Bencana: Usah perlekeh orang lain

- Advertisement -

SEMUA pihak diharap mengambil pengajaran terhadap bencana alam yang berlaku dan tidak memperlekeh orang lain dengan kejadian tersebut.

- Advertisement -

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, kerajaan negeri yang ditadbir PAS tidak pernah memperlekehkan pihak lain terhadap musibah yang berlaku.

Katanya, bencana yang berlaku tidak perlu dipolitikkan.

“Pada pandangan saya ia patut menjadi pengajaran kepada semua pihak. Bila ada musibah tidak patut kita menyalahkan orang lain.

“Kita tidak mahu mengambil aspek itu sebab itu kita tidak mahu mempolitikkan bencana yang berlaku,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Publisiti dan Penyertaan Awam Dalam Draf Rancangan Struktur Kelantan 2040 di Kota Darulnaim Kota Bharu hari ini.

Turut hadir anggota-anggota Exco, Timbalan Setiausaha Kerajaan, Datuk Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Fiessal dan Pengarah Jabatan Perancang Bandar dan Desa Kelantan, Nik Husni Nik Rashid.

Sebelum ini Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dilapor berkata, Kelantan dianggap negeri yang lemah kerana gagal menunaikan tanggungjawab semasa banjir besar berlaku pada Disember 2014.

Mohd Amar juga berkata, bantuan sebanyak RM50,000 yang diberi kerajaan Kelantan bagi membantu mangsa banjir di Pulau Pinang lebih baik berbanding tiada langsung. – HARAKAHDAILY 6/11/2017

- Advertisement -