Bersiap dengan bekalan untuk ‘hari esok’

- Advertisement -

PERSOALAN mengenai nasib seseorang di alam akhirat, sama ada dia beriman atau tidak, akan ditentukan ketika manusia berada di dunia lagi, iaitu dalam erti kata sejauhmana dia bertindak melakukan segala titah perintah Allah SWT atau meninggalkan segala tegahan dan larangan-Nya.

- Advertisement -

Mereka yang melakukan kebaikan dalam ruang lingkup amal-amal yang diperintahkan oleh Allah, sudah tentu akan dikira sebagai amalan yang diganjari dengan pahala daripada Allah SWT dan sekali gus peluang untuk memasuki syurga adalah cerah, tetapi sebaliknya bagi yang melakukan amal yang jelas menentang perintah Allah, mereka juga berpotensi akan dimasukkan dalam neraka Allah yang menjanjikan pelbagai seksaan azab yang mengerikan.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Terkadang-kadang, ada manusia muslim yang tinggal hanya dua puluh langkah sahaja dengan surau, tetapi tidak sudi untuk menjadi tetamu Allah, dalam erti kata lain, dia tidak membentuk dirinya untuk bersolat jamaah, berkuliah yang tidak meminta dari para jemaah untuk membayar sebarang yuran, namun dia merasakan ilmu agama yang digarap dahulu semasa dalam alam persekolahan di peringkat SPM lima belas tahun lalu atau lebih, dianggap sudah mencukupi untuk menghadapi alam kubur dan membekalkan anak-anaknya pula dengan kefahaman Islam yang tepat.

Ada individu pula melihat ahli surau seperti golongan yang tidak ada kelas, mereka perlu dilayan seperti pendatang, jika ada duit lebih ditempah makanan berbungkus dan dihantar ke surau, inilah tahap pemikiran sesetengah penduduk di taman perumahan, tetapi bila kena batang hidung sendiri terdapat kematian dalam kalangan ahli keluarga, ketika itu orang yang perlu diminta tolong adalah ahli surau, dengan muka yang selamba minta supaya mereka dapat menguruskan jenazah dan hadir pada malam-malam tahlil selama seminggu.

Justeru, setiap Muslim perlu melihat dan merenung dengan saksama ayat 18 -20 surah al-Hasyr yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya); dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang ia telah sediakan (daripada amal-amalnya) untuk hari esok (hari akhirat). Dan (sekali lagi diingatkan): bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuannya akan segala yang kamu kerjakan. (18) Dan janganlah kamu menjadi seperti orang-orang yang telah melupakan (perintah-perintah) Allah, lalu Allah menjadikan mereka melupakan (amal-amal yang baik untuk menyelamatkan) diri mereka. Mereka itulah orang-orang yang fasik – derhaka. (19) Tidaklah sama ahli neraka dan ahli Syurga; ahli Syurgalah orang-orang yang beroleh kemenangan (mendapat segala yang diingini). (20)”

Apa yang dapat kita simpulkan berdasarkan ayat-ayat tersebut di atas agar dikategorikan sebagai golongan yang telah melakukan persiapan menghadapi Allah pada hari akhirat: –

1. Bertakwa kepada Allah.

2. Mengerjakan suruhan-Nya dan meninggalkan larangan-Nya.

3. Memerhati apa yang telah disiapkan untuk hari akhirat daripada amal-amal di dunia.

4. Tidak menjadi golongan yang lupa kepada perintah Allah, akibatnya mereka akan dilupakan Allah untuk beramal.

5. Akan menjadi orang fasiq.

6. Sama ada menjadi ahli syurga yang berjaya atau ahli neraka yang kecewa.

Bertakwa kepada Allah

Takwa adalah prasyarat pertama dan utama dalam segenap aktiviti kejayaan umat Islam apa apa jua yang dilakukan semasa hidup di dunia. Ini kerana takwa itulah yang mampu melonjakkan seseorang itu menjadi golongan yang diselamatkan Allah pada hari kiamat kelak.

Justeru, kitab suci al-Quran diturunkan Allah adalah untuk menjadi petunjuk kepada golongan yang bertakwa kepada-Nya, ini kerana orang-orang yang bertakwa adalah orang-orang yang beriman dan Islam, sementara orang-orang beriman itu adalah Islam dan tidak semestinya orang-orang Islam itu beriman.

Sayidina Ali bin Abi Talib pernah mendefinisikan takwa sebagai: “Takut kepada Allah, beramal dengan al-Quran, bersiap untuk menghadapi hari pertemuan dengan Allah dan reda apa yang sedikit ada pada diri.”

Mengerjakan suruhan-Nya

Konsep ‘Amar Makruf dan Nahi Mungkar’ merupakan pendekatan Islam yang meletakkan kepentingannya lebih penting daripada yang lain, malah ia menjadi misi dan visi penciptaan manusia di dunia ini.

Konsep itu juga akan menjadikan seseorang Muslim itu menempa kejayaan hidup di dunia dan akhirat, perkara ini telah dijelaskan Allah menerusi ayat 104 surah Ali Imran yang bermaksud: “Dan hendaklah ada di antara kamu satu golongan yang menyeru (berdakwah) kepada kebajikan (mengembangkan Islam), dan menyuruh berbuat segala perkara yang baik, serta melarang daripada segala yang salah (buruk dan keji). dan mereka yang bersifat demikian ialah orang-orang yang berjaya.”

