Akhbar Harakah dekatkan Morsidah dengan PAS

- Advertisement -

WANITA kelahiran Kampung Pamah Rawas, Ulu Dong, Raub, Pahang ini mempunyai kisahnya yang tersendiri mengenai perjuangannya sebagai ahli PAS. Akhbar Harakah, yang merupakan lidah rasmi PAS banyak membuka jalan kepadanya untuk meneroka mengenai gerakan Islam yang  membawa wadah Islam  sebenar.

- Advertisement -

Bermula dengan membaca keluaran pertama Harakah pada Mac 1987 yang dibelinya di sebuah gerai surat khabar di Bentong, Pahang, beliau tidak ketinggalan mendapatkan Harakah pada setiap keluaran. Maklumat di dalam Harakah banyak memberi kefahaman kepadanya mengenai perjuangan PAS yang berlandaskan al-Quran dan Sunnah.

Bagaimanapun sewaktu itu tidak terlintas di fikiran empunya nama Morsidah Mohd Amin, untuk menjadi ahli PAS. Ini kerana pada waktu itu beliau merupakan ahli Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan pertubuhan Al-Arqam.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Namun, pada masa yang sama beliau mula membuat perbandingan yang mana satu jemaah yang bertepatan dengan perjuangan Islam.

Morsidah 2Akhirnya selepas enam tahun mengenali PAS melalui bacaan di dalam akhbar Harakah, pada 1993, beliau nekad mendaftar sebagai ahli PAS setelah melihat jemaah yang lain tidak menepati ciri-ciri yang beliau inginkan.

Setelah bersama PAS, anak kepada pasangan Mohd Amin Mohd Salleh dan Maliah Madun ini merasakan banyak ilmu yang diperolehinya berbanding sebelum ini.

“Apa yang saya rasakan, PAS banyak memberi kebaikan kepada saya. Bersama PAS kita ada banyak peluang untuk belajar, untuk berkhidmat kepada masyarakat dan  untuk memberi infaq
di dalam program.

“Di dalam PAS juga saya temui ramai sahabat yang ikhlas berjuang kerana Allah. Apa yang penting juga di dalam PAS, kita berusaha membawa negara ke arah mendaulatkan undang-undang Allah,” tutur beliau  yang merupakan Pengarah Pilihan Raya Dewan Muslimat PAS Pahang.

Dilahirkan pada 10 Disember 1952, Morsidah yang merupakan anak ke empat daripada 15 orang adik beradik mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Ulu Dong dan meneruskan pengajian di peringkat menengah di Sekolah Menengah Tengku Kudin, Raub dan Sekolah Menengah Mahmud, Raub.

Beliau juga mengikuti pengajian diploma di Institut Latihan Kepimpinan dan Perkaderan Dakwah Islamiyah (Ilham) sebagai persediaan melaksanakan gerak kerja jemaah.

Hasil perkahwinannya dengan Osman Abu Bakar, pasangan ini dikurniakan enam orang putera dan seorang puteri serta 16 orang cucu.

Dalam menjalani kehidupan hariannya serta memikul tanggungjawab yang diamahkan di dalam PAS, Morsidah bersyukur kerana mempunyai suami yang begitu memahami dan sentiasa memberi sokongan kepadanya.

Selesa dengan kerja-kerja membantu masyarakat, Morsidah juga membuka kelas belajar al-Quran untuk kaum wanita di masjid dan surau di kawasan Temerloh. Beliau juga bersyukur kelas pengajian tersebut mendapat sambutan daripada kalangan penyokong Umno-BN.

Secara tidak langsung katanya, kelas pengajian tersebut memberi peluang kepada masyarakat memahami Islam yang dibawa oleh PAS.

Bagi Morsidah, setiap ilmu yang diperolehinya, dikongsi dan dicurahkan kepada masyarakat itulah yang akan menjadi bekalan untuknya di akhirat kelak.{/mprestriction}

- Advertisement -