Tidak bermaruah siar klip video peribadi penjawat awam

- Advertisement -

PENDEDAHAN terbaharu klip video peribadi melibatkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) adalah tindakan bacul, keji dan tidak bermaruah. Ia jelas melambangkan sikap terdesak golongan tertentu sehingga sanggup mengugut dan mengancam Tan Sri Dzulkifli dengan serangan peribadi.

- Advertisement -

riduan1Kemunculan klip video peribadi kononnya skandal beliau tanpa sumber ini menunjukkan bahawa SPRM berada di landasan tepat bagi memerangi rasuah sebagai musuh nombor satu negara. Bagi golongan tertentu, tindakan SPRM dilihat ‘agak melampau’ termasuk pelbagai siri tangkapan yang dilakukan oleh sejak kebelakangan ini. Mereka umpama ‘cacing kepanasan’ kerana semakin banyak kemungkaran rasuah terdedah dan demi survival golongan perasuah ini, klip vido ini terhasil sebagai usaha menyinggirkan Tan Sri Dzulkifli Ahmad dari kedudukannya.

Sikap agresif SPRM sejak akhir-akhir ini amat diperlukan tatkala dilanda wabak rasuah yang kronik. Kedudukan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2016, Malaysia merosot daripada tangga 54 kepada 55 daripada 176 buah negara. Malah, di peringkat ASEAN, Malaysia berada jauh di belakang berbanding Singapura yang berada pada kedudukan ke-7 dan Brunei di tangga ke 41. Ini menunjukkan bahawa tahap rasuah di Malaysia semakin teruk dan membimbangkan.

Rasuah menjadi penyakit yang memusnahkan institusi masyarakat dan negara. Golongan tamak dan gila harta telah mengaut sebanyak mungkin khazanah negara demi memuaskan nafsu sendiri, tanpa melihat kesan kepada negara. Akibatnya, ketirisan, kerugian, pembaziran, pembolotan projek, kronisma dan lain-lain menguasai pelbagai agensi kerajaan. Golongan yang tidak layak diangkat sebagai teraju utama projek mega serta diberi pelbagai kedudukan istimewa sedangkan orang yang layak terus dikesampingkan. Pegawai tinggi dan penguatkuasa pula bersekongkol dengan mendapat habuan mewah dan lumayan, menjadi kaya raya dengan segera dan berbelanja mewah di luar kemampuan. Berpuluh tahun perasuah ini hidup senang lenang tanpa gangguan kerana luasnya ruang mereka menyelamatkan diri.

Usaha Tan Sri Dzulifli Ahmad yang diangkat sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM mulai 1 Ogos 2016 dalam memerangi rasuah perlu diberikan sokongan berterusan. Pelantikan beliau disusuli dengan pelbagai tangkapan mega dari Johor hingga ke Sabah, dengan jumlah ratusan juta ringgit didedahkan termasuk melibatkan 1.5 bilion ringgit di bawah Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW). Mangsa yang ditangkap termasuk pegawai kerajaan, Exco kerajaan dan bekas menteri.

Namun demikian, usaha mematikan langkah dan kerjaya Tan Sri Dzulkifli Ahmad melalui klip video amat memalukan. Ia mengulangi skrip klip video lelaki mirip Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi tujuan menjatuhkan dan mengaibkannya. Malah, pemimpin PAS pernah terpalit dengan video serupa. Nampaknya trend mamalukan dan menjatuhkan tokoh negara melalui klip video masih diulangi tanpa rasa takut balasan dosa akibat perbuatan mereka ini. Budaya jijik sebegini sepatutnya tidak diterima oleh masyarakat Malaysia kerana ia mencerminkan golongan tidak bertanggungjawab dan bermaruah.

Sepatutnya kerajaan bertindak tegas dalam memastikan keselamatan penjawat awam dijaga sepenuhnya. Usaha agresif Tan Sri Dzulkifli Ahmad perlu disokong, bukan disekat. Jika benar beliau terpalit dengan skandal peribadi itu, pihak terbabit sepatutnya melaporkan kepada pihak polis. Biarkan PDRM siasat dan ambil tindakan, kerana ia lebih adil dan bertanggungjawab. Tidak ada faedah mencalarkan maruah seseorang, yang kemudiannya didapati pendedahan itu tidak benar.

DR RIDUAN MOHD NOR
Ahli Jawatankuasa PAS Pusat
3 November 2017 – HARAKAHDAILY 3/11/2017

- Advertisement -