SRIDAR Kertih mulakan pengambilan pertama

- Advertisement -
KEMAMAN: Sekolah Rendah Islam Darul Rahman (SRIDAR) Kertih akan memulakan sesi persekolahan pertama pada tahun hadapan di mana pengambilan pelajar tahun satu dan dua sedang dilakukan.
 
Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah SRIDAR Kertih, Ustaz Muhammad Mahadi Nawi memaklumkan, 12 pelajar telah mendaftar dan menyelesaikan bayaran yuran masing-masing untuk memulakan sesi 2018 itu.
 
“Kebiasaan ibu bapa akan mula mendaftar pada saat-saat akhir iaitu sebelum sesi persekolahan bermula, insya-Allah bukan masalah besar rasanya untuk membuka dua kelas.
 
“Kita akan cuba mulakan dengan 20 pelajar untuk tahun pertama ini, guru pun telah kita ambil, sudah bayar gaji pun. Bayaran kita ambil setiap bulan sekitar RM230 sahaja, siap dengan makan dua kali sehari, masuk pagi dan balik dalam pukul 2:30 atau 3:00 petang.
 
“Kompleks sekolah bernilai hampir RM3 juta hasil sumbangan orang ramai sedang dibangunkan secara berperingkat, sebahagian bangunan bersedia untuk digunakan pada sesi persekolahan nanti,” tambah beliau.
 
Menurut Ustaz Mahadi lagi, silibus pelajaran akademik adalah sama dengan sekolah kerajaan dan tambahan kurikulum diniah meliputi pelajaran Bahasa Arab, Al Quran, Fekah, Tauhid dan lain-lain.
 
Pendaftaran pelajar menurutnya, boleh dilakukan sekarang dengan menghubungi pihak sekolah di talian 09-8165117.
 
SRIDAR Kertih bernaung di bawah kelolaan Dewan Ulamak PAS Negeri Terengganu dan menjadikan Sekolah Rendah Islam (SRI) ke 11 dan paling bongsu di negeri ini. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
- Advertisement -