Sumbang harta menangkan perjuangan, perubahan kepada Islam

- Advertisement -
HULU LANGAT: Dana untuk urusan gerak kerja merupakan sebahagian daripada keperluan yang menyumbang kepada usaha ke arah kemenangan dalam pilihan raya.
 
Sehubungan itu, PAS Kawasan Hulu Langat telah menganjurkan Majlis Makan Malam Dana PRU14 Bersama Presiden PAS di Restoren V View, Kajang, di sini semalam.
 
Majlis tersebut bukan sahaja berjaya mencapai sasaran minimum ditetapkan penganjur, malah juga eratan ukhuwah sesama ahli dan suntikan semangat dari pimpinan.
 
Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang walaupun dalam kesihatan yang sederhana, tetapi telah menyampaikan taujihat yang menyemarakkan perjuangan hadirin.
 
Katanya, infak kepada perjuangan merupakan keuntungan di alam ghaib yang menjadi ujian pembuktian keimanan di mana ia dijanjikan Allah S.W.T dengan 700 ganda ganjaran pahala.
 
Kerana itu ia berbeza dari sedekah yang mampu dilakukan oleh sesiapa sahaja, sedang infak kepada perjuangan merupakan jihad, yakni kesungguhan terhadap usaha menegakkan Islam.
 
“Kenapa Allah sebut harta benda dahulu tidak jiwa raga? Kerana Allah tahu manusia sayangkan harta benda lebih dari diri sendiri, lebih dari keluarga. Sanggup kelahi, merosakkan diri kerana sayangkan harta.
 
“Kerana itu pengorbanan harta lebih dari yang lain. Sumbangan jihad Allah ganjari 700 pahala.  Bila nak menang tak tahu lagi. Ramai lagi sanggup sedekah, tetapi sumbangan kepada perjuangan Islam kerana percaya pada Allah dan janji-Nya,” jelas beliau.
 
Terang Tuan Guru juga, pembawaan PAS bukan politik jual ubat, tetapi politik Islam yang menjadi kewajipan untuk tetap dibawa sama ada orang mahu atau tidak mahu padanya.
 
Seru beliau, semua yang bersama PAS wajib berharap dan bergantung hanya pada Allah di mana Dia akan berikan kemenangan apabila tiba masanya setelah para pejuang memenuhi syarat-Nya.
 
Beliau turut mengingatkan betapa perjuangan Islam bukan semata-mata hendak menjatuhkan lawan, tetapi lebih penting membawa perubahan kepada Islam.
 
Hal itu kata beliau, Islam tidak mengambil alih pemerintahan daripada Raja Habsyah, Raja Muskat, Raja Oman dan lain-lain apabila mereka menerima Islam.
 
“Bukan semata-mata hendak ambil alih, tetapi apa perubahannya? Kita hendak jatuhkan jahiliyah, tegakkan Islam. Bukan jatuh jahiliyah, tegakkan jahiliyah juga,” nasihatnya.
 
Beliau menyeru supaya istiqamah kerana kemenangan mungkin tidak berlaku di masa ini tetapi generasi akan datang, namun jangan menganggap kemenangan perjuangan Islam sebagai mustahil.
 
Beliau berdalilkan doa Nabi Musa yang dijawab Allah ke atasnya dan Nabi Harun supaya istiqamah di mana jatuhnya Firaun hanya selepas 40 tahun daripada doa itu.
 
Oleh itu tegasnya, seluruh pendokong perjuangan PAS mesti mengingati matlamat utama bukan merebut kerusi tetapi membawa perubahan kepada Islam, serta mengakhiri hayat dengan mendapat janji di akhirat.
 
Tuan Guru turut sudi merasmikan pelancaran Jentera Pilihan Raya PAS Kawasan Hulu Langat dan penyerahan panji-panji kepada wakil setiap dewan.
 
Terdahulu menyampaikan ucapan ialah Yang DiPertua PAS Kawasan Hulu Langat, Dr Che Rosli Che Mat yang juga Ahli Parlimen kawasan itu, selain tetamu turut dialunkan dengan bacaan al-Quran serta nasyid dari Shoutul Amal.
 
Hadir sama ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Selangor, Ir Mohd Haslin Hassan; Ketua Pemuda PAS Selangor, Ustaz Syarhan Humaizi Halim; Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Dato’ Mohd Shahir dan Adun Dusun Tua, Razaly Hassan.
- Advertisement -