Multaqa kukuhkan kerjasama NGO dan Jabatan Mufti

- Advertisement -
SEREMBAN: Yayasan Amal Malaysia Cawangan Negeri Sembilan bersama 13 NGO Islam lain yang bernaung di bawah Gabungan NGO Dakwah Islam (Ganda) telah mengikuti Multaqa NGO Islam Negeri Sembilan.
 
Multaqa kali kedua itu telah dianjurkan oleh Bahagian Rundingcara Aqidah Jabatan Mufti Negeri Sembilan di Klana Resort Hotel, di sini semalam.
 
Hasil multaqa itu, tiga resolusi utama telah disepakati iaitu memperkasakan Ganda sebagai badan menyatu semua NGO dakwah di Negeri Sembilan.
 
Ganda juga akan berperanan membantu Jabatan Mufti menangani masalah murtad dan menyebarkan kefahaman Islam kepada masyarakat.
 
Malah, harapan kepada Ganda untuk menyumbang kepakaran dan tenaga bagi menyelesaikan masalah ummah menerusi agensi-agensi kerajaan.
 
Mufti Negeri Sembilan, Dato’ Mohd Yusof Ahmad dalam ucapan penutupnya mengingatkan para peserta agar tidak berpecah-belah kerana ia hanya menjadikan orang Islam semakin lemah.
 
Tiga pembentangan utama diadakan menampilkan Dr Muhammad Yusry Mazlan, Prof Dr Badlishah Sham Baharin dan Shah Kirit Kalkulal Govinji.
 
Masing-masing mereka membentangkan tajuk “Hala Tuju NGO Islam Dalam Memartabatkan Jabatan Mufti”, “Gerak Kerja NGO Islam Dalam Memartabatkan Ummah” dan “Penyucian Jiwa Dalam Gerak Kerja Dakwah”. – HARAKAHDAILY 7/11/2017
- Advertisement -