Malaysia digesa serius tangani isu Rohingya

- Advertisement -
COX’S BAZAR, Bangladesh: Kerajaan Malaysia digesa lebih serius menangani isu Rohingya dan memberi tekanan kepada pemerintah Myanmar bagi menghentikan pembunuhan beramai-ramai serta pembersihan etnik umat Islam itu.
 
Pengarah Pusat Bantuan dan Kemanusiaan PAS (PASRelief), Muhammad Sanusi Md Nor berkata, kerja-kerja kemanusiaan seperti melawat dan menyampaikan sumbangan, serta janji mahu membina hospital boleh dilaksanakan oleh Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO).
 
“Kerajaan sepatutnya boleh berperanan dan bertindak lebih daripada apa yang telah dibuat. Kalau nak buat hospital sahaja, pihak NGO pun boleh buat.
 
“Tidak ada tindakan diplomatik atau langkah-langkah menghentikan pengambilan tenaga kerja dari Myanmar serta memutuskan hubungan dagang dengan Myanmar bagi meningkat tekanan kepada pemerintah Naypiydaw,” utaranya.
 
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas pengagihan 50 tan makanan kepada pelarian Rohingya di Kem Pelarian Balukhali, di sini semalam.
 
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu yang kini berada bersama delegasi Misi Kemanusiaan Kelapan PASRelief, memberi ingatan agar pemimpin negara ‘tidak bermain wayang’ dalam isu Rohingya.
 
“Mereka menzahirkan simpati kepada Rohingya, tetapi pada masa yang lain mereka ‘berjabat tangan’ dengan pemimpin Myanmar.
 
“Sebagai salah sebuah negara yang aktif dalam Asean, khususnya dalam soal hak asasi manusia, tidak ada gesaan supaya Myanmar bertanggungjawab dan mengembalikan hak warganegara kepada Rohingya,” luahnya kesal.
 
Turut sama pada misi itu ialah kepimpinan  PASRelief Terengganu diketuai Pengerusinya, Yahaya Ali; Adun Alor Limbat, Ariffin Deraman dan Setiausaha PASRelief Terengganu, Ustaz Wan Sukairi Wan Abdullah.
 
Ariffin dalam ulasannya berkata, belum nampak usaha secara serius diambil oleh Kerajaan Malaysia bagi menyelesaikan isu tersebut walaupun ada menghantar misi bantuan.
 
“Tetapi bagi sebuah kerajaan yang besar, sepatutnnya mereka lebih ‘sentimental’ lagi dengan isu ini.
 
“Sepatutnya Kerajaan Malaysia tegas berbincang dengan Aung San Su Kyi kerana Myanmar sebahagian daripada Asean. (Kerajaan) boleh memberi tekanan ekonomi dan lain-lain yang munasabah,” katanya.
 
Sementara itu, Ustaz Wan Sukairi dalam nada sama berkata, rakyat tidak nampak apa-apa kesan daripada tindakan Kerajaan Malaysia masa kini yang sepatutnya memberi tekanan kuat kepada Myanmar. 
 
Sehingga ujarnya, Myanmar akur dan mematuhi kehendak masyarakat antarabangsa dan untuk memastikan perkara yang sedang berlaku itu tidak berulang lagi. – HARAKAHDAILY 15/11/2017
- Advertisement -