Waspada sikap beralasan dalam arahan perjuangan

- Advertisement -
KANGAR: Mereka yang meminta izin pengecualian dengan pelbagai alasan apabila diperintahkan berjuang perlu berwaspada kerana ia menunjukkan masalah iman dan rasa ragu-ragu terhadap perjuangan.
 
Yang DiPertua PAS Kawasan Kangar, Ustaz Yusainee Yahya berkata, memberi alasan sedemikian adalah suatu tabiat negatif yang perlu dihapuskan dari hidup pejuang.
 
Kerana menurutnya, mereka akhirnya akan mati bersama keraguan itu, sedang alasan tersebut menunjukkan hakikat bahawa manusia tersebut tidak suka atau tidak mahu melakukan seruan yang diperintahkan.
 
Peringatan tersebut diutarakannya dari ayat 45 surah at-Taubah semasa berucap pada Himpunan Jentera PAS Dun Sena di Markas PAS Titi Midin, di sini kelmarin.
 
Seru beliau, setiap penggerak Islam perlu meletakkan diri sebagai alat kepada perjuangan Nabi Muhammad S.A.W sebagaimana Ummu Sulaim yang menyerahkan anak beliau iaitu Saidina Anas R.A untuk menjadi khadam kepada Baginda.
 
“Merasai keinginan untuk masuk ke Syurga dan takut akan Neraka Allah, akan menyebabkan kita bertambah semangat untuk berjuang.
 
“Seperti mana kisah Saidina Rabi’ah yang sanggup tidur pada waktu malam di hadapan rumah Baginda semata-mata untuk mempersiapkan keperluan Baginda Nabi S.A.W.
 
“Apabila ditanya oleh Baginda akan kemahuan beliau, jawab Saidina Rabi’ah beliau hanya ingin menjadi teman Baginda di dalam Syurga,” ujarnya yang juga Timbalan Pesuruhjaya I PAS Perlis.
 
Program himpunan itu telah bermula dari 11 November lalu dan akan berakhir 23 November nanti yang diadakan di setiap Dun di bawah Kawasan Kangar iaitu Kayang, Indera Kayangan, Sena, Bintong dan Kuala Perlis.
 
Pada majlis itu, panji PAS turut diserahkan kepada Pengarah Majlis Tindakan Dun, Ustaz Fakhrul Anwar Ismail sebagai simbolik penyerahan tugas dari pimpinan kepada ahli di setiap peringkat. – HARAKAHDAILY 16/11/2017
- Advertisement -