Kelantan dan PAS hulur bantuan awal banjir P. Pinang

- Advertisement -
GEORGETOWN: Kerajaan Negeri Kelantan telah menyerahkan sumbangan RM50,000 untuk mangsa banjir besar kepada Kerajaan Negeri Pulau Pinang di Bangunan Dun Pulau Pinang, di sini sebentar tadi.
 
Serahan telah disampaikan sendiri Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Mumtaz Md Nawi dan diterima oleh Pegawai Kewangan Kerajaan Negeri Pulau Pinang, Dato’ Sarul Bahiyah.
 
Turut hadir menyaksikan serahan itu ialah Timbalan Ketua Menteri dan Exco Kerajaan Negeri Pulau Pinang iaitu Dato’ Mohd Rashid Hasnon dan Chong Eng.
 
Menurut Mumtaz, sumbangan diberikan itu tidaklah seberapa berbanding situasi sedang dihadapi, tetapi ia sebagai rasa bersama dan simpati rakyat Kelantan atas ujian menimpa rakyat Pulau Pinang.
 
Difahamkan, selain sumbangan tunai RM50,000 itu, turut dibawa ialah sumbangan berupa barangan makanan dan keperluan harian yang akan diagihkan terus kepada mangsa banjir.
 
Dato’ Mohd Rashid dalam pada itu merakamkan penghargaan terima kasih pihak Kerajaan Negeri Pulau Pinang atas sumbangan dihulurkan Kerajaan Negeri Kelantan.
 
Turut serta pada majlis ringkas itu ialah Timbalan Exco Kerajaan Negeri Kelantan, Wan Ubaidah Omar; Setiausaha Politik Menteri Besar Kelantan, Ustaz Wan Roslan Wan Hamad dan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Kelantan, Said Sidup.
 
Manakala delegasi PAS yang hadir antaranya Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat, Dr Azman Ibrahim yang juga Timbalan Ketua Pengarah Khidmat Malaysia dan Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff.
 
Sementara itu, PAS melalui Khidmat Malaysia telah menghantar 200 petugas dan 30 tan bantuan makanan awal dari luar Pulau Pinang. – HARAKAHDAILY 6/11/2017
- Advertisement -