PASTI S. Alam hantar Azim ke Peperiksaan Setara

- Advertisement -
SHAH ALAM: Majlis Konvokesyen PASTI Kawasan Shah Alam telah dilangsungkan dengan penuh gilang gemilang di Grand Ballroom, Space U8, Bukit Jelutong, di sini semalam.
 
Konvokesyen melibatkan seramai 615 graduan daripada 23 PASTI berbanding 517 graduan pada tahun lalu itu telah diadakan dalam dua sesi dengan dirasmikan oleh Yang Dipertua PAS Shah Alam, Abdul Halim Omar pada sebelah pagi dan Pengerusi Lajnah Pendidikan PAS Shah Alam, Ustaz Fairus Shuaib pada sebelah petang.
 
Abdul Halim dalam ucapannya berkata, PASTI merupakan buah tangan daripada PAS yang mana ianya telah diterima oleh semua masyarakat di seluruh negara di mana telah memberi sumbangan besar kepada sistem pendidikan negara.
 
“PASTI di Shah Alam telah berusia 27 tahun dengan bilangan pelajarnya mencapai 1,700 orang. Ketika ini, PASTI berjumlah 23 dan akan ditambah bilangannya sejajar dengan permintaan masyarakat,” tambahnya lagi.
 
Dalam ucapannya itu, beliau turut mengingatkan para ibu bapa untuk mempertingkatkan diri dalam memastikan berada pada landasan yang betul demi menjamin kehidupan dunia dan akhirat.
 
Majlis konvokesyen tersebut turut menyampaikan Anugerah Pelajar Terbaik kepada Muhammad Hazim Baharuddin dari PASTI Baitul Ikhwan 1 yang mendapat tempat pertama dalam peperiksaan PASTI Kawasan Shah Alam.
 
Beliau juga akan mewakili PASTI Shah Alam ke Peperiksaan Setara peringkat negeri Selangor.
- Advertisement -