PRU14: Harakah bawa BPH ke negeri-negeri

- Advertisement -
KUALA LUMPUR: Akademi Penulisan Harakah akan meneruskan lagi siri kursus Bengkel Penulisan Haraki (BPH) melibatkan penganjuran di negeri-negeri serta zon bermula pertengahan Disember depan hingga pertengahan Januari 2018.
 
Ketua Pengarang Harakah, Wan Nordin Wan Yaacob berkata, siri-siri lalu menunjukkan hasil memberangsangkan khususnya melibatkan interaksi maklumat antara pihak PAS Kawasan dengan Harakah.
 
“Hingga lahirnya legasi ‘Wartawan Rakyat’ yang sangat aktif hingga kami di Harakah tidak menang tangan mengurus penyaluran maklumat diberikan, selain wujud kolum baharu penyiaran.
 
“Bermakna hasrat awal untuk rangkaian persediaan bagi menghadapi PRU14 telah berlaku. Kini memerlukan lagi latihan kepada wakil-wakil PAS Kawasan seluruh negara secara lebih intensif.
 
“Jadi siri berikutnya kami sendiri turun ke zon-zon selain negeri yang membuat permintaan secara khusus. Atas reaksi dan permintaan juga, kami tambah modul-modul penulisan berkaitan aspek penerangan,” jelas beliau.
 
Menurutnya, seluruh kursus dibengkelkan sendiri fasilitator Harakah yang berpengalaman dalam parti melibatkan modul pengurusan isu, hubungan media, draf kenyataan media, kewartawanan pemberitaan, bentuk dan dokumen penulisan serta propaganda media pilihan raya.
 
Maklum beliau, siri berikutnya akan bermula untuk Zon Utara di An-Nahdhoh Inn, Kubang Semang pada Sabtu, 16 Disember mensasarkan penyertaan PAS Kawasan-kawasan dalam Pulau Pinang, Perak, Kedah dan Perlis.
 
Manakala Zon Timur katanya, akan diadakan di Dewan Zulkifli Muhammad, Kota Bharu untuk Kelantan dan Terengganu pada Sabtu, 23 Disember diikuti esoknya Ahad, 24 Disember di Temerloh khusus untuk Pahang dan Sabtu, 30 Disember di Johor.
 
Bagi Zon Borneo pula beritahunya, akan diadakan di Bintulu, Sarawak pada Sabtu, 13 Januari 2018 dan Sabah keesokannya Ahad, 14 Januari di lokasi yang akan dimaklumi kemudian.
 
Begitu juga katanya, untuk Negeri Sembilan dan Melaka belum diputuskan tarikh dan tempat, tetapi turut akan dimaklumi kemudian, di mana semua menyertaan mestilah melalui pengesahan oleh pihak PAS Kawasan masing-masing.
 
Setiap peserta hanya dikenakan yuran RM50 bagi kos pengurusan, nota serta makan minum di mana pendaftaran mesti dibuat dengan menyertakan butiran diri melalui email [email protected]
 
“Kami di Harakah pada masa ini sedang mempergiatkan persediaan untuk memastikan maklumat parti khususnya pada PRU14 nanti berada di tahap paling maksimum untuk memastikan info dari setiap Dun dan Parlimen dapat disiarkan,” ujarnya optimis. – HARAKAHDAILY 18/11/2017
- Advertisement -