Tragedi Memali angkara Umno sekat gelombang Islam

- Advertisement -
BALING: Tragedi berdarah Memali yang berlaku 32 tahun lalu mensabitkan kesalahan kononnya As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud terlibat dengan ajaran sesat dan pergerakan senjata merupakan fitnah, ekoran pendirian dan prinsip dibawa oleh beliau tidak sealiran dengan pemerintah Kerajaan Umno-BN.
 
Perkara itu ditegaskan Naib Presiden PAS, Ustaz Idris Ahmad pada program Keadilan Untuk Memali di Madrasah Islahiah Diniah, Memali, di sini kelmarin.
 
“Kejadian tersebut membuktikan kerakusan kerajaan ditadbir oleh Umno-BN yang cuba melumpuhkan aktiviti dakwah mengajak masyarakat kepada Islam selain cuba mengaitkan aktiviti berkenaan kononnya bertujuan untuk melakukan pemberontakan terhadap kerajaan,” ujar beliau. 
 
Katanya lagi, As-Syahid merupakan seorang yang sangat cintakan pendidikan Islam dan usaha beliau mewujudkan sebuah pusat pendidikan di Memali sudah menjadi kenyataan.
 
Dari bangunan surau yang usang katanya, sekarang sudah tersergam indah bangunan cantik di situ membuktikan niatnya ikhlas dan perjuangannya disambung dan dijayakan oleh rakan-rakan beliau.
 
Ustaz Idris menyambung, walaupun pendekatan pilihan raya sering kali dilihat tidak memihak kepada PAS ekoran tindakan persempadanan semula apabila kerajaan melihat gelombang sokongan rakyat mula memihak kepada pembangkang.
 
Namun katanya, PAS terus komited dengan pelbagai cara dan mempergiatkan gerak kerja untuk membolehkan setiap tempat mempunyai ahli dan pengaruh PAS yang kuat.
 
“PAS yakin dengan dasar Islam yang dibawa. Apabila Islam memerintah maka akan wujud keadilan untuk semua.
 
“Tiada pilihan yang lain selain Islam dan rakyat kena faham andainya Islam tidak selamat semua orang tidak akan selamat, namun apabila Islam selamat, semua bangsa dan agama akan selamat,” sambung beliau.
 
Sehubungan itu jelasnya lagi, Islam mesti dijadikan tuan rumah bukan pendatang dan berkuasa bukan dikuasai, diperintah bukan diperintah, seterusnya dijadikan rujukan dalam setiap tindakan, bukannya mengambil sebahagian dan menolak sebahagian. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
- Advertisement -