PASRelief: Catatan Misi Ketujuh Kem Pelarian Rohingya

- Advertisement -
MISI kali ketujuh (13 – 17 November) ini disertai oleh lapan wakil Badan Perhubungan PAS  Negeri Terengganu diketuai oleh Tuan Haji Yahaya Ali, dua orang aktivis Kumpulan Media Indipenden (KAMI) iaitu Sazali dan Azizah, seorang wakil Dewan Muslimat PAS Pusat (DMPM) Normala Sudirman, sukarelawan PASRelief dari Selangor, Azwan dan Kedah, Hafiz. Juga dari Kelantan yang mewakili Cakna Palestin, Abdul Shakur Shaarie, Abu Dhabi UAE, Zulqarnain dan Turki Mas’ud.
 
Perjalanan dari Kuala Lumpur ke Dhaka seterusnya ke Cox’s Bazaar lancar tanpa halangan. Bekalan yang dibawa kali ini adalah yang terbesar dalam semua misi PASRelief sebelum ini. RM459,400 daripada PASRelief Terengganu, USD40,000 (RM168,000) daripada sukarelawan PASRelief Abu Dhabi UAE dan Turki, RM100,000 daripada Tabung Kemanusiaan Antarabangsa PASRelief, RM23,000 daripada Cakna Palestin dan RM10,000 daripada Alimat Dewan Ulamak PAS Negeri Kelantan. 
 
Jumlah keseluruhan sumbangan untuk program-program bantuan di kem-kem pelarian Muslim Rohingya pada kali ini ialah RM754,400.00. Alhamdulillah, hanya puji dan syukur ke hadrat Allah S.W.T yang melimpah rezeki buat saudara-mara kita di kem-kem pelarian di sini dengan usaha kecil pengurusan PASRelief. Namun berkat kegigihan sukarelawan PASRelief dan kemurahan hati penderma dari dalam dan luar negara, jumlah sebesar ini dapat dihimpunkan. 
 
Daripada dana ini, PASRelief menyampaikan sumbangan seperti berikut:
 
1. 6,500 pakej bahan makanan untuk 6,500 keluarga, dengan berat keseluruhan 110.5 tan bernilai RM327,600.00.
 
2. 101 buah khemah kediaman (shelter home) untuk 100 keluarga dengan nilai RM89,082.00. Penghuni khemah-khemah ini kebanyakannya dipilih daripada kalangan anak-anak yatim dan balu-balu akibat ayah dan suami mereka dibunuh oleh junta dan pengganas Buddha Myanmar. 
 
3. 60 telaga tiub (tubewell) sebagai bekalan air bersih yang mampu menampung keperluan 1,200 keluarga. Pembinaan telaga tiub bernilai kira-kira RM48,000. 40 telaga tiub sumbangan PASRelief Terengganu, 10 daripada Cakna Palestin dan 10 lagi daripada sukarelawan PASRelief luar negara. 
 
4. 19 sekolah (kelas pengajian) lagi dibina kali ini, disamping 15 sekolah yang disumbangkan pada misi bulan Oktober lalu. Ia menjadikan jumlah sekolah PASRelief dalam kem-kem pelarian berjumlah 31 sekolah yang boleh menampung murid seramai 1,000 hingga 1,240 pelajar. Daripada jumlah ini, 6 bangunan sekolah disumbangkan oleh Cakna Palestin dan 3 daripada sukarelawan PASRelief luar negara. 
 
Setiap kelas ini juga disediakan seorang guru graduan universiti tempatan yang dibekalkan oleh Al-Ittihad Tullab Al-Muslimin (ITM), sebuah pergerakan mahasiswa Rohingya. 
 
5. Dalam bidang pendidikan ini, PASRelief turut menyumbangkan dana pengurusan sekolah termasuk elaun guru-guru sebanyak RM101,930.00. Program jangka panjang ini memerlukan bantuan berterusan dari masa ke semasa. 
 
6. Misi kali ini turut menyumbangkan bilik mandi untuk kaum wanita sebanyak 21 unit bernilai RM27,300.00
 
7. Selimut dan pakaian untuk menghadapi musim sejuk turut disumbangkan oleh PASRelief bernilai RM21,000.00
 
8. Pembinaan masjid dan madrasah sebanyak 5 unit bernilai RM50,000.00 untuk solat berjemaah,  pengajian Al-Quran dan pendidikan agama untuk kanak-kanak dan orang dewasa. 
 
9. Selain itu, baki daripada dana yang dibawa turut disumbangan secara tunai kepada pelarian dan sumbangan kepada beberapa madrasah di dalam dan di luar kem yang menyediakan pendidikan dan peluang pengajian kepada muslim rohingya. 
 
Berbanding jumlah keseluruhan pelarian sekitar 1.3 juta orang (65 peratus adalah kanak-kanak),  jumlah sumbangan PASRelief kali ini di samping sumbangan sebelum ini masih jauh daripada keperluan. Dengan demikian, PASRelief masih menagih sumbangan orang ramai,  khususnya rakyat Malaysia yang prihatin untuk terus membantu. Sumbangan boleh disampaikan melalui Tabung Kemanusiaan Antarabangsa di akaun 5640 7061 1352 (Maybank).
 
Misi kali ini akan berakhir pada 17 November dan peserta misi dijangka tiba ke tanah air pada awal pagi 18 November 2017.
 
Semoga Allah S.W.T terus melimpahkan rahmat dan keberkatan di atas usaha dan sumbangan yang telah dan akan disampaikan pada masa depan. Semoga usaha membantu saudara Muslim Rohingya ini digolongkan sebagai amal soleh dan jihad fisabilillah, sebagai bekalan di akhirat kelak. Sesungguhnya Allah S.W.T adalah sebaik-baik pemberi balasan. 
 
MUHAMMAD SANUSI MD NOR
Pengarah PASReleif Malaysia
Cox’s Bazaar,  Bangladesh
16 November 2017 – HARAKAHDAILY 16/11/2017
- Advertisement -