Jangan ungkit Islam sebagai agama rasmi Sabah

- Advertisement -

PARTI Islam Se-Malaysia (PAS) Sabah berharap semua pihak tidak menimbulkan perkara-perkara sensitif berkaitan agama Islam sebagai agama rasmi negeri Sabah.

- Advertisement -

Merujuk pada Perkara (5A) Perlembagaan Negeri Sabah dengan jelas telah mewartakan bahawa Islam menjadi agama rasmi negeri Sabah.

PAS Sabah melahirkan kebimbangan atas situasi semasa yang dimainkan oleh beberapa parti politik di negeri Sabah sama ada pihak kerajaan atau pembangkang.

Perkara ini semakin panas selepas pembentangan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 yang dibuat oleh Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Haji Mulia beberapa hari lepas.

PAS Sabah berpendirian bahawa isu agama rasmi ini telah selesai. Jangan ada mana-mana pihak yang menimbulkan semula perkara seumpama ini. Sekiranya isu agama rasmi ini terus dijadikan modal politik, PAS  Sabah penuh yakin ia hanya akan menimbulkan konflik dan perbalahan.

Di samping itu, PAS Sabah  juga meminta kepada kerajaan khususnya kerajaan pusat supaya berlaku adil dengan rakyat Sabah.  Perjanjian Malaysia 1963 merupakan satu perjanjian yang menunjukkan hak sama rata di antara Semenanjung, Sabah dan Sarawak. Jangan ada tanggapan Sabah dan Sarawak umpama anak tiri.

PAS Sabah pernah memberi beberapa pandangan mengenai hak-hak Sabah dalam satu majlis di bawah Jawatankuasa Khas di bawah Datuk Teo Che Kang. PAS mahu supaya jawatankuasa ini memainkan peranan yang sebaiknya dan bukan hanya untuk tujuan politik semata-mata.

MOHD AMINUDDIN ALING
Pesuruhjaya PAS Sabah
20 November 2017 – HARAKAHDAILY 20/11/2017

- Advertisement -