Menteri pusat tiru Selangor, hanya pandai janji

- Advertisement -

KERAJAAN Pusat banyak ‘meniru’ skim kebajikan yang telah lama di laksanakan oleh Kerajaan Negeri. Malah apa yang disebut oleh Menteri KPKT masih di peringkat janji yang belum terbukti akan di laksanakan.

- Advertisement -

Demikian selar Ahli Dewan Negeri Kawasan Paya Jaras, Selangor Mohd Khairuddin Othman, hari ini dalam satu kenyataan.

“Kita di Selangor telah buktikan sejak 2008, bukan sekadar ucapan kosong.

“Malah Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar, Datuk Iskandar Abdul Samad telah memperkenal banyak skim baru setiap tahun, dan terbaru membaiki kemudahan rakyat di rumah-rumah pangsa. Dan termasuk menyediakan perpustakaan bergerak ke kediaman rumah pangsa,” ujar beliau lagi.

Menurut beliau, Kerajaan Selangor mendapatkan keyakinan rakyat kerana Exco bekerja bukan semata-mata untuk pilihan raya.

“Saya minta Menteri Kerajaan Pusat yang berkaitan buat benda yang kerajaan belum buat yang berada dalam bidang kuasa mereka.

“Selesaikan projek rumah pangsa yang terbengkalai. Buat ini dulu. Jangan dilihat terlalu berpolitik dengan rakyat,” tegas Khairuddin.  – HARAKAHDAILY 17/11/2017

- Advertisement -