Mengurus bajet dengan akhlak

nik abduh1
- Advertisement -

MANUSIA diciptakan dengan memiliki sifat-sifat yang khusus. Ada yang baik dan ada yang buruk pada zahirnya. Kecemerlangan manusia di dalam menguruskan sifat-sifat dirinya itulah yang menjadi kunci kejayaan hidupnya. Di situlah kunci kelayakannya dilantik sebagai seorang khalifah Allah di muka bumi.

- Advertisement -

Sifat yang baik adalah seperti sopan santun, pemurah dan penyabar. Sifat yang buruk pula adalah seperti bongkak, kedekut dan gopoh gapah. Jika dikaji dan diperincikan, ada berpuluh-puluh sifat yang membentuk manusia samada pada zahir dan batinnya. Sifat yang baik perlu digilap agar ia terus berkembang memajukan diri manusia. Manakala sifat yang buruk haruslah dipendamkan agar ia tidak merosakkan kemajuan dirinya.

Apa yang penting ialah ilmu dan keupayaan mengenali dan menguruskannya dengan baik. Ada sifat baik yang menjadi tidak baik kerana gagal diuruskan dengan baik. Ada sifat yang buruk, tetapi menjadi bermanfaat apabila diuruskan dan digunakan pada tempatnya.

{mprestriction ids=”1,2,3,4,5″}

Ertinya, hakikat penciptaan manusia adalah sebagai makhluk Allah yang paling sempurna. Tiada satu pun sifat yang dilekatkan pada diri manusia oleh Allah kecuali dengan hikmat dan tujuan yang besar ke arah kesempurnaannya sebagai makhluk-Nya yang terbaik.

Sifat merendah diri adalah hebat. Tetapi apa erti merendah diri di hadapan orang zalim yang datang mencarik-carik maruah dirinya. Apa erti sifat baik jika menghinakan diri sendiri di hadapan kejahatan?

Sifat garang dan bengis adalah buruk. Ia menjauhkan kasih sayang sesama manusia dan memutuskan persahabatan. Tetapi ia tiba-tiba menjadi hebat dan mulia pada saat digunakan untuk menghambat kezaliman dan kejahatan manusia daripada dirinya atau orang lain.

Begitulah sifat-sifat manusia yang lain. Ia adalah tergadai kepada keupayaan menguruskannya dan meletakkannya pada tempatnya yang benar. Ia dinamakan neraca yang seimbang. Ia dinamakan kesederhanaan. Tidak terlalu ke kanan dan tidak terlalu ke kiri. Tidak terlampau dan tidak terbiar begitu sahaja. Manusia itu adalah pada kesederhanaan dirinya. Justeru Islam datang menyempurnakan manusia dengan konsep kesederhanaan yang diajarkannya.

Manusia yang menyibukkan dirinya dengan mempelajari sifat-sifat manusiawi di dalam dirinya, lalu memperaktiskannya dengan baik adalah manusia yang akan berjaya di dalam kehidupannya. Tidak syak lagi.

“Telah berjayalah orang yang menyucikan dirinya (dengan kebaikan). Dan telah rugilah orang yang menyorokkannya (di dalam maksiat).” – Al Syams: 9-10

Hakikatnya manusia yang memiliki sifat-sifat mulia sahaja yang akan berjaya mengamalkan Islam di dalam diri dan kehidupannya. Ini adalah kerana Islam adalah kebaikan, keadilan dan kesempurnaan seluruhnya. Justeru bagaimana boleh dibayangkan orang yang buruk sifat dan akhlak dirinya mampu mengaplikasikan Islam di dalam dirinya?

Seorang yang mabuk tidak akan mampu memandu sebuah kereta yang mahal dan sempurna. Seorang yang sakit tidak akan dapat manikmati makanan yang lazat dan berkhasiat. Seorang yang zalim tidak akan mampu menikmati hukum-hukum Islam yang maha adil. Begitulah..

Maqasid Syariah atau matlamat-matlamat pensyariatan ugama Islam ke atas manusia adalah ke arah mencapai kebaikan dan kemanfaatan untuk manusia dan kehidupan. Ia adalah garis-garis dan panduan-panduan umum yang telah dimudahkan melalui hukum-hukum asas yang telah diputuskan lebih awal di dalam al Quran dan sunnah al Rasul sallaLlahu alaihi wasallam. Panduan itu haruslah diikuti.

Contohnya perihal hukum pembahagian harta pusaka yang telah tetap. Daripada situ, manusia akan mengetahui pandangan syariat terhadap persamaan dan keistimewaan lelaki dan wanita atau ayah dan ibu misalnya.

Begitu juga hukum hudud di dalam hukum jenayah di dalam Islam. Ia adalah telah tetap hukumnya. Daripada situ, manusia akan mengetahui pandangan syariat terhadap persamaan atau perbezaan di antara jenayah-jenayah dan kesalahan-kesalahan yang berlaku di kalangan manusia.

Pada hukum pusaka dan hudud misalnya adalah pelaksanaan awal maqasid syariah. Ia adalah kebaikan, keadilan dan kemanfaatan sepenuhnya untuk kehidupan manusia. Di belakang nas-nas agama itulah manusia mengekori di dalam memahami prinsip maqasid syariah.

Adakah manusia yang tidak memiliki sifat-sifat atau akhlak yang mulia mampu melaksanakan keadilan, apatah jika ianya adalah mengikut neraca keadilan Islam? Sudah pasti tidak.

Salah satu tumpuan utama maqasid syariah adalah pada menjaga harta dan hak milik. Manusia diberi hak memiliki oleh Allah. Mereka mempunyai hak memiliki nyawa, akal, diri, maruah diri, zuriat, keluarga dan juga harta benda. Harta adalah paling bersimpang siur untuk dimiliki atau dilepaskan. Ia urusan poket manusia, besar atau kecil rezeki yang diterimanya dan dimilikinya. Ia juga paling mudah dilepaskan.

Walaupun harta adalah paling murah berbanding nilai ugama, nyawa, akal dan maruah diri yang tidak mungkin boleh dijual beli, tetapi kebanyakan manusia menganggapnya adalah paling mahal dan penting. Hartalah impian utama hidup manusia. Walaupun ia adalah salah pada tempat dan kedudukannya, Islam tetap menerimanya sebagai hak yang perlu dijaga demi kebaikan dan keharmonian hidup manusia di dunia.

Bajet negara Malaysia adalah harta negara yang disatukan. Ia adalah harta milik 32 juta rakyat Malaysia tanpa kecuali. Nilai tahunannya pada tahun-tahun terakhir ini adalah suku trilion ringgit. Tidak mungkin adalah individu dalam negara memiliki jumlah kekayaan sebesar ini.

Ia pula diuruskan oleh kerajaan yang dipilih dan diamanahkan oleh rakyat secara majoriti. Hari ini ia diurus oleh kerajaan BN di bawah kepimpinan YAB Perdana Menteri. Ia bermula daripada bagaimana kerajaan memperolehinya. Kemudiaan bagaimana ia diagih-agihkan untuk perbelanjaan mengikut kementerian-kementerian dan akhirnya bagaimana kerajaan itu menyediakan garis panduan pelaksanaannya dan pemantauan terhadapnya.

Sudah pasti ia sangat kompleks dan melibatkan pelbagai pihak yang dipertanggung-jawabkan untuk menguruskannya. Jika berlaku sedikit kecuaian dan keterbiaran, wang dan harta negara yang banyak ini sudah pasti akan terurus secara salah dan batil. Ia tidak akan menjadi sumber yang halal, dipenuhi pembaziran dan paling teruk diambil secara batil oleh para penyangak hatta daripada mulut-mulut rakyat termiskin dan memerlukan.

Di sinilah pentingnya balanjawan atau bajet berakhlak. Ia bukan soal wang yang banyak atau sedikit. Allah maha besar dan pemurah untuk mengurniakan rezeki-Nya kepada 32 juta rakyat Malaysia, bahkan kepada seluruh makhluk-Nya di bumi ini. Dia pasti mengurniakan. Lihatlah Malaysia yang strategik kedudukan geografinya, subur tanahnya, kaya isinya dan indah malar buminya. Inilah pakej lengkap sebuah negara yang diidamkan oleh kehidupan yang aman sejahtera.

Tetapi Dia juga pasti melihat dan memerhatikan bagaimana manusia menguruskan dan membelanjakan rezekiNya itu di jalan-jalan yang mereka sendiri pilih. Pada perbelanjaan itulah letaknya kejayaan dan kecelakaan manusia.

Dengan nilai ratusan bilion ringgit dan dikategorikan sebagai mewah untuk membina sebuah negara membangun menuju puncak kemajuan, negara kita tetap berhadapan kepincangan yang nyata. Di sana sini adalah kesalahan dan kerosakan yang telah mengakibatkan kesukaran hidup buat kumpulan rakyat teramai yang terus mengharapkan perubahan daripada pihak pemerintah. Tetapi malang, kerajaan tetap pada takuk lama dan dilihat tidak mampu atau tidak sedia untuk berubah.

Rasuah, pembaziran, salah guna kuasa, pilih kasih, pemborosan, ketirisan, ugutan, budaya samseng, skandal dan pelbagai lagi penyakit terus kekal mewarnai wajah pemerintah. Manakala perjuangan menegakkan kebenaran yang diredahi Allah di dalam politik dan pemerintahan negara terus berhadapan kecaman, fitnah, sekatan dan pelbagai penafian daripada pelbagai pihak dan sudut. Kepada siapakah usaha islah dan pembaikan dalam negara ingin diserahkan?

Justeru alangkah baiknya jika perbahasan berkaitan bajet negara dimulakan dengan kesediaan kita memilih para pemimpin yang paling berakhlak mulia daripada kalangan kita rakyat Malaysia. Itulah kunci penyelesaian sebenar.

{/mprestriction}

- Advertisement -