Keadilan Untuk Memali terus diperjuangkan

- Advertisement -
BALING: Tragedi berdarah Memali 19 November 1985 tetap menjadi memori segar diingatan bukan sahaja kepada penduduk kampung terbabit, malah seluruh ahli PAS dan pendokong perjuangan Islam di Malaysia. 
 
Bagi keluarga mangsa sama ada balu, anak-anak para syuhada dan mangsa tahanan, peristiwa yang sudah menjangkau 32 tahun itu seolah-olah baharu sahaja berlalu dan setiap yang dipilih Allah gugur pada hari itu dirasakan seperti masih ada bersama mereka.
 
Sehubungan itu, tarikh keramat 19 November tidak akan sirna dari diari PAS Pusat mahu negeri untuk memastikan ia terus diingati dan tidak luput dek zaman. 
 
Bertempat di Madrasah Islahiah Diniah yang bertuah terbinanya hasil dari pemikiran As-Syahid Ustaz Ibrahim Mahmud atau lebih dikenali sebagai Ibrahim Libya, program Keadilan Untuk Memali diadakan sebagai mengingati peristiwa berdarah itu selain mengeratkan siratulrahim bersama para mangsa kejadian terbabi, kelmarin.
 
Antara pengisian menarik di hari berkenaan ialah pengkisahan tragedi Memali yang bukan sahaja mengenang kembali detik-detik berlakunya peristiwa itu, tetapi kali ini hadirin juga berpeluang mendengar pendedahan isi kandungan Kertas Putih kejadian tersebut. 
 
Di samping itu, kesungguhan PAS untuk membantu mangsa dan keluarga syuhada direalisasikan dengan penubuhan Jawatankuasa Khas Memali untuk mendesak agar Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat isi kandungan Kertas Putih berkenaan selain membela hak-hak mereka.
 
Pengkisahan tragedi Memali itu disempurnakan oleh dua ahli panel iaitu Setiausaha Agung PAS Pusat, Dato’ Takiyuddin Hassan dan Pengerusi Jawatankuasa Khas Memali, Dato’ Muhammad Yusuf Husin.
 
Sementara itu, hadirin juga dihidangkan dengan sedikit pengkongsian kisah suka duka salah seorang balu syuhada, Aishah Ahmad, sempena slot Pidato Muslimat.
 
Selain itu mereka turut berpeluang mendengar tauhijat dari Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh dan Ketua Dewan Muslimat PAS Kedah, Dato’ Ustazah Siti Ashah Ghazali. 
 
Bersama program Pidato Muslimat itu juga ditampilkan beberapa balu para syuhada, antaranya Solehah Husin, Zainab Salleh, Rodhiah Yaakob dan Mariam Omar. 
 
Selain itu, pada malam sebelumnya Dewan Muslimat PAS Kawasan Baling mengadakan solat hajat serta munajat berjemaah yang dipimpin oleh Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat.
 
Program bersejarah ini juga diserikan dengan program ziarah para pemimpin diketuai oleh Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi ke rumah balu para syuhada. – HARAKAHDAILY 21/11/2017
- Advertisement -