PASTI titik persiapan PAS pikul taklif pemerintahan

- Advertisement -
BESUT: Peranan PAS di dalam politik tidak hanya bersedia memikul tanggungjawab besar dan mandat rakyat untuk memerintah, tetapi mengadakan persiapan pembangunan dengan menjana keinsanan dari peringkat anak-anak lagi.
 
Perkara itu sebagaimana usaha dilaksanakan PAS menerusi institusi pendidikan pra-sekolah PASTI yang mempersadakan acuan Islam dalam membentuk kehidupan berakhlak dan beragama.
 
Demikian intipati utama diutarakan Yang DiPertua PAS Kawasan Besut, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad ketika merasmikan Konvensyen PASTI Kawasan Besut di Dewan Haji Salleh, Alor Lintah, Jerteh, di sini semalam.
 
“Saya menaruh harapan yang sangat tinggi untuk melihat suatu ketika nanti akan lahir dari kalangan anak-anak lepasan PASTI ini karektor yang sangat penting dalam masyarakat.
 
“Menjadi ulama soleh yang akan memandu kehidupan masyarakat dan menjadi wakil rakyat yang akan memimpin rakyat di masa akan datang,” ujarnya.
 
Menurut beliau, penubuhan PASTI di kawasan itu sejak tahun 1988 telah berjaya membuka mata masyarakat terhadap kepentingan pendidikan pra-sekolah berasaskan sistem Islam.
 
Maklumnya, berdasar rekod 2017, bilangan di Besut sudah terdapat 21 PASTI dengan 58 guru dan 899 pelajar daripada 12,362 pelajar PASTI Terengganu atau 1118,986 seluruh Malaysia.
 
Katanya, dengan kapasiti itu membuktikan kepercayaan masyarakat terhadap PAS yang kian melonjak dan menjadi kesinambungan kepada perjuangan PAS melahirkan generasi rabbani. – HARAKAHDAILY 20/11/2017
- Advertisement -