Assabiqun, produk terbaru PAS

SubkyLatif
- Advertisement -

SIANG 4 November lalu saya melancarkan perasmian Sidang Assabiqun PAS Negeri Pahang, Assabiqun pertama negeri yang dirasmikan selepas Sidang Assabiqun ditubuhkan PAS pada 14 Oktober lalu.

- Advertisement -

Pahang merebut peluang melancarkan penubuhannya sebelum Sidang Assabiqun Pusat yang dijadualkan dilancarkan pada petang 18 November ini di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (Kuizm), Kuala Lumpur.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Tahniah buat Assabiqun Pahang yang diketuai oleh orang lama yang dikenali semua dengan Ayah Ngah iaitu Ustaz Ismail Mohamad. Setahu saya tidak ada orang setakat ini orang PAS yang dipanggil Ayah oleh orang dekat dengan mereka.

Pertama Ayah Mat, Dato’ Asri Muda. Rata-rata PAS Kelantan membahasakannya Ayah Mat. Kedua Ayah Cik orang Terengganu kepada Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang. Dan yang ketiga Ayah Ngah bagi orang Pahang. Saya tercari-cari siapa Ismail Mohamad. Tetapi saya terus tahu bila disebut Ayah Ngah, seorang pejuang PAS yang gigih di negeri itu.

Assabiqun adalah produk terbaru dari PAS selepas Pasti, Unit (Jabatan) Amal dan Dewan Himpunan Penyokong PAS.

Assabiqun adalah satu sidang dalam parti bagi menjaga keperluan dan kebajikan ahli-ahli berusia 60 tahun ke atas yang berjasa besar kepada jamaah hingga menjadikan ia satu dari dua buah parti utama orang Melayu yang saling bersaing sejak lebih 60 tahun. Satu lagi ialah Umno. Siapa yang jemu dengan Umno pilihannya ialah PAS.

Sekalipun Assabiqun adalah produk terbungsu tetapi peranannya adalah bagi memantau kepentingan dan keperluan ahli terawal, tertua dan terlama. Dan jika warga emas yang mahu berjinak dengan siyasah syariyah yang tulang telah lembut dan urat pula kendur mahu mati dalam PAS bolehlah bersama dalam Assabiqun.

Orang lama PAS yang sudah tidak cergas lagi sebabkan faktor usia dan kesihatan masih sekitar lebih dari 300,000 kira-kira lebih daripada 30 peratus daripada anggotanya yang sejuta itu. Mereka ada satu kumpulan sokongan yang kuat bagi parti.

Justeru tidak upaya cergas lagi, takut ada yang terbiar ditakuti terputus dari tali mesra PAS. Kata orang bijak pandai, jika ternakan terlepas sendirian dari pengembala dan sekawan gembala, nescaya ia mudah disambar serigala.

Jika terasa mereka itu dilupakan, maka mudah saja terpikat dengan janji menaik untuk mati luar jamaah. Amat rugilah PAS jika orang-orang yang pernah menyumbang dan berjasa besar kepada parti, kerana kecil hati, lalu membawa diri.

Maka orang-orang yang berjasa ini mesti dinilai jasanya. Mereka tidak memerlukan pencen kerana berjasa dalam PAS, tetapi yang diperlukan ialah kasih sayang dan penghargaan dari para pejuang baharu yang antaranya tidak mengenali mereka.

Maka Assabiqun sedia mengambil tanggungjawab memastikan PAS terus mesra dengan setiap warganya tidak kira yang lama dan uzur serta baharu dan cergas seperti yang aktif dalam Dewan Pemuda dan Unit Amal.

Saya bersyukur kerana Assabiqun diwujudkan dan besyukur tak terhingga diamanahkan memimpin Assabiqun setelah lebih 10 tahun saya menikmati hidup sebagai ahli biasa dan orang bawah. Saya tidak minta jawatan itu dan demikian juga semua jawatan yang pernah diamanahkan semasa bertulang kuat dulu, tetapi sebagai ahli parti, sukar menolak apabila parti memerintahkan sesuatu.

Ada orang uzur setelah tak berjawatan dan tidak aktif. Tetapi saya uzur semasa aktif dan berjawatan. Serangan gout dua kali sebulan. Terakhir dua belah kaki derita gout dari lutut ke bawah. Dari lutut ke kepala seribu kali sihat. Jika sebelah kaki gout Allah saja tahu siksanya, bayangkan dua kaki darah becampur manik.

Maka saya mengambil cuti panjang. Dengan izin Allah gout tidak menyerang lagi. Dan syukur lebih sihat dari semasa aktif dulu.

Beberapa negeri PAS menubuhkan Kelab Veteran. Lebih setahun PAS merisik saya menggiatkan veterannnya. Saya  tidak tertarik kerana namanya berbau kebaratan dan ia kelab orang-orang tidak bersemangat. Saya mahu satu nama yang padat Islamnya dan merangsang semangat juang yang tinggi bagi sekalian orang tua PAS itu.

Dalam satu pertemuan orang lama di Wilayah Persekutuan, Tuan Guru Presiden mengirim segulung banting mengandungi nama produk bungsu itu. Bila Setiausaha Agung Dato’ Takiyuddin Hassan menggunting pita banting, ia melurus, tersurat padanya kalimah “Assabiqun.”

Apa Assabiqun itu? Ia adalah penghormatan dan kemuliaan yang Islam bagi kepada orang-orang yang awal di sisi Nabi s.a.w. menerima Islam pada masa Islam dipandang comot dan diburu oleh masyarakat Quraisy.

Mengambil sempena kemulian darjat dan keberkatan kumpulan Assabiqun di kalangan sahabat yang terawal itu, PAS menamakan produk kumpulan orang tuanya sebagai Assabiqun dan menamakan saya sebagai ketuanya.

Saya tanya setiausaha agung, siapa lagi yang jadi teman saya dalan Assabiqun?

Jawabnya, saya seorang saja. Carilah dari 300,000 lebih ahli parti itu untuk jadikan Assabiqun satu produk bagi membantu PAS memanjat ke puncak pada masa yang amat mencabar sekarang.

Jika Adam sekian lama seorang diri untuk memulakan peranan sebagai khalifah di alam bumi, dianugerah teman hidup di tempat transit di syurga sebelum dicampakkan ke bumi. Bertolak dari situ Adam memulakan tugas khalifahnya. Maka sebagai Assabiqun pertama saya menunggu teman yang terdiri dari orang tua-tua juga bagi menggerakkan Assabiqun.

Pejabat Agung meminta PAS negeri-negeri mengantar seorang wakil ke menyuarat pembentukannya yang diberi amanat oleh Tuan Guru Presiden dan timbalannya bagi menggerakan Assabiqun sesuai dengan keupayaan ahli-ahli parti yang sudah berusia dan ada masalah kesihatan. Sebagaimana Allah dan Rasul-Nya memulia dan memberi penghormatan tinggi kepada golongan Assabiqun pada zaman Nabi s.a.w. itu, maka demikianlah Tuan Guru Presiden memberi penghormatan tinggi kepada golongan tua PAS, moga-moga masing-masing dapat kekal sebagai tunggak kekuatan jamaah dan menyumbang kejayaan kepada agama dan negara.

Maka saya dan wakil setiap negeri tadi kami jadikan anggota sidang Assabiqun PAS Pusat dan merangka program dan kegiatan supaya sekalian yang berusia emas itu bertambah tinggi semangat untuk melihat parti itu berjaya dalam politik menyelamatkan Islam, umat/rakyat dan negara. Dan mana-mana yang lemah semangat selama ini dapat dibangunkan supaya pulih dan jadi penyumbang kepada jamaah memanjat ke puncak.

Mogo-moga pilihan raya umum yang dekat ini terus dirangsang sama oleh Assabiqun sesuai dengan kemampuan masing-msing. Jadi keutamaan pada Assabiqun  sekarang melakar segala usaha menghalang ada lagi orang PAS keluar parti dan mengajak yang pernah jadi PAS kembali ke pangkuan jamaah, kerana jamaah itu tiada cacatnya, yang cacat adalah ahli-ahli.

Saya berpesan jamaah santuni setiap yang tua dan yang uzur, dan ketika sama memujuk hati yang tua itu jangan merajuk jika di hari tua kurang didatangi  aktivis parti. Jadilah orang lama yang bejiwa bsar, memahami orang PAS perlu bekerja 25 jam sehari.

Saya tidak kecil hati jika orang PAS tidak menjenguk saya kerana kerjanya yang banyak. Kunjungi saya kiranya tiada kerja. Dulukan kerja dari mengunjungi saya.{/mprestriction}

- Advertisement -