Jihad taklim Maahad Tahfiz Safa Marwah

- Advertisement -
MAAHAD Tahfiz Safa Marwah yang terletak di Kampung Telok, Bera, Pahang kira-kira 15 kilometer dari Bandar Temerloh, bakal menerima 20 pelajar tahfiz sepenuh masa berasrama pada Januari 2018 nanti. Pembangunan Maahad yang diusahakan oleh Dewan Pemuda PAS Kawasan Bera ini telah bermula sejak bulan Mac 2016. 
 
Kini struktur utamanya iaitu sebuah masjid berkeluasan 6,600 kaki persegi telah 95 peratus siap. Beberapa struktur sokongan seperti tandas, bilik mandi, ruang makan dan dapur pula dijangka dapat disiapkan sepenuhnya sebelum penghujung tahun ini.
 
Bangunan masjid ‘3 dalam 1’ ini bakal menempatkan asrama pelajar di sayap kirinya, ruang solat atau dewan kuliah di bahagian tengahnya dan bilik darjah dan perpustakaan di sayap kanannya. 
 
Terkini, lebih RM900,000 dibelanjakan untuk pembinaan masjid hasil infaq dan wakaf orang ramai. Sepanjang November dan Disember ini, pihak Maahad melancarkan kempen kutipan wakaf bernilai RM200,000. Sehingga ini, kira-kira RM60,000 telah berjaya dikumpulkan.
 
Pengerusi Maahad, Ustaz Md Nawawi Mohammad memberitahu, proses pengambilan pelajar dan kakitangan tetap yang sedang digerakkan sekarang berjalan lancar. Pengurusan Maahad berkeyakinan operasi dapat digerakkan sebagaimana perancangan pada 2018 nanti.
 
Beliau yang juga Ketua Dewan Pemuda PAS Kawasan Bera menyeru para dermawan untuk menggiatkan infaq dan wakaf bagi melengkapkan prasarana bahagian dalam masjid dan untuk menyudahkan kerja plaster di bahagian dinding luar masjid.
 
Berkat kegigihan para sukarelawan dan istiqamah dermawan menyumbang sejak setahun setengah lalu, pihak Maahad mencapai kemajuan kerja yang pesat. Antaranya penurapan jalan masuk sepanjang 650 meter, pembinaan kolam ikan yang telah pun mengeluarkan hasil. Juga blok bilik air yang luas dan selesa untuk kemudahan pelajar dan pegunjung masjid.
 
Masjid turut dimanfaatkan untuk program kuliah umum dan pengajian berkitab sejak April 2017. Pengajian ditawarkan secara percuma kepada orang awam terutamanya penduduk setempat. Ketika ini, dua kelas mengaji, program perubatan Islam, program munajat dan imarah malam Jumaat dan 7 kuliah mingguan diadakan di Masjid Maahad Tahfiz Safa Marwah.
 
Ustaz Nawawi menyatakan keyakinan bahawa setiap sumbangan saham akhirat yang dilaburkan untuk pembangunan dan operasi Maahad Tahfiz Safa Marwah akan menghasilkan impak yang besar. Ia sesuai dengan kedudukan Maahad di kawasan pedalaman di mana kekurangan institusi pendidikan Islam di daerah ini telah menyemarakkan lagi iltizam para amilin Dewan Pemuda PAS Kawasan Bera untuk menjayakan jihad taklim pembangunan pendidikan Islam ini. Ustaz Nawawi boleh dihubungi di talian 013-247 8843. – HARAKAHDAILY 16/11/2017
 
- Advertisement -