Terokai IT untuk manfaat parti

- Advertisement -

BERKEMAHIRAN dalam pelbagai bidang memudahkan beliau untuk menyumbang kepada parti. Dalam masa sama, penglibatan dengan beberapa pertubuhan turut membantu beliau meneruskan perjuangan bersama PAS.

- Advertisement -

Selain pernah aktif bersama Pertubuhan Al-Arqam dan Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim), beliau yang dilahirkan pada 4 Oktober 1962 ini juga mahir dalam bidang grafik, perniagaan serta aktif di dalam sukan.

Bahiki Ismail, bapa kepada lapan orang anak ini pernah mewarisi perniagaan kedai kitab milik bapanya, selepas menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Menghabiskan banyak masa di kedai kitab bapanya memberikan ruang untuk anak jati Melaka ini membaca buku-buku agama dan meluaskan pembelajaran agamanya selain mengikuti kuliah atau usrah.

Tidak hairanlah sekiranya Ketua Pengarah Jabatan Pilihan Raya PAS Melaka ini berminat dengan kerja-kerja berbentuk dakwah, malah turut menerokai bidang teknologi maklumat dan strategi bersesuaian dengan peranannya sebagai Pengarah Jabatan IT PAS Melaka.

Apatah lagi, beliau juga merupakan seorang pereka grafik yang bekerja sendiri secara kecil-kecilan dan adakalanya mengambil tempahan menyiapkan banner untuk PAS sendiri.

Bahiki mula mengenali dan aktif bersama PAS pada 1984, sebelum mula mendaftar menjadi ahli PAS pada 1999 kerana menyedari PAS sebagai sebuah parti politik yang menerapkan unsur-unsur dakwah dan tarbiah.

Turut membarisi kepimpinan AJK Badan Perhubungan PAS Melaka dan AJK Dewan Harian Negeri Melaka, Bahiki juga diamanahkan sebagai Naib Ketua PAS Cawangan Kg Pulau, Durian Tunggal serta Pengurus PASTI Smart Soleh, Taman Murai Jaya, Durian Tunggal.

Kesibukannya menjalankan kerja-kerja jemaah tidak mendatangkan sebarang masalah kepada keluarganya apabila kedua-dua isterinya, Kamariah Mohd Said dan Rozita Mohd Saad begitu memahami tanggungjawab yang diberikan kepadanya.

Namun, sekiranya berpeluang, Bahiki yang menetap di Durian Tunggal, Melaka ini akan meluangkan masanya bersama keluarga dengan membawa mereka bercuti bagi menggantikan masa yang banyak dihabiskan bersama parti.

Selain membawa keluarganya bercuti, beliau yang pernah terlibat dalam kursus fitness trainer turut menjadikan aktiviti riadah sebagai rutinnya setiap tiga kali seminggu.

Baginya, kesihatan merupakan satu aspek penting yang perlu diberi perhatian bagi memastikan beliau dapat menjalankan tanggungjawabnya demi kepentingan Islam bersama PAS.{/mprestriction}

- Advertisement -