Bekalan akhirat

Matlamat penciptaan manusia di dunia ini, adalah untuk menjadikannya sebagai tempat bercucuk tanam segala amalan. Jika ia baik maka dia akan menuai kebaikan pada hari akhirat, jika sebaliknya dia menanam benih yang busuk dan tidak baik dari amalan-amalan di dunia ini seperti perkara fasik, nifak, syirik, bidaah, khurafat, maka dia juga akan menuainya pada hari kiamat, malah menjerumuskannya untuk masuk dalam neraka Allah SWT.

Perlu diingat, sesungguhnya penghuni neraka adalah lebih ramai dan padat berbanding ahli-ahli syurga. Ini menunjukkan bahawa yang akan masuk neraka lebih ramai daripada ahli syurga. Pengakuan ini telah dibuat oleh Allah SWT menerusi ayat 30 surah Qaf yang bermaksud: “(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: “Adakah Engkau sudah penuh?” ia menjawab: “Adakah lagi sebarang tambahan?”

Lupa kepada perintah Allah

Ia bermaksud, bahawa jika terdapat di kalangan orang Islam, ketika melakukan sesuatu perkara yang bercanggah dengan hukum Islam, pada hal dia berkedaan sebagai seorang Islam seperti terlibat dengan amalan rasuah, maka Allah SWT akan menjadikannya lupa seolah-olah macam bukan orang Islam. Maka akibat daripada perbuatannya itu, dia akan hidup sengsara di dunia dan akhirat, kerana namanya tidak tersenarai dalam himpunan hamba-Nya yang akan mendapat rahmat pada hari akhirat, malah dipandang dan Allah tidak akan bercakap dengannya ketika manusia yang beriman menikmati kebaikan dan naungan Allah.

Akan menjadi orang fasiq

Akibat daripada keingkaran, keangkuhan dan penentangan seseorang hamba Allah di dunia dengan perkara-perkara yang dianggap salah oleh Allah dan Rasul seperti yang dijelaskan dalam al-Quran dan hadis baginda, maka dia dianggap sebagai seorang yang fasik. Tempatnya tidak lain adalah di dalam api neraka, perkara ini ditegaskan melalui ayat 20 surah as-Sajadah: “Dan sebaliknya orang-orang yang fasik, maka tempat kediaman mereka ialah neraka.”

Sementara dalam ayat 24 surah at-Taubah pula, Allah SWT mendedahkan beberapa kategori golongan fasiq kerana mendahulukan nafsu mereka dengan melebihkan ahli keluarga, perniagaan, rumah kediaman yang hebat, mengumpul harta dan sebagainyak, mereka diancam dengan hukuman Allah yang bermaksud : “Katakanlah (Wahai Muhammad): “Jika bapa-bapa kamu, dan anak-anak kamu, dan saudara-saudara kamu, dan isteri-isteri (atau suami-suami) kamu, dan kaum keluarga kamu, dan harta benda yang kamu usahakan, dan perniagaan yang kamu bimbang akan merosot, dan rumah-rumah tempat tinggal yang kamu sukai, – (jika semuanya itu) menjadi perkara-perkara yang kamu cintai lebih daripada Allah dan Rasul-Nya dan (daripada) berjihad untuk agama-Nya, maka tunggulah sehingga Allah mendatangkan keputusanNya (azab seksa-Nya); kerana Allah tidak akan memberi petunjuk kepada orang-orang yang fasiq(derhaka).”

Ahli syurga atau neraka

Sebagai Muslim yang waras, tidak akan merelakan diri menjadi ahli neraka, malah bersungguh untuk beramal semasa hidup di dunia walaupun apa sahaja rintangan, ujian atau tribulasi yang mendatang, itulah muslim yang waras cara berfikirnya, mempunyai wawasan akhirat yang menyelamatkannya, sementara muslim yang kurang waras dengan pemikiran Islam akan menolak tawaran Allah untuk masukm ke syurga-Nya.

Ini kerana untuk mendapatkan syurga bukanlah perkara yang mudah, mereka perlu membayarnya dengan segala bentuk pengorbanan seperti harta, masa, keringat dan wang ringgit tidak menjadi masalah, yang penting apa yang dilakukannya semasa di dunia berbaloi dengan balasan baik daripada Allah di sana nanti.

Sementara ahli neraka pula yang tidak sanggup berkorban semasa hidup di dunia, dengan tidak menjengah masjid atau surau untuk memperkasa diri dengan segala peralatan agama, tidak akan membantu mereka di akhirat melainkan kekecewaan yang menanti mereka.

Kepada mereka diingatkan sekali lagi dengan firman Allah SWT menerusi ayat 30 surah Qaf yang membawa maksud : “(Peringatkanlah manusia) akan hari Kami bertanya kepada neraka Jahannam: “Adakah engkau sudah penuh? “Ia menjawab: “Adakah lagi sebarang tambahan (daripada penghuniku, aku masih boleh menerimanya?”{/mprestriction}

- Advertisement -