Undi belah bagi: Wan Azizah, LKS, Muhyiddin ada di mana?

- Advertisement -

SEMENJAK malam tadi (20 Nov 2017), kecoh di alam maya berkenaan berita Kerajaan hampir kalah dalam undian Bajet 2018 dengan keputusan 52 yang menyokong, 51 menolak, dan 2 berkecuali.
Oleh sebab Pakatan Harapan kalah dengan majoriti 1 undi sahaja, maka mereka dengan semudahnya menjadikan PAS sebagai kambing hitam untuk dipersalahkan.

- Advertisement -

Terdapat beberapa kekeliruan dan penipuan fakta yang perlu diperjelaskan di sini;

a) Adakah undian malam tadi adalah berkenaan usul untuk kenaikan kos sara hidup dan harga petrol?
Jawapannya: TIDAK.
Undian malam tadi adalah berkenaan meluluskan Bajet untuk Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) beroperasi bagi tahun 2018.

b) Apakah isi kandungan Bajet KPDNKK yang hendak diluluskan malam tadi?
Bajet yang berjumlah RM1.43 billion adalah untuk melaksanakan program;
– pembangunan perdagangan dalam negeri
– pembangunan koperasi
– pendayaupayaan pengguna
– kecemerlangan organisasi

c) Mengapa ada ahli Parlimen PAS berkecuali dan ada yang menolak ketika pengundian semalam?
Ketika undian belah bahagi peringkat Dasar Bajet 2018 berlangsung pada 13 November 2017, sudah ada keputusan secara kolektif lebih awal untuk Ahli Parlimen PAS Berkecuali atas sebab yang sudah diperjelaskan sebelum ini.

Namun, undian belah bahagi di peringkat Jawatankuasa (Kementerian) seperti yang berlaku semalam adalah perkara di luar jangka yang berlaku secara mengejut (on the spot) tanpa sempat para Ahli Parlimen PAS mengadakan mesyuarat precouncil bagi membuat keputusan secara kolektif.

Apa yang berlaku di dewan malam tadi telah menzahirkan hikmah besar di sebaliknya iaitu hasrat PAS untuk menjadi King Maker bukanlah omong kosong.

Senario ini terbukti apabila walaupun hanya dengan 2 orang sahaja Ahli Parlimen PAS Berkecuali, ia menjadi penentu keputusan samada Kerajaan berjaya meluluskan Bajet atau PH berjaya dalam operasi serang hendap undian belah bahagi tersebut.

Adakah salah PAS Berkecuali?

Ia adalah pendirian konsisten PAS yang telah dizahirkan semasa pengundian Bajet bagi tahun 2016 dan 2017 lagi.

Hal ini kerana PAS berpandangan terdapat unsur yang bermanfaat untuk rakyat seperti subsidi dan ada juga elemen negatif seperti GST yang menyusahkan rakyat.

Maka, PAS memilih untuk berkecuali iaitu tidak menyokong sepenuhnya dan menolak sepenuhnya Bajet tersebut.

Hakikatnya, PH telah gagal dalam pengundian malam tadi. Namun, PAS pula yang dipersalah sebagai punca kekalahan mereka. Adakah ini adil.?
Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa terdapat lebih 20 orang Ahli Parlimen PH tidak hadir semasa pengundian berlangsung.

Portal Malaysiakini pro PH hanya menyenaraikan nama 6 Ahli Parlimen PAS yang tidak hadir sedangkan mereka tidak pula melaporkan siapa Ahli Parlimen PH yang tidak hadir.

Oleh sebab mereka malu untuk mendedahkan nama tersebut, eloklah saya bantu menyenaraikan sebahagian tokoh besar PH yang tidak hadir iaitu;

a) Ketua Pembangkang, Dato’ Seri Dr Wan Azizah (Permatang Pauh)
b) Ketua Ahli Parlimen DAP, Lim Kit Siang (Gelang Patah)
c) Presiden PPBM, Tan Sri Muhyiddin Yassin (Pagoh)
d) Timbalan Presiden PKR, Dato’ Seri Azmin Ali (Gombak)
e) Pengerusi DAP, Tan Kok Wai (Cheras)
f) Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar (Lembah Pantai)

Senarai nama ini panjang lagi, cuma sebaiknya juak PH bertanyalah kepada pemimpin mereka yang tidak hadir ini?

Adakah mereka ponteng dewan? Adakah mereka berkecuali?

Bukankah ketidakhadiran mereka ini adalah punca utama kegagalan PH dalam operasi serang hendap pengundian semalam?

Kepada pemimpin dan penyokong PH, berhentilah membuat fitnah dan mengkambing hitamkan PAS demi menutup kegagalan strategi mereka sendiri.

Kononnya, undian semalam untuk kenaikan kos sara hidup dan harga barang sedangkan sebenarnya, undian tersebut adalah untuk meluluskan Bajet Kementerian KPDNKK beroperasi.

Adakah PH benar-benar serius untuk menolak Bajet?

Atau sebenarnya mereka hanya bersandiwara menipu rakyat?

Untuk makluman, terdapat sebanyak 25 Kementerian di bawah Kerajaan Pusat.

Apabila Bajet sudah diluluskan di peringkat Dasar, ia kini berada di peringkat Jawatankuasa iaitu perbahasan menjurus kepada pecahan terperinci mengikut butiran kepala pembangunan setiap Kementerian.

Perbahasan peringkat Jawatankuasa sudah bermula pada Selasa, 14 November 2017.

Mengapa PH tidak pula meminta undian belah-bahagi setiap kali bajet Kementerian selesai dibahaskan?

Contohnya, semalam terdapat 3 Bajet Kementerian dibahaskan iaitu
a) Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan
b) Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan
c) Kementerian Kerja Raya

PH hanya meminta undian belah bahagi ketika Bajet KPDNKK sahaja. Jelas, mereka hanya main-main sahaja sebenarnya.

Pemimpin PH saban hari mengecam, memperli dan memfitnah PAS. Tetapi, anehnya ketika pengundian semalam tanpa segan silu pula mereka merayu kepada PAS untuk mengundi menjayakan misi mereka.

Hipokrit bukan?

PAS mereka tak mahu, tetapi undi Ahli Parlimen PAS mereka mahu.
Oh, mungkin mereka baru tersedar bahawa undian PAS bernilai emas rupanya.

Catatan oleh;
SYED AHMAD FADHLI
Pegawai Lajnah Hal Ehwal Parlimen PAS
21 November 2017 – HARAKAHDAILY 22/11/2017

- Advertisement -