Tiada bantuan langsung, terpaksa sembelih kambing

dm3

HAMPIR seminggu Pulau Pinang masih ditenggelami air di beberapa kawasan. Semalam, 8 November 2017 pasukan kedua Skuad Prihatin Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan Dewan Muslimat PAS Malaysia (LKK DMPM) berangkat menuju ke Pulau Pinang bagi meneruskan misi banjir. Bersama-sama pasukan kedua Skuad Prihatin semalam ialah Pengerusi Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKPP) merangkap Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Malaysia (DMPM), Dr Rosni Adam, Pengerusi Lajnah Hubungan NGO, Puan Kartini Ahmad dan Pengarah Briged Muslimat Malaysia, Saudari Nuri Muhammad serta beberapa ahli jawatankuasa DMPM.

Advertisement

Alhamdulillah, tabung banjir LKK DMPM masih lagi menerima respons yang tidak putus dari orang ramai yang prihatin. Dengan duit sumbangan fasa kedua ini, pasukan kedua Skuad Prihatin membawa bersama mereka barang-barang keperluan untuk diagihkan kepada mangsa banjir di Pulau Pinang bagi menampung barang-barang keperluan yang masih tidak mencukupi. Barang-barang keperluan asas yang dibawa semalam ialah seperti beras, barang-barang makanan, susu formula bayi, tuala wanita dan pampers bayi.

Skuad Prihatin selamat sampai di Pongsu Seribu sekitar pukul 4.30 petang semalam bagi menyerahkan barang-barang sumbangan tersebut di tempat pengumpulan barang-barang sumbangan sebelum mereka meneruskan misi ziarah di kawasan yang terlibat dengan banjir.

Kampung Desa Puri antara kawasan yang terjejas teruk akibat banjir selama hampir seminggu ini. Alhamdulillah, semasa ziarah semalam keadaan air sudahpun kering. Namun, banyak kerosakan dan banyak yang perlu di baiki dan dibersihkan. Kelihatan barang-barang kelengkapan rumah serta perabot-parabot rumah tersusun di pinggir jalan kampung sementara penduduk sedang berusaha membersihkan lumpur-lumpur di dalam rumah mereka.

Sebanyak 20 buah rumah telah diziarahi oleh pasukan kedua Skuad Prihatin semalam bersama-sama dengan barang sumbangan. Salah seorang dari mangsa banjir berkongsi pengalaman mereka mengharungi banjir, katanya, “masa air naik paras dada, tiada bantuan langsung yang sampai sehingga kami terpaksa menyembelih kambing untuk dijadikan lauk”.

Rata-rata ziarah semalam sangat menyentuh hati apabila melihat sendiri keadaan yang dihadapi oleh penduduk kampung. Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Terlalu banyak kemusnahan yang mereka alami. Ada yang musnah ayam ternakan sehingga 50 ekor, malah ada juga kambing peliharaan mereka hanyut dibawa arus banjir. Semoga Allah menggantikannya dengan yang lebih baik.

Turut hadir semasa ziarah semalam bersama-sama rombongan kedua Skuad Prihatin dan Pimpinan DMPM ialah wakil Amalnita Pulau Pinang dan Muslimat PAS Negeri Sembilan.

Skuad Prihatin LKK DMPM sekali lagi merakamkan jutaan terima kasih kepada semua penyumbang yang dermawan serta setinggi-tinggi penghargaan atas kepercayaan para penyumbang yang sentiasa menyokong usaha LKK DMPM dalam menjalankan gerak kerja kebajikan dan kemasyarakatan.

LKK DMPM sentiasa membuka ruang dan mengalu-alukan niat murni para dermawan untuk terus menyumbang. Sumbangan boleh disalurkan ke akaun: Dewan Muslimat PAS Pusat MAYBANK: 5640 2540 0711

SMS/Whatsapp slip sumbangan kepada Dr ‘Uyun (019-357 7502), Puan Zurina (014-306 9141), Saudari Zuriati (019-204 9434) Saudari Oyeen (019-590 2381). – HARAKAHDAILY 9/11/2017

dm1

dm2

dm3