Belanjawan Selangor: Penjelasan isu rumah

- Advertisement -

PENJELASAN kepada pertanyaan-pertanyaan mulut daripada Y.B. Tuan Ir. Haji Mohd Haslin Bin Hassan (N54 Tanjung Sepat) Bagi Soalan No. 6 Pada 6 November 2017.

- Advertisement -

a) PROJEK PERUMAHAN TERBENGKALAI

Untuk makluman Yang Berhormat, Kerajaan Negeri melalui Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) sentiasa berusaha memberikan komitmen dalam mengatasi masalah projek terbengkalai di Selangor walaupun bidang kuasa Kerajaan Negeri hanya terhad kepada tindakan secara pentadbiran sahaja tetapi kuasa pemulihan ini terletak di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966.

Sehubungan itu, beberapa langkah proaktif telah diambil oleh Kerajaan melalui LPHS bagi memastikan usaha pemulihan perumahan terbengkalai dapat disiapkan adalah seperti berikut :

i.Jawatankuasa Pemulihan Projek Terbengkalai (JPPT) yang terdiri daripada,
•Wakil Y.B. Penasihat Undang-Undang.
•Pengarah Eksekutif LPHS.
•Pembantu EXCO Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Kehidupan Bandar.
•Wakil Jabatan Kerja Raya Selangor
•Wakil Pengarah Tanah dan Galian Selangor
•Wakil Pejabat Tanah dan Daerah yang berkaitan
•Wakil Pihak Berkuasa Tempatan yang berkaitan
•Wakil Jabatan Perancang Bandar dan Desa Negeri Selangor
•Jabatan Insolvensi/Liquidator (Jika ada keperluan)
•Wakil Jawatankuasa Pembeli/Pemilik Rumah (Jika ada keperluan)
•Bank atau institusi kewangan yang terlibat (Jika ada keperluan)

Mesyuarat Jawatankuasa dipengerusikan oleh saya sendiri dan telah dilaksanakan secara berjadual bagi membincangkan dan mendapatkan kerjasama semua pihak dalam memulihkan projek terbengkalai.

Jawatankuasa ini yang diurusetia oleh LPHS juga memainkan peranan penting dalam merangka pelan pemulihan di samping membuat penilaian semula projek terbengkalai sama ada projek tersebut berdaya maju dan boleh dipulihkan.

LPHS sebagai agensi pemantauan sentiasa berusaha memastikan projek terbengkalai dapat dipulihkan dan seterusnya dapat disiapkan sehingga Sijil Layak Menduduki diperolehi.

ii.LPHS berperanan bagi mengeluarkan surat pengesahan projek terbengkalai supaya pembeli dapat berurusan dengan pihak bank bagi menstrukturkan semula atau pengurangan bayaran bulanan daripada pembiaya atau bank.

iii.LPHS juga mengadakan perbincangan bersama pelikuidasi (liquidator) terbabit bagi mencari kaedah terbaik dalam memulihkan projek yang terbengkalai.

iv.LPHS turut mengadakan perbincangan dengan semua jabatan teknikal seperti SYABAS, TNB, IWK dan agensi berkaitan dengan tujuan mempercepatkan pemulihan projek di samping mengenakan syarat minima bagi membolehkan projek disambung semula dengan kos tambahan yang kecil tanpa mengabaikan isu-isu keselamatan.

v.Sekiranya projek ini menghadapi defisit kos pemulihan, LPHS akan mengemukakan cadangan pemulihan daripada kontraktor yang berminat dan berwibawa kepada KPKT untuk membuat keputusan bagi mendapatkan peruntukkan khas pemulihan projek.

vi.Memberi khidmat nasihat dan panduan mengenai tindakan yang boleh diambil oleh pembeli untuk membawa kes ke Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) adalah ditadbir melalui Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 (Akta 118) dan Peraturan Pemaju Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1989.

vii.LPHS juga akan mencadangkan kepada Kerajaan Negeri tindakan-tindakan penguatkuasaan yang boleh diambil demi memastikan hak pembeli terhadap hartanah mereka terjamin.

Tindakan perampasan tanah boleh dibuat sekiranya wujud pelanggaran peruntukan di bawah Kanun Tanah Negara 1965 seperti kegagalan membayar cukai tanah di bawah Seksyen 100 Kanun Tanah Negara (KTN) dan pelanggaran syarat di bawah Seksyen 129 Kanun yang sama.

Seperti Yang Berhormat sedia maklum pembelian sesebuah rumah atau hartanah adalah melalui perjanjian jual beli di antara pemaju dan pembeli.

Dalam erti kata lain satu kontrak telah ditandatangani oleh kedua-dua belah pihak dan sekiranya berlaku “breach of contract” maka pihak terlibat perlu membawa kes mereka ke Mahkamah.

viii.Kerajaan Negeri telah menubuhkan Tabung Pemulihan Projek Perumahan Terbengkalai atau TEPAT dengan dana RM20 juta.

Satu projek iaitu Taman Desa Mawar di Tg Karang dengan 499 unit rumah sedang dipulihkan sistem pembentungannya.Sebanyak RM6.36 juta telah diperuntukkan.Kerja-kerja dijangka siap bulan Mac depan.

STATISTIK KESELURUHAN.

Bilangan projek perumahan terbengkalai pada 2008 – 117 projek

Bilangan projek perumahan terbengkalai yang diselesaikan dari 2008 hingga 2017 – 53 projek

Bilangan projek perumahan terbengkalai yang baru didaftarkan dari 2008 hingga 2017 – 41 projek

Bilangan projek perumahan terbengkalai pada 2017 – 105 projek

b) PERUMAHAN GENERASI KEDUA FELDA.

Untuk makluman Yang Berhormat, Projek Perumahan Generasi Kedua buat masa ini hanya tertumpu kepada Felda Sg. Tengi Selatan, Daerah Hulu Selangor adalah merupakan sebuah projek inisiatif Kerajaan Negeri yang dimajukan oleh PKNS.

Projek ini meliputi pembangunan sejumlah 136 unit Rumah Berkembar Satu Tingkat yang mana Kerajaan Negeri akan membiayai sepenuhnya kos pembangunan infrastruktur yang dianggarkan berjumlah RM7.65 juta.

Ia akan dijual dengan harga RM96,000 sebuah.

Jika Kerajaan Negeri tidak menanggung kos infrastruktur, harga jualan sebuah rumah adalah sehingga RM150,000.

Kos projek ini adalah RM20.4 juta.

Berikut adalah status semasa dan sasaran bagi kelulusan yang berkaitan dengan cadangan pembangunan perumahan generasi kedua Felda Sg. Tengi Selatan:

i.Kelulusan Kebenaran Merancang (KM) Bersyarat telah diperolehi dari Majlis Daerah Hulu Selangor (MDHS) pada 5 Mei 2017.

ii.Kelulusan KM Penuh dari MDHS telah diperolehi pada 12 September 2017.

iii.Pelan Bangunan dan Pelan Sementara disasarkan untuk mendapat kelulusan dari MDHS pada bulan November ini.

iv.Kerja-kerja pembinaan dijangka dimulakan di tapak oleh kontraktor yang dilantik pada akhir bulan November ini.

DATUK ISKANDAR ABDUL SAMAD
Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan Dan Kehidupan Bandar
Negeri Selangor
6 November 2017. – HARAKAHDAILY 6/11/2017

- Advertisement -