Kerajaan yang ‘tiada isi perut’

- Advertisement -
KEMAMAN: Kerajaan Malaysia pimpinan Umno-BN yang dipilih memerintah sekarang perlu jujur dan tidak terus berdalih dalam menangani masalah harga minyak dan kesannya kepada kos sara hidup rakyat.
 
Timbalan Pengarah PAS Dun Kemasik, Ir Saifulazmi Suhaili berkata demikian sebagai reaksi kepada kenaikan harga minyak minggu ini yang diumumkan pada petang Rabu semalam.
 
“Isu kenaikan saban minggu harga minyak perlu di urus dengan penuh jujur. Kerana kita yakin keborosan dalam mentadbir negara adalah faktor utama yang menyebabkan pemerintah tidak mampu mentadbir dengan baik.
 
“Kesannya sangat besar dalam menjaga kestabilan rakyat. Tekanan hidup meningkat dengan kenaikan berterusan harga minyak dan harga barang, diburukkan lagi dengan GST. Gaji masih ditakuk lama, malah peluang pekerjaan juga semakin menyusut,” tambah beliau.
 
Menurut Saifulazmi, tiada lagi boleh harapkan kepada kerajaan yang memerintah sekarang ini jika masalah tersebut gagal mereka selesaikan.
 
Harga minyak pada minggu ini bermula pada 9 hingga 15 November mencatatkan kenaikan dengan RON95 bertambah 7 sen menjadikan RM2.31 seliter, RON97 naik 6 sen kepada RM2.60 seliter dan diesel juga naik 3 sen kepada RM2.20 seliter. – HARAKAHDAILY 9/11/2017
- Advertisement -