PAS terus mara menuju cita

- Advertisement -

BINA kekuatan sendiri bersama dengan Gagasan Sejahtera. PRU 14, PAS  tidak bersama BN dan Pakatan Harapan. Ini tekad PAS kali ini. Apa yang penting gerakkan jentera PAS, ajak orang lain bersama dengan PAS dan Gagasan Sejahtera. Tunjukkan Islam sebagai rahmat untuk semua. Bukan ajaran Islam mengikut acuan manusia. Rahmat Islam tidak akan diperolehi tanpa Islam. Kita tidak akan dapat rasai manis, jika tanpa makan gula atau makan benda manis.

- Advertisement -

Pilihanraya memerlukan jentera dan sokongan. Jentera peringkat lokaliti (kampung, lorong, taman) mesti ada jentera PAS. Mereka boleh mengetahui kecenderungan pengundi. Hanya dengan ada jentera sahaja yang mampu untuk digerakkan. Oleh itu perlu ada cawangan PAS setiap kampung atau taman. Pengundi ini perlu disantuni dan diberikan pencerahan terutama pengundi luar bandar. Tanpa jentera ia sukar untuk dimenangi, terutama pengundi melayu.

Pilihanraya tidak cukup setakat hero di media sosial sahaja. Biarlah musuh PAS yang buat cerita yang bukan-bukan mengenai PAS. Mereka tidak ada kerja. Ahli PAS mesti sibuk dengan usrah, kuliah, tamrin, mesyuarat cawangan, kawasan, negeri, pusat dan lajnah. Sibuk mesyuarat di Unit Peti Undi, Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri, Jawatankuasa Piliharaya Kawasan, Jabatan Pilihanraya Negeri dan Jabatan Pilihanraya Pusat. Tidak termasuk mesyuarat lajnah masing-masing.

Apabila pilihanraya pula ahli PAS sudah ada jentera untuk gantung bendera, pasukan kempen daripada rumah ke rumah. Hari pilihanraya perlu kepada setiap saluran seorang petugas di bilik pengundi setiap dua jam sekali dibuat secara bergilir. InsyaAllah jentera PAS mampu.

Ahli PAS mesti menarik pengundi  bukan Islam.  Orang bukan Islam perlu didekati dan berikan pencerahan kepada mereka. Selama ini  orang bukan Islam disogok maklumat yang tidak betul kepada mereka, kononnya PAS hendak bersama dengan umno. Gambar-gambar pemimpin PAS yang hadir bersama program dengan pemimpin umno di uar-uarkan kepada orang bukan Islam.  Kita perlu tunjukkan gambar kemesraan pemimpin Dap dengan pemimpin umno perlu ditunjukkan kepada orang bukan Islam. Nanti adalah cyber trooper melayu Dap membela. PAS dituduh menerima  wang daripada DS Najib RM90 juta. Sarawak Report, peroses mahkamah sedang berjalan di London. ( tidak boleh hurai panjang kerana nasihat peguam di London).

Malahan kata Datuk Hussam, kata lebih daripada RM90 juta. Cuma kita harapkan Datuk Hussam Musa sebut nama, siapa pemimpin PAS supaya tindakan undang-undang boleh diambil. Kalau sebut PAS sahaja, tidak cukup untuk tindakan undang-undang. Biar ahli PAS hendak tahu juga siapa pemimpin PAS. Jika ada pemimpin seperti ini, ahli tidak akan simpan di dalam PAS.

Orang Melayu mesti diyakinkan, biar PAS pula memperjuangkan nasib mereka. Cukuplah beri undi kepada BN. 60 tahun apakah kualiti orang Melayu di negara ini. Melayu hanya diingati setiap kali pilihanraya.

Kelantan walau pun miskin, tetapi kaya dengan modal insan. Kita bangun negeri dengan modal insan. Royalti minyak sepatutnya diperolehi tetapi tidak diberi. Jika Kelantan miskin kita boleh berjalan dengan baik, walau pun tidak sempurna. Namun pembangunan  spritual dan fizikal berjalan dengan serentak. 27 tahun memerintah, tidak ada lagi MB dan Exco Kelantan didakwa oleh SPRM kerana rasuah. Bukti PAS boleh menjaga rakyat.

USTAZ IDRIS AHMAD
Naib Presiden PAS
25 Safar 1439/14 November 2017 – HARAKAHDAILY 14/11/2017

- Advertisement -