PAS terus desak royalti petroleum kepada Kelantan

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: PAS sekali lagi mendesak kerajaan persekutuan untuk memberikan peruntukan sewajarnya kepada Kelantan biarpun ia berada di bawah pentadbiran PAS.

- Advertisement -

Siti Zailah Mohd Yusof (PAS-Rantau Panjang) berkata, antara yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan ialah pemberian semula royalti minyak yang dinafikan selama ini.

Menurut Siti Zailah, rakyat Kelantan sudah lama menuntut hak royalti sebagaimana yang termaktub dalam Akta Pembangunan Petroleum 1975.{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

“Justeru, saya mewakili rakyat Kelantan ingin tahu apakah bajet yang telah diberi kepada negeri Kelantan dan khususnya dalam Parlimen Rantau Panjang dalam Bajet 2018 ini,” katanya ketika membahaskan Bajet 2018 pada persidangan Dewan Rakyat, 1 November lalu.

Tambah Siti Zailah, rakyat Kelantan menuntut supaya bayaran royalti itu dibayar segera kepada Kerajaan Kelantan kerana ia adalah hak yang termaktub dalam undang-undang.

Mengulas lanjut Bajet 2018 yang dibentangkan Perdana Menteri itu, Siti Zailah berkata, bajet itu tidak perlu menjadi sekadar ubat penenang kepada rakyat, sebaliknya ia harus membantu menyelesaikan atau menjamin kesejahteraan rakyat secara berterusan.

“Segala imbuhan khas, bonus, pemberian, insentif yang telah diberi itu sememangnya kita alu-alukan kerana ia adalah keperluan rakyat. Tetapi sayang, perkara ini jarang berlaku dan ia berlaku di saat menjelangnya pilihan raya,” kata beliau.

Beliau turut mempersoalkan sejauh mana bajet yang dibentangkan itu benar-benar mensejahterakan rakyat sebagaimana tema yang telah dibentangkan iaitu Demi Mensejahterakan Kehidupan Rakyat.

Ini kerana, katanya, biarpun Perdana Menteri melaungkan kedudukan ekonomi negara berada di tahap yang baik, hakikatnya rakyat semakin hari semakin terbeban dengan segala kos yang terpaksa dihadapi.

“Saya ingin penjelasan, apalah ertinya pertumbuhan ekonomi yang dibanggakan sedangkan rakyat tidak mendapat manfaat ataupun merasai pertumbuhan yang dikatakan baik ini, di mana rakyat terus terbeban dengan kos hidup yang mahal, kos hidup yang tinggi, barang yang mahal, kadar hutang negara yang semakin meningkat sebanyak 140 peratus dalam tempoh sembilan tahun?” soal beliau.{/mprestriction}

- Advertisement -