Larangan bertudung canggah Perlembagaan

NURIDAH1
- Advertisement -
بسم الله الرحمن الرحيم… 
 
وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ
 
“Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka… “
(An-Nūr:31)
 
Ayat di atas jelas memerintahkan wanita muslimah agar mengenakan tudung,  bahkan dituntut agar melabuhkan tudung mereka sehingga menutupi bahagian dada. Amat mendukacitakan apabila para wanita muslimah kita di Malaysia masih lagi terpaksa menghadapi tekanan dalam mengamalkan tuntutan agama yang jelas di dalam Al-Quran ini.
 
Larangan bagi wanita muslimah yang bekerja di barisan hadapan hotel (frontline) untuk memakai tudung amatlah dikesali. Ianya nyata suatu pencabulan kepada Perkara 3 (1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan, “Islam ialah agama bagi Persekutuan …”. Dalam kes Azalina Jailani (Lina Joy) lwn Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan & 2 Yang Lain [2007] 3 AMR 693,  Ketua Hakim Negara Tun Ahmad Fairuz memberi makna Islam sebagai “bukan sahaja suatu himpunan dogma-dogma dan ritual-ritual tetapi ianya juga suatu cara hidup yang lengkap merangkumi semua bidang aktiviti manusia, persendirian dan awam, perundangan, politik, ekonomi, sosial, budaya, moral atau kehakiman”.
 
Larangan pemakaian tudung ini juga jelas merupakan suatu pencabulan hak mengamalkan agama yang dijamin oleh Perkara 11(1) Perlembagaan Persekutuan, “Tiap-tiap orang adalah berhak menganuti dan mengamalkan agamanya dan, tertakluk kepada Fasal (4), mengembangkan agamanya.”
 
Di dalam kes Meor Atiqulrahman Ishak (Meor Atiqulrahman) & ors v. Fatimah Sihi & ors [2006] 4 CLJ 1,  Mahkamah Persekutuan telah meletakkan beberapa ujian dalam menentukan sama ada suatu peraturan yang dibuat adalah tidak berperlembagaan. 
 
“First, there must be a religion. Secondly, there must be a practice. Thirdly, the practice is a practice of that religion”.
 
Mengambilkira ujian yang dijalankan oleh Mahkamah di dalam kes ini kepada kes di hadapan kita, kami yakin dan percaya, amalan pemakaian tudung oleh wanita muslimah telah melepasi ketiga-tiga ujian yang ditetapkan Mahkamah Persekutuan ini.  
 
Selanjutnya Mahkamah Persekutuan menjelaskan, “All these having been proved, the court should then consider the importance of the practice in relation to the religion. This is where the question whether the practice is an integral part of the religion or not becomes relevant. If the practice is of a compulsory nature or ‘an integral part’ of the religion, the court should give more weight to it. If it is not, the court, again depending on the degree of its importance, may give a lesser weight to it”.
 
Pemakaian tudung,  sebagaimana yang difahami dari ayat 31 Surah An-Nur di atas adalah suatu tuntutan wajib. Oleh itu, berdasarkan kes Atiqulrahman, amalan ini wajib diberi pertimbangan dalam menentukan bahawa ianya adalah suatu bahagian Agama Islam yang penting. 
 
Selanjutnya Mahkamah Persekutuan pergi lebih jauh dalam membezakan amalan sunat dan wajib, “In the Islamic context, the classification made by jurists on the ‘hukum’ regarding a particular practice will be of assistance. Prohibition of a practice which is ‘wajib’ (mandatory) should definitely be viewed more seriously than the prohibition of what is ‘sunat’ (commendable)”.
 
Oleh yang demikian, Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM) mengecam larangan ke atas wanita muslimah yang bekerja di barisan hadapan hotel (frontline) untuk memakai tudung atas alasan ianya suatu pencabulan kepada Perkara 3(1) dan Perkara 11(1) Perlembagan Persekutuan. 
 
DMPM juga menggesa pihak berwajib untuk menjalankan siasatan serta mengambil tindakan sewajarnya agar ketinggian Perlembagaan Persekutuan tetap terpelihara.
 
USTAZAH NURIDAH MOHD SALLEH
Ketua Muslimat
Dewan Muslimat PAS Malaysia
12 November 2017 | 23 Safar 1439 – HARAKAHDAILY 12/11/2017
- Advertisement -