KT Bypass, ECRL, jangan aniaya pemilik tanah

- Advertisement -

BERPULUH tahun lalu, datuk nenek kita mewarisi tanah pusaka yang dibina atasnya rumah-rumah kediaman. Kemudian dipusakai oleh anak-anak yang masing-masing membina rumah mereka pula di atas tanah tanah bersyarat “kampung” atau “pertanian” yang mereka berkongsi pemilikan kadang-kadang hingga berpuluh nama.

- Advertisement -

Adalah perkara biasa dalam satu geran tanah bersyarat sedemikian telah dibina banyak bangunan rumah kediaman yang ada juga setelah dibina jalan raya bersebelahannya, maka dijadikan kedai, premis untuk berniaga.

Ini sangat biasa bagi tanah orang Melayu di kampung-kampung.

Sebahagian kes ini melibatkan tanah bersebelahan jalan raya yang bangunan mereka menjadi bangunan kedai yang mereka usahakan perniagaan selama berpuluh tahun. Menjadi sumber pendapatan mereka.

Undang-undang tanah yang ada memang tidak difahami rakyat biasa yang pemilikan tanah dan bangunan yang dipusakai adalah sejak dahulu lagi sebelum dikuatkuasakan peruntukan yang mengehadkan jenis penggunaan tanah.

Adalah prinsip keadilan semulajadi, jika berlaku pengambilan tanah, ganti rugi, pampasan, hilang sumber pencarian, perlulah diperhatikan dan ditaksir agar tidak menganiaya mereka yg terlibat.

Apabila kerajaan mula berpendirian ketat, tidak pro-rakyat, maka jadilah kezaliman seperti dalam kes pengambilan tanah untuk projek KT Bypass.

Satu geran tanah syarat kampung yang banyak bilangan rumah, pemilik berbeza tapi kerajaan cuma mahu bayar saguhati atas sebuah rumah sahaja.

Bagaimana apabila pengambilan lebih banyak tanah kampung Melayu misalnya untuk projek ECRL nanti?

Undang-undang adalah satu hal. Tetapi tidakkah kita sebagai manusia tiada akal dan sifat kemanusiaan yang sihat untuk melaksanakan undang-undang tanpa rakyat merasa teraniaya?

Jika ECRL berkos RM55 billion kerajaan sanggup bayar walaupun tersangat luarbiasa mahalnya berbanding projek serupa di luar negara (ada laporan menyebut untuk setiap kilometer ECRL tiga kali ganda lebih mahal), mengapa untuk pengambilan tanah yang ramai orang Melayu terlibat kerajaan tidak sudi bermurah hati juga?

Yang lebih menyayatkan hati, rakyat tengok dengan mata kepala sendiri kerajaan sanggup pula berbelanja boros beratus juta yang gagal, runtuh, tiris dan pelbagai lagi, tetapi apabila melibatkan hak rakyat untuk merasa diberi imbalan yang setimpal diatas pengorbanan tanah, rumah kediaman mereka, peniagaan yang mencari punca pencarian pendapatan mereka, legasi pusaka nenek moyang mereka, kenangan hidup mereka, semuanya dinilai sebagai murahan sahaja oleh kerajaan yang dipimpin parti yang memerintah sekarang.

Sangat hodoh rupa kerajaan apabila dilihat mempunyai kebiasaan sangat bermurah hati melipatgandakan nilai kontrak projek kepada kontraktor yang beroleh projek mega, tetapi bagi rakyat yang berkorban atas nama memberi laluan untuk pembangunan, mereka dilihat perlu berjuang menuntut keadilan, gantirugi yang setimpal daripada pemerintahan yang kedekut terhadap rakyatnya sendiri yang sama  agama dan bangsa. – HARAKAHDAILY 16/11/2017

- Advertisement -