Mahu KUIN segera capai taraf universiti

- Advertisement -
ALOR SETAR: Kerajaan negeri diharapkan dapat giatkan usaha untuk mendapat jumlah 20 peratus pelajar luar negara bagi memenuhi syarat kelulusan pengikhtirafan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) sebagai universiti penuh.
 
Demikian antara saranan Ustaz Mohd Azam Abd Samat (Sungai Limau-PAS), ketika mengemukakan soalan tambahan pada Sidang Dun Kedah hari ini.
 
Katanya lagi, dengan kadar jumlah pelajar KUIN sekarang bukanlah perkara sukar bagi pihak kerajaan untuk mencapai target berkenaan, apatah lagi sejak kebelakangan ini kemasukan pelajar ke kolej berkenaan agak menurun.
 
“Perkara ini berbeza jika dibandingkan pada tahun 2010 hingga 2012 menunjukkan jumlah kemasukan pelajar yang memberangsangkan.
 
“Pada tahun 2010, KUIN menerima kemasukan pelajar mencecah sehingga 2,600 orang, diikuti pada 2,200 orang pada tahun 2011, dan pada 2012 seramai 1,700 orang.
 
“Ini berbeza dengan pencapaian sekarang yang hanya mencatatkan kemasukan paling tinggi seramai 1,538 orang pada tahun 2015,” ujar beliau.
 
Sementara itu utaranya, walaupun pihak kerajaan mengumumkan empat dari lima syarat telah dipenuhi, hakikat tidak boleh dinafikan dan perlu diakur ialah KUIN mempunyai kampusnya sendiri.
 
Perkara tersebut telah direalisasikan oleh pemerintahan terdahulu di bawah pentadbiran Al-Marhum Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak.
 
Katanya lagi, walaupun beliau menghadapi pelbagai rintangan dan cabaran serta cubaan pihak tertentu yang mahu menggagalkan hasrat murni itu, namun rakyat Kedah boleh berbangga dengan kejayaan berkenaan.
 
Kolej terbabit dijangkakan akan bertukar nama ke Universiti Islam Sultan Abdul Halim Muazzam Shah atau singkatannya UNISHAMS apabila memenuhi syarat-syarat untuk menjadikannya sebagai universiti penuh. – HARAKAHDAILY 14/11/2017
- Advertisement -