Waris Ustaz Fadzil elok bersama PAS

fadzil1
- Advertisement -

PAS tidak tularkan siapa waris Haji Yusof Rawa dan waris Ustaz Fadzil Noor yang masih bersama PAS. Tidak diketahui selepas mini tsunami PAS tiga tahun lalu, siapa yang masih tinggal.
      
Semasa pimpinan Ustaz Fadzil pernah mesyuarat pusat menyentuh anak-anak pemimpin PAS tidak berapa muncul dalam barisan depan parti itu dan tidak nampak ada dalam pelapis.
      
Antara yang ditimbulkan anggota mesyuarat, adalah menjadi hasrat mana-mana pemimpin Islam mahu melihat anak masing-masing dapat menggantikan mereka satu masa kelak, jika pun tidak sebagai pimpinan utama biarlah di tengah saf pimpinan.
     
Ibu bapa boleh dorongkan ke arah itu tetapi dalam sistem non-monarki masing-masing tidak upaya jadikan anaknya gantinya. Anak-anak itu sesudah mumayiz memilih cenderung masing-masing jika boleh dapat menggantikan bapanya.
     
Setakat ini anak al-Marhum Nik Abdullah Arshad, Dato Nik Amar baru jadi Naib Presiden PAS. Dan anak TG Nik Aziz, Nik Abduh dan anak TG Haji Abdul Hadi Awang sudah ada di  tengah gelanggang. Sama-sama kita lihat perkembangannya.
      
Tahniah kepada ibu bapa yang anaknya sudah di medan perjuangan. Tidak semestinya penyertaan itu sebagai panglima saja. Jadi jundullah biasa seperti Khalid ibni Walid ketika dilucutkan jawatan panglimanya telah memberi sumbangan besar. Jika gugur dalam medan darjat syahidnya sama dengan syahid panglima.
     
Jika tidak jadi pejuang yang aktif atas sebab tertentu, ada bersama jamaah juga dapat memberi peranan.
     
Masyarakat menghormati, Islam dan demokrasi membenarkan setiap mukalaf membuat pilihan terutama yang berpendidikan tinggi agama. Tetapi paling minima biarlah dalam jamaah pimpinan bapanya.
     
Waris Ustaz Fadzil biar ada bersama PAS paling kurang. Bila berada dalam medan sekalipun sebagai ahli biasa, mudah diketengahkan ke depan jika takdir menghendakinya. Ustaz Fadzil adalah pimpinan yang cemerlang yang disanjung oleh semua agar ada warisnya dapat menjadi sepertinya, seperti masing-masing hendak melihat waris TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi seperti mereka satu hari nanti.
     
Masing-masing tentu gundah jika tiada waris yang bersama. Kita sudah tidak nampak penampilan waris Dr. Abbas Alias, Dr. Burhanuddin al-Hilmy, Prof. Zulkifli Mohamad dan Dato Asri. Seelok-elok waris Ustaz Fadzil tidak tercicir dan jauh jamaah.
     
Pemimpin-pemimpas PAS itu semuanya sejarah. Sejarah itu tidak sekadar dirakam tetapi ada masanya diingati sebagai satu kegiatan menghidup dan membesarkan PAS. PAS pernah mencari dan membawa waris Dr. Burhanuddin dan waris Prof. Zulkifli Mohamad ke perjumpaan PAS semasa mengenang peranan mereka. Tidak janggal kerana mereka tidak dalam kumpulan lain dan tidak membuang PAS.
     
Payah untuk mereka dalam majlis memperingati tokoh jika sudah hilang dari PAS. Sebagai orang Melayu hubungan timur itu cukup halus dan lembut. Kenduri mati mahu bersama. Walaupun penghormatan Melayu kini tidak seperti Hang Tuah menghormati raja tetapi budi dan jati diri Melayu itu terletak pada budi kepada pimpinan yang dikasihi.
     
Jika boleh semua digotong royong kenduri dan kematian warisnya. PAS tentu mahu warisnya dikuburkan bersamanya. Kubur Ustaz Fadzil terletak di kawasan kawalan PAS. PAS tentu tawarkan sekubur dengannya.
     
Jika ketika itu sekaliannya renggang dari PAS sekalipun tiada jurang dalam kematian, tetapi canggungnya tetap kedapatan. Payah ada. Tetapi PAS mesti menghormati pemimpinnya. Macam mana hendak buat?
     
Sebelum ia terjadi, elok dan patut sekalian warisnya bersama PAS demi kemuliaan Ustaz FAdzil! – HARAKAHDAILY 15/11/2017

- Advertisement -
- Advertisement -