang terlaksana di dalamnya hukum dan nilai-nilai Islam di negara ini. Demi melaksanakan tanggungjawab amar makruf dan nahi mungkar dalam menuju keredhaan Allah SWT, PAS telah melangkah gagah selama 66 tahun menuju destini perjuangannya.
 
Ketika PAS ditubuhkan dalam Persidangan Alim Ulamak Se-Malaya di Kelab Sultan Sulaiman, Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, para ulamak telah memutuskan supaya badan politik-agama yang berasingan dari Umno ini, supaya mengadakan persidangannya sendiri di Seberang Perai dalam masa tiga bulan bagi menyusun, menggariskan hala tuju dan memulakan pergerakannnya. Para ulamak Seberang Perai yang dipimpin oleh Mufti Sheikh Abdullah Fahim dan Tuan Guru Haji Ahmad Tuan Hussin telah menetapkan supaya Persidangan Pertubuhan Ulamak Malaya ini diadakan pada 24 November 1951, di Kelab Melayu Bagan, Bagan Tuan Kecil (kini Butterworth).
 
Bagi menyambut persidangan ini, Mudir Madrasah Daeratul Maarif al-Wathaniyah, Ustaz Haji Ahmad Badawi Badawi telah mengeluarkan “Manifesto al-Badawi: Ulamak ke Jalan Allah” pada 23 November 1951 bagi menyeru para ulamak agar bersatu untuk memulakan langkah perjuangan menegakkan Islam di Tanah Melayu. Hasilnya, pelbagai pertubuhan agama, institusi pendidikan Islam, beberapa Bahagian Agama Umno, para ulamak dan orang perseorangan telah menyertai persidangan pada 24 November 1951 ini.
 
Perjuangan Islam di Alam Melayu dalam bentuk organisasi yang dimulakan oleh Jam’iyatul Fathaniyah di Mekah pada 1873 ini, telah dilanjutkan oleh Jam’iyatul Rusyidiyah di Pulau Penyengat pada 1880, sebelum berkembang membentuk pelbagai gerakan politik Islam termasuk Sarekat Islam (1905), Muhammadiyah (1912), Nahdatul Ulamak (1926), Masyumi (1937), Hizbul Muslimin (1947) dan lain-lain, yang akhirnya disambung oleh PAS di Tanah Melayu bermula 1951. Kemunculan PAS setelah Hizbul Muslimin dilumpuhkan oleh Ordinan Darurat 1948, adalah bermula apabila para ulamak Hizbul Muslimin menyertai Bahagian Agama Umno pada 1949. Melalui Bahagian Agama Umno, “para ulamak PAS” telah mengaturkan dua Persidangan Alim Ulamak Malaya di Muar pada 20-21 Februari 1950 dan di Kuala Lumpur pada 23 Ogos 1951, sehingga mereka berjaya menubuhkan PAS sebagai pengganti Hizbul Muslimin.
 
Persidangan bersejarah pada 24 November 1951 ini telah memulakan langkah perjuangan PAS apabila dua keputusan utama dibuat. Pertama, meluluskan Undang-undang Tubuh PAS 1951 sebagai perlembagaan yang memandu pergerakan PAS. Mereka telah memutuskan supaya pertubuhan ulamak ini dinama sebagai Persatuan Islam Se-Malaya (PAS), dengan tujuan untuk menjadi pergerakan politik Islam. Kedua, persidangan ini telah melantik sebuah Jawatankuasa Kerja PAS yang akan menjalankan seluruh tujuan dan cita-cita PAS yang berdasarkan Islam. Mudir Madrasah al-Masriyah, Bukit Mertajam, Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan telah dipilih sebagai Yang Dipertua PAS yang pertama.
 
Bermula saat inilah, PAS telah memulakan langkah perjuangannya sejak 66 tahun lalu dengan dipimpin oleh tujuh orang Yang Dipertua PAS / Yang Dipertua Agung PAS / Yang Dipertua PAS Pusat / Presiden PAS iaitu Tuan Guru Haji Ahmad Fuad Hassan (1951-1953), Dr Haji Abbas Alias (1953-1956), Prof Dr Burhanuddin Mohd Noor al-Helmy (1956-1969), Dato’ Mohd Asri Haji Muda (1969-1982), Ustaz Haji Yusof Abdullah ar-Rawi (1982-1989), Ustaz Dato’ Haji Fadzil Mohd Noor (1989-2002) dan kini oleh Dato’ Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang sejak 2002.
 
Dalam tempoh perjuangan selama 66 tahun ini, PAS telah mengalami pasang surut dan jatuh bangun perjuangannya. Para pengkaji mengatakan PAS telah melalui tahap pembinaan ideologi (1951-1956), pencernaan ideologi (1956-1965) dan pengukuhan ideologi (1965-sekarang); sedangkan dari sudut kepemimpinannya, ia telah melalui era kepemimpinan ulamak tradisional (1951-1956), kepemimpinan nasionalis kiri (1956-1969), kepemimpinan nasionalis kanan (1969-1982) dan kepemimpinan ulamak haraki (1982-sekarang). Melihat kepada perkembangan organisasi PAS ini, ia telah melalui tahap penubuhan (1951-1959), tahap kebangkitan (1959-1978), tahap kejatuhan (1978-1990) dan tahap kebangkitan semula (1990-sekarang).
 
Hari ini, PAS yang sarat dengan pengalaman politik-dakwah telah memasuki era baru selepas pembersihan organisasi PAS 2015, di mana PAS melangkah gagah dengan optimis menawarkan gagasan Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS) dan mengemukakan Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS) sebagai tawaran kepada rakyat dalam menggadapi kebobrokan politik yang berasaskan kebangsaan dan sekularisme yang didukung oleh Barisan Nasional dan Pakatan Harapan. Pengalaman luas PAS yang dipandu oleh kepemimpinan ulamak berteraskan al-Quran dan Sunnah ini, telah dilihat paling berpotensi untuk mengambil alih kepemimpinan negara dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
 
Selamatlah Parti Islam Melangkah,
Membimbing ummah ke medan siasah,
Berpedomankan al-Quran dan Sunnah,
Suburlah hidupnya dan pasti berbuah..!
 
MOHD FADHLI GHANI
Head
House of Resources
T24 November 2017 – HARAKAHDAILY 24/11/2017
- Advertisement -