Apa tindakan Malaysia berhubung isu kekebalan antibiotik?

- Advertisement -

DUNIA kini sedang menyambut Minggu Kesedaran Antibiotik pada 13-19 November 2017. Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran dunia kini sedang kehabisan antibiotik baharu untuk menentang ancaman kekebalan antimikrob yang semakin berkembang. Malaysia juga turut terjejas dan mestilah mengambil tindakan segera terhadap ancaman ini.
 
Menurut Ketua Pegawai Perubatan United Kingdom, Profesor Dame Sally Davies, ‘dunia kini sedang berdepan malapetaka antibiotik’. Jika antibiotik kehilangan keberkesanannya, ia menandakan ‘berakhirnya ubatan moden’. Melainkan tindakan diambil untuk menghentikan amalan yang membolehkan kekebalan antimikrob merebak dan cara ditemui untuk memajukan jenis antibiotik baharu, kita boleh kembali kepada hari di mana rutin pembedahan, luka biasa atau jangkitan langsung boleh mendedahkan kepada ancaman sebenar kepada kehidupan, beliau memberi amaran.
 
Laporan WHO* mengesahkan bahawa kebanyakan ubatan baharu pada masa kini dimajukan untuk mengatasi kekebalan antibiotik hanyalah penyelesaian jangka pendek. Laporan itu mendapati beberapa pilihan rawatan berpotensi bagi mereka yang terdedah kepada jangkitan antibiotik mendedahkan ancaman terbesar kepada kesihatan, termasuklah batuk kering (TB) kebal antibiotik yang membunuh kira-kira 250,000 orang setiap tahun.
 
‘Kekebalan antimikrob (termasuk kekebalan bakteria, kulat, virus dan parasit) merupakan darurat kesihatan global yang akan membahayakan dengan serius kemajuan dalam ubatan moden,’ Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, Ketua Pengarah WHO memberi amaran.
 
Hari ini, sekitar 700,000 orang di seluruh dunia mati setiap tahun akibat jangkitan kekebalan antimikrob termasuk TB, HIV dan Malaria. Jika tiada tindakan diambil, adalah dianggarkan bahawa jangkitan kekebalan antibiotik akan membunuh 10 juta orang setiap tahun menjelang 2050.
 
Dame Sally berkata disebabkan kekebalan antimikrob (AMR) ‘tersembunyi’ orang hanya ‘membiarkannya berlalu begitu sahaja’. ‘AMR kini bersama kita, membunuh manusia… Jika ia sesuatu yang lain manusia akan berusaha bersama mengenainya. Tetapi disebabkan ia tersembunyi mereka membiarkannya sahaja… Ia hanya akan menjadi lebih teruk melainkan kita mengambil tindakan tegas di mana sahaja di seluruh dunia.’
 
Ini merupakan kebimbangan global memandangkan mekanisme kekebalan baharu sedang muncul dan merebak di seluruh dunia, mengancam kemampuan untuk merawat penyakit jangkitan biasa, mengakibatkan penyakit berpanjangan, kecacatan dan kematian.
 
Tanpa ubatan berkesan untuk pencegahan dan rawatan jangkitan, prosedur perubatan seperti pemindahan organ, kemoterapi kanser, pengurusan diabetes dan pembedahan seperti caesarean atau penggantian tulang pinggul menjadi amat berisiko.
 
Satu lagi masalah yang berkaitan ialah tiada kelas baharu antibiotik yang memasuki pasaran dalam tempoh 30 tahun lalu. Terdapat keperluan bagi model inovasi baharu yang memajukan antibiotik baharu yang mampu untuk diperolehi.
 
AMR meningkatkan kos penjagaan kesihatan. Menurut kajian yang dilakukan oleh kerajaan UK, AMR akan menyebabkan kos ekonomi dunia sehingga $100 trilion setahun.
 
AMR berlaku secara semula jadi dalam tempoh masa yang berlalu, biasanya melalui perubahan genetik. Bagaimanapun, penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antimikrob mempercepatkan lagi proses itu. Contoh penyalahgunaan itu termasuklah apabila pesakit dengan jangkitan virus seperti demam selesema dan flu dipreskripsikan antibiotik, atau amalan memberikan antibiotik kepada haiwan sebagai penggalakkan pembesaran.
 
Sisa ubatan ini serta organisme kebal antibiotik ditemui dalam air, tanah dan udara. Ia boleh merebak antara manusia dan haiwan, dan daripada manusia kepada manusia. Kawalan jangkitan yang lemah, keadaan sanitasi yang tidak mencukupi dan pengendalian makanan yang tidak sempurna menggalakan lagi AMR.
 
Perhimpunan Kesihatan Dunia WHO mengakui bahawa AMR perlu ditangani menggunakan model ‘Satu Kesihatan’ yang mempromosikan koheren, komprehensif dan pendekatan bersepadu melibatkan aktor dan sektor yang berbeza seperti ubatan veterinar dan manusia, pertanian, kewangan, alam sekitar dan pengguna. Tindak balas pelbagai sektor ini akan menjadi sebahagian  dan bidang Pelan Tindakan Kebangsaan (NAP) oleh semua negara ahli WHO.
 
CAP menggesa kerajaan untuk:

- Advertisement -

a.Memastikan pelaksanaan Pelan Tindakan Kebangsaan bagi menangani kekebalan antibiotik. Komitmen politik yang kuat, pemilikan negara dan kemampuan institusi pelbagai sektor yang mencukupi penting bagi pelaksanaan NAP yang berkesan. Ia seharusnya melibatkan seberapa ramai ‘stakeholders’ seberapa yang boleh termasuklah NGO. NAP untuk Malaysia perlu terbuka untuk orang awam dan diberikan publisiti dengan meluas.
 
b.Memperbaiki pemantauan jangkitan kekebalan antibiotik. Sistem pemantauan bersepadu kebangsaan perlu dimasukkan sektor awam dan swasta dan ubatan veterinar, akuakultur, ternakan dan produknya, pertanian dan alam sekitar. Sistem pemantauan kebangsaan pengambilan antibiotik dalam semua sektor juga perlu dilaksanakan.  

c.Mengukuhkan langkah kawalan dan pencegahan jangkitan, contohnya pelaburan dalam infrastruktur kumbahan dan sanitasi terutama sekali menghapuskan antibiotik daripada air sisa buangan.

d. Menggubal dan melaksanakan dasar negara bagi penggunaan antibiotik yang wajar dan rasional.
 
e.Menggubal peraturan dalam preskripsi dan pemberian ubat dan penguatkuasaan.

f.Mengawal amalan pemasaran tidak beretika antibiotik dalam bentuk promosi dan insentif yang ditawarkan kepada pengamal perubatan, pergigian dan veterinar untuk meningkatkan jualan dan penggunaan.

g.Mendidik orang ramai berhubung bahaya penyalahgunaan dan penggunaan berlebihan antibiotik. Melibatkan NGO, media, sekolah, komuniti, profesional perubatan dan pengguna.
 
h.Mengukuhkan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 untuk memasukkan kawalan ke atas pencemaran antibiotik dalam sistem air, rawatan sisa kumbahan, kumbahan, tanah dan partikel dalam udara.
 
i.Mengawal dan memantau penggunaan antibiotik dalam pengeluaran ternakan, akuakultur, pertanian dan hortikultur dan mengharamkannya dalam penggunaan bukan terapeutik. – HARAKAHDAILY 17/11/2017

- Advertisement -