Sekolah agama: Selangor usaha penuhi permintaan rakyat

- Advertisement -

KERAJAAN Selangor sentiasa berusaha meningkatkan perkhidmatan bagi memenuhi permintaan rakyat khususnya menambah bilangan sekolah agama, meningkatkan kualiti perkhidmatan guru dan kakitangan serta menambah baik prasarana sekolah agar lebih kondusif.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi negeri, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi menyatakan demikian pada majlis pengisytiharan keputusan PSRA di Shah Alam, semalam.

Katanya, kerajaan negeri menitikberatkan pembangunan modal insan berkualiti dengan mengupaya sistem pendidikan Islam di Selangor.

Beliau berkata, pendekatan dijayakan secara bersepadu itu bakal mendatangkan kebaikan kepada rakyat dan negeri itu.

“Kurikulum pendidikan Islam berteraskan al-Quran dan as Sunnah menjadi sandaran serta rujukan utama dalam sistem pendidikan Islam di sekolah agama di Selangor yang diharap mampu menjana insan berilmu, beriman, beramal serta berakhlak mulia.

“Justeru, instrumen pentaksiran dibuat melalui Penilaian Sekolah Rendah Agama (PSRA) boleh dijadikan sebahagian kayu ukur bagi menilai sejauh mana pencapaian dan kejayaan sesuatu kurikulum itu dilaksanakan,” katanya dipetik SelangorKini.

Beliau yang juga Adun Sijangkang menambah, kerajaan negeri juga memberi penekanan terhadap pembangunan fizikal seperti pembinaan sekolah agama baru, masjid dan surau juga infrastruktur di bandar dan luar bandar.

Katanya, kerajaan negeri komited terhadap pembangunan pendidikan Islam bagi memenuhi permintaan tinggi ibu bapa yang mengambil berat memberikan pendidikan Islam kepada anak-anak dari sekolah rendah hingga menengah.

- Advertisement -