Berubah ke arah cara Islam

nasrudin3
- Advertisement -

NEGARA kita telah merdeka sejak tahun 1957. Perlembagaan negara meletakkan Islam sebagai agama Persekutuan sementara muslim adalah majoriti penduduk.

- Advertisement -

2. Malangnya pelaksanaan syariat Islam masih jauh dari sempurna dalam sistem pentadbiran dan pemerintahan negara mahupun dalam kegiatan sosial dan aktiviti kehidupan masyarakat.

3. Bahkan terlalu banyak dasar dan aktiviti yang bercanggah dengan syariat Islam berbanding yang patuh syariah. Akhirnya kita menyaksikan pelbagai kepincangan dalam sistem politik, ekonomi dan iklim sosial negara kita.

4. Kemungkaran politik melahirkan perpecahan dan pertelagahan ummat. Ini adalah ekoran daripada amalan politik Mechavelli yang hanya mementingkan kuasa tanpa mengira hak atau bathil. Sanggup menindas, menipu, menafikan hak bahkan membunuh demi survival kuasa.

5. Kefasadan ekonomi menghasilkan malapetaka yang menghimpit negara dan rakyat sendiri. Ini adalah ekoran daripada amalan ekonomi kapitalis yang hanya mementingkan kekayaan dan kemewahan tanpa mengira halal atau haram. Sanggup lakukan rasuah, menyeleweng dana awam, mengamalkan riba bahkan tergamak memungut cukai dari rakyat miskin.

6. Kemaksiatan sosial membentuk sebuah masyarakat yang rosak moral dan hilang kemurnian budaya. Ini adalah ekoran daripada liberalisasi sosial yang hanya mementingkan kebebasan tanpa mengira syurga atau neraka. Gaya hidup songsang seperti LGBT cuba dipromosikan sebagai hak asasi individu, membudayakan pesta arak yang memabukkan akal, pelacuran kian subur bahkan judi dilesenkan sebagai aktiviti legal dalam negara.

7. Tidak mudah untuk memulihkan tahap kerosakan dan kebinasaan yang sedang dialami oleh negara pada hari ini. Ibarat pesakit yang terlantar di katil hospital, keadaannya kian parah menanti detik kuman merebak ke tangkai jantung.

8. Sekian lama negara dalam situasi begini. Semua orang merungut dan mengeluh. Keluhan itu bukan sekadar kerana minyak naik. Tetapi juga mengeluh kerana kos sara hidup meningkat, indek rasuah tinggi, ummat Islam berpecah, anak muda yang rosak moral, gejala ragut menjadi-jadi, pecah rumah, rogol, dera dan bunuh bukan lagi kes terpencil.

9. Soalnya, sampai bila kita hanya berpada dengan mengeluh? Mengeluh kemudian mengeluh lagi! Kenapa tidak kita bangkit buat perubahan. Sedang peluang untuk membuat perubahan itu ada. Pilihan untuk berubah senantiasa ada. Segalanya kembali kepada kita. Mahu berubah dengan melakukan tindakan yang berani dan luar dari kebiasaan atau terus kekal dalam tekanan perasaan untuk terus berada dalam situasi yang biasa buat selamanya.

Sabda Rasulullah saw:

مَنْ رَأَى مِنْكُمْ مُنْكَرًا فَلْيُغَيِّرْهُ بِيَدِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِلِسَانِهِ فَإِنْ لَمْ يَسْتَطِعْ فَبِقَلْبِهِ وَذَلِكَ أَضْعَفُ الْإِيمَانِ

Barangsiapa di kalangan kamu yang menyaksikan kemungkaran maka hendaklah ia merubah kemungkaran itu dengan tangannya, jika sekiranya tiada kemampuan maka ubahlah dengan lidahnya dan jika tiada kemampuan juga, maka ubahlah dengan hatinya dan sedemikian itu adalah selemah-lemah iman. (Riwayat Imam Muslim)

10. PAS menawarkan Islam sebagai penyelesaian. Suatu cara hidup yang diwahyukan oleh Allah swt sebagai Tuhan yang mencipta manusia dan seluruh alam ini. Kenapa tidak kita mengambil Islam yang sarat dengan formula penyelesaian sebagai pintu keluar dari situasi yang mencengkam sejak sekian lama.

Firman Allah swt:

صِبْغَةَ اللَّهِ ۖ وَمَنْ أَحْسَنُ مِنَ اللَّهِ صِبْغَةً ۖ وَنَحْنُ لَهُ عَابِدُونَ

Celupan Allah dan celupan siapa lagi yang lebih baik daripada Allah swt, sedang kita kepadaNya mengabdikan diri. (Al Baqarah: 138)

Jawapan ada dalam sanubari anda. Berfikirlah dengan wajar dan matang lalu buat keputusan dengan bijak.

Sejahtera bersama Islam

Nasrudin Hassan
Ketua Penerangan PAS Pusat
21 Safar 1439 / 10 November 2017 – HARAKAHDAILY 10/11/2017

- Advertisement -