Cendawan Mekah adalah Al-Manna? (Bah. 1)

- Advertisement -

RAMAI yang mendakwa mereka menjual produk yang mujarab serta disebut dalam Al-Quran bernama Al-Manna. Saya pernah dengar kempen mereka di koridor kedai Jaafar Rawas Kota Bharu seusai sahaja mendengar kuliah ilmu di sana. Penjualan mereka saya anggap secara kecil-kecilan, kerana kezuhudan penjual produk berkenaan, hanya beralaskan tikar dan tiada mesin kira untuk mengira untung rugi jualan. Lantas saya tertanya-tanya, jika ianya benar berkesan mengubati pelbagai jenis penyakit yang didakwa, sepatutnya beliau telah mampu mengembangkan jualan produk beliau ke seantero dunia. Di saat inilah umat Islam perlu bangkit bagi mengenengahkan produk “sunnah” ini.

- Advertisement -

drsuhazeli2Saya cuba menelaah beberapa bahan kajian ilmiah berkaitan dengan produk yang bernama Al Manna ini. Al Manna disebutkan dalam Al Quran sebagaimana kisah Bani Israel yang diberi keistimewaan oleh Allah semasa sesat di Semenanjung Sinai. Allah menganugerahkan Al Manna dan Salwa kepada mereka.

Al Manna disebut dalam Al Quran:

وَ ظَلَّلْنَا عَلَيْكُمُ الْغَمَامَ وَأَنزَلْنَا عَلَيْكُمُ الْمَنَّ وَ السَّلْوَى كُلُوْا مِن طَيِّبَاتِ مَا رَزَقْنَاكُمْ وَ مَا ظَلَمُوْنَا وَلَكِنْ كَانُوْا أَنْفُسَهُمْ يَظْلِمُوْنَ

Bermaksud: “Dan Kami telah menaungi kamu dengan awan (dari panas matahari di padang pasir) dan Kami turunkan kepada kamu “Mann” dan “Salwa”, (serta Kami berfirman): “Makanlah dari makanan-makanan yang baik yang Kami telah kurniakan kepada kamu”. dan tidaklah mereka menganiaya Kami (sebab mereka kufurkan nikmat itu), tetapi sebenarnya mereka adalah menganiaya diri sendiri.” [Surah Al Baqarah (57)]

Menurut riwayat lbnul Mundzir dan Ibnu Abi Hatim dari Ibnu Abbas, beliau berkata bahwa manna adalah suatu makanan manis, berwarna putih yang mereka dapati tiap-tiap pagi telah melekat pada batu-batu dan daun-daun kayu. Rasanya manis dan enak; semanis madu, sehingga ada penafsir yang memberinya erti madu.[1]

Terdapat pelbagai lagi tafsiran para ulama tafsir tentang al Manna ini. Kesimpulannya diulas dengan baik oleh Imam Ibn Kathir (wafat 774H) dalam tafsirnya:

“Ucapan-ucapan para ahli tafsir dalam menjelaskan maksud al Manna saling berdekatan maknanya. Sebahagian daripada mereka menjelaskan al Manna itu merupakan sejenis makanan. Sebahagian yang lain menjelaskan ia merupakan sejenis minuman. Hakikatnya, wallahua’lam ia merupakan setiap apa yang Allah kurniakan kepada mereka (Bani Israel) daripada makanan dan minuman dan selain daripadanya yang mana mereka tidak perlu mendapatkannya dengan bekerja (mencari/menanam) dan berpenat lelah.

Yang masyhur ialah jika ianya dimakan begitu sahaja, maka ia menjadi makanan dan manisan. Jika ia dicampur dengan air, maka ia akan menjadi minuman yang enak. Jika al Manna itu dicampur dengan sesuatu yang lain (contohnya masakan, adunan dan lain-lain) maka ia menjadi sesuatu yang lain pula. Namun begitu, tidak ada satu ayat pun yang memberi maksud tertentu baginya (al Manna).” [Tafsir ibn Kathir 1/267] [2]

Persoalannya, adakah al Manna seperti itu masih wujud? Atau ianya hanya keistimewaan khusus kepada kaum Bani Israel tersebut?

Terdapat dalam Kitab Al Mirqah Syarh Misykah oleh Syeikh Ali al Qori, bab Tibb (perubatan) menukilkan satu hadis:

«أَنَّ نَاسًا مِنْ أَصْحَابِ رَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – قَالُوا لِرَسُولِ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: الْكَمْأَةُ جُدَرِيُّ الْأَرْضِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ” الْكَمْأَةُ مِنَ الْمَنِّ، وَمَاؤُهَا شِفَاءٌ لِلْعَيْنِ، وَالْعَجْوَةُ مِنَ الْجَنَّةِ، وَهِيَ شِفَاءٌ مِنَ السُّمِّ “. قَالَ أَبُو هُرَيْرَةَ: فَأَخَذْتُ ثَلَاثَةَ أَكْمُؤٍ أَوْ خَمْسًا أَوْ سَبْعًا فَعَصَرْتُهُنَّ، وَجَعَلْتُ مَاءَهُنَّ فِي قَارُورَةٍ، وَكَحَّلْتُ بِهِ جَارِيَةً لِي عَمْشَاءَ، فَبَرَأَتْ» . رَوَاهُ التِّرْمِذِيُّ، وَقَالَ: هَذَا حَدِيثٌ حَسَنٌ.

Bermaksud: Sekumpulan sahabat RA berkata kepada Nabi SAW kam’ah adalah jerawat bumi. Nabi menjawab sebenarnya kam’ah adalah daripada al mann. Airnya dapat menyembuh mata yang sakit (mata kelabu). Kurma ajwah pula dari syurga dan dapat menyembuhkan dari racun. Abu Hurairah berkata aku mengambil tiga atau lima atau tujuh kam’ah lalu aku perah airnya ke dalam botol dan sapu celakkan dengannya mata hamba perempuanku yang rabun matanya, lalu sembuh. Hadis diriwayatkan oleh Tirmizi. Menurutnya ia Hadis hasan. [Juga diriwayatkan oleh al Bukhari dan Muslim]

Kam’ah daripada manna, menurut ulama hadis maksudnya ianya mudah diambil dan mudah tumbuh tanpa perlu ditanam sama seperti al manna tidak perlu bersusah payah mencarinya.

Dewasa kini ramai penjual produk kesihatan mendakwa bahawa produk merekalah al manna sepertimana yang disebut dalam Al Quran. Bagi melariskan lagi jualan, disertakan hadis-hadis yang berkaitan al manna ini dan beberapa kelebihan kesihatan.

Sekurang-kurangnya empat jenis bahan berbeza yang didakwa sebagai al manna ini.

1) Ada antaranya penjual Cendawan Mekah mendakwa kehebatan Al Manna mereka ini menandingi ubat-ubatan moden seperti merawat sakit sendi, migraine, kencing manis, masalah penglihatan, batuk, bronchitis, asma, darah tinggi (hipertensi), sakit lumpuh (stroke) dan berbagai jenis penyakit kronik lagi.[3]

2) Ada pula penjual Getah Arab (Arabic Gum / Acacia Senegal) mendakwa bahawa produk merekalah yang sebenarnya Al Manna sepertimana dinukilkan dalam Al Quran serta Hadis. Pelbagai khasiat kesihatan telah dibentangkan bagi membuktikan kesahihan dakwaan mereka itu. Dikatakan Getah Arab ini mampu meningkatkan penapisan pesakit buah pinggang, merawat kencing manis, gout, buasir, prebiotik dan pelbagai lagi.[4]

3) Getah dari pokok Boswellia- frankincense juga disebut-sebut sebagai al manna. Nama lainnya adalah Olibanum. Digunakan sebagai kemeyan pembangkit bau aromaterapi apabila dibakar. Minyak olibanum digunakan sebagai kosmetik luaran dan campuran dalam beberapa ubat tradisi.[5]

4) Kulat bumi juga didakwa sebagai al manna. Nama asasnya adalah ‘truffle’, sejenis tumbuhan tanpa batang dan seperti ubi kentang. Ianya menjadi kegilaan kepada kepada penggemarnya sehingga harga jualan mencecah ratusan ribu ringgit. Ia digunakan sebagai bahan campuran dalam masakan.[6]

Suhazeli.com
Fb.com/drsuhazeli

Pautan:
[1] Tafsir Surah al Baqarah 57. http://kongaji.tripod.com/myfile/al-baqoroh_ayat_57-61.htm
[2] Benarkah Al Manna Penawar Pelbagai penyakit. http://addienblog.blogspot.my/…/benarkah-al-manna-gam-arab-…
[3] Kombucha. https://en.wikipedia.org/wiki/Kombucha
[4] Arabic Gum. https://www.orangeshinesquare.com/…/-khasiat-kajian-testimo…
[5] Boswellia- frankincense. https://en.wikipedia.org/wiki/Frankincense
[6] Truffle. http://www.cbsnews.com/…/truffles-the-most-expensive-food-…/

- Advertisement